Saturday 5 August 2023

BUAT SURO ERATKAN HUBUNGAN

 
Buat suro atau masak suro (bubur asyura) dilihat sebagai program kekeluargaan atau kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan persaudaraan. Ia dilakukan secara gotong-royong kerana melibatkan masa mengacau yang agak lama sehingg mencapai 8 jam. Banyak tenaga diperlukan dan melibatkan bilangan orang yang banyak.
 
Mereka berkumpul dan bersilaturahim, bersama-sama melakukan matlamat yang sama iaitu memasak suro sehingga masak biarpun mengambil masa yang lama.
 
Sebenarnya memasak suro bukan sekadar mengambil masa 8 jam, bahkan lebih daripada itu kerana perlu membuat persediaan bahan-bahan yang hendak digunakan, persiapan peralatan dan sebagainya.
 
Sebab itu hendak memasak sekawah suro perlu gabungan atau kerjasama dua atau tiga keluarga melakukan bersama-sama. Jadi, ia jelas menampakkan kerjasama dan saling membantu seperti yang dituntut oleh agama.
 
Selepas suro masak dan disejukkan, ia akan dipotong mengikut ukuran tertentu untuk diagih-agihkan kepada jiran tetanggan dan kenalan. Ia tanda bersyukur dan persaudaraan yang terbina melalui majlis kacau suro. Malah, adakalanya majlis tersebut turut dihadiri bukan Islam yang turut membantu.
 
Sedangkan masyarakat Melayu masak bubur asyura kerana gembira dengan kedatangan bulan Muharram dan peristiwa Hijrah.

No comments:

Post a Comment