Wednesday, 11 March 2020

Abdullah Al-Qari tokoh penulis

Abdullah Al-Qari bin Salleh (AQHAS) sangat terkenal di kalangan pembaca buku-buku agama tempatan. Beliau seorang penulis dan penterjemah yang telah menerbitkan lebih 300 judul buku. 

Beliau dilahir pada 26 Disember 1937. Bapanya Salleh bin Puteh adalah seorang guru Al-Quran di Pondok Kenali, merupakan murid tua Tok Kenali, manakala ibunya adalah Khadijah binti Abdullah pula mengajar Al-Quran kepada kanak-kanak setempat di rumahnya.

Lokasi rumah beliau di tepi Pondok Lorong Kubur Tok Kenali menyebabkan beliau banyak dipengaruhi pendidikan pondok di samping Pendidikan Sekolah Melayu Kubang Kerian, Kota Bharu (1946-1951).

Abdullah Al-Qari mula berminat membaca buku-buku dalam pelbagai bidang sejak di sekolah rendah dengan membaca buku-buku Indonesia yang dipinjam daripada gurunya, Cikgu Muhammad bin Abdullah dan buku-buku dari bilik bacaan di sekolah.

Bakat penulisan beliau dikesan oleh gurunya, Mahmud bin Abbas ketika di Darjah Tujuh (Sekolah Menengah Melayu Tok Pasir) dan di Sekolah Melayu Kota . Beliau memperoleh Sijil Pangkat Satu di kedua sekolah tersebut.

Beliau memasuki Pondok Madrasah Al-Ahmadiyyah Bunut Payung (1952) belajar dari Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad mengenai Tafsir Al-Quran dan pada Ustaz Abd. Rahman Al-Khudhri bin Ibrahim mengenai hadis.

Dengan galakan gurunya supaya menulis dalam bidang agama, beliau mula membaca majalah-majalah agama dengan cara meminjam dan cuba menulis. Pada sebelah pagi beliau belajar di darjah tujuh dan pada sebelah petang beliau dilantik menjadi guru dalam usia 15 tahun (1953).

Dalam usia 15 tahun beliau mula menjadi guru, pengarang, penerbit (Pustaka ASA) dan pengedar.

Kerja seharian beliau ialah mengajar dan mengarang buku sambil belajar agama. Bila sesuatu tajuk sudah difahami dengan baik, maka dia dijadikan buku dan disebarkan.

Beliau berjaya memperoleh Sijil Kursus Persekolahan Melayu pada 1956, Sijil Maktab Perguruan Bahasa (1959), SPM (1962); STP (1974); juga Sijil Pra LINAS (Universitas Nasional Jakarta: Kuliah Bahasa dan Sastera (1974) dan kelayakan masuk ke Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri (Kuliah Usuluddin – 1974) dan seterusnya memasuki Universiti Malaya (1974-1977) dengan pencapaian Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian dan anugerah Mahasiswa Terbaik.

Kerana kegiatan beliau yang agak luar biasa ini, maka beliau telah dianugerahkan:
- Tokoh Guru Kreatif (Penulisan) Kelantan,1990.
- Tokoh Buku Kelantan,1994.
- Tokoh Hijrah Ar-Rasuul Kelantan,2004.
- Tokoh Guru Kelantan (JPN),2004.
- Tokoh Maulid Ar-Rasuul, Malaysia,2005.
- Tokoh Sunnah (I.Q.), Nusantara,2005.
- Tokoh Penulis Buku Islam, Malaysia,2007.
- Tokoh Penulis Islam Terbaik, Serambi Mekah,2008.
- Tokoh Pengkajian Al-Qur'an dan Al-Hadith (SIQAH),Nusantara, 2008.

Di antara karya dan terjemahan Ustaz Abdullah Al-Qari adalah:
- Adab Makan Minum Cara Nabi s.a.w.
- Adab-adab Dan Kewajipan Sekitar Masjid
- Adab Ziarah Maqam Dan Masjid Nabi s.a.w.
- Ajaran, Perubatan Dan Pesanan Jibril 'A.S'
- Akhlak Pelajar Siswa-siswi Islam
- Allah Belah Bulan, Allah Menangkupnya
- Allah Merajai Kerajaan Langit Dan Bumi
- Amalan & Wirid Mudah Bersalin
- Amaran Nabi Kepada Kaum Wanita

Abdullah Al-Qari telah berjaya mendirikan Masjid As-Sunnah dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Qari di Taman Al-Qari; juga “Pusat Kajian dan Sebaran Al- Qur’an dan As-Sunnah Nusantara” bertempat di Tingkat Satu Masjid As-Sunnah, Taman Al-Qari Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian berhadapan Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian.

Beliau meninggal dunia pada pagi 12-03-2020 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan Istana Negeri Kubang Kerian ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

No comments:

Post a Comment