Saturday 18 January 2020

PONGGAL PERAYAAN PENGANUT HINDU SEMPENA BERAKHIRNYA MUSIM MENUAI

Ponggal merupakan perayaan masyarakat Hindu terutama di Tamil Nadu yang dirayakan pada bulan ‘Thai’ (sekitar pertengahan Januari) dalam kalendar India. Ia sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.

‘Ponggal’ dalam bahasa Tamil bermaksud ‘merebus’, dan perayaan ini dirayakan sebagai perayaan kesyukuran bagi musim menuai.

Ponggal juga merupakan nama nasi manisan yang sering dihidang ketika perayaan ini. Di Tamil Nadu, perayaan ini dirayakan selama empat hari iaitu The Bhogi Festival, Thai Pongal, Mattu Pongal dan Kaanum Pongal.

Perayaan Ponggal di Malaysia. Kepelbagaian budaya dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan keunikan di negara ini. Setiap kaum mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang tersendiri.

Penganut agama Hindu merupakan penganut agama keempat terbesar di Malaysia selepas Islam, Buddha dan Kristian. Pesta Ponggal ini merupakan antara perayaan tradisi penganut Hindu di Malaysia.

Para ulama sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan Muslim adalah haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah menetapkan beberapa garis panduan dalam mengharuskan umat Islam menghadiri majlis perayaan keagamaan bagi agama lain.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Hukum makan juadah yang menjadi tradisi hidangan semasa perayaan tertentu adalah dibolehkan selagi mana tidak ada kepercayaan tertentu yang melatari penyediaannya dan juadah itu sendiri. Ianya sekadar juadah yang disediakan secara tradisi, tanpa kepercayaan tertentu. Ini termasuklah juadah tradisi Pesta Ponggal iaitu nasi manisan ‘Sakkarai Pongal’.

Jadilah kepelbagaian kita ini sebagai satu kekuatan dalam membina perpaduan di negara kita yang tercinta ini.

Dalam meraikan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita, perlulah kita memastikan hukum hakam dan garis panduan yang telah ditetapkan dipatuhi dan dihormati.

Sebenarnya banyak boleh dilakukan untuk meraikan kepelbagaian kaum. Saling menghormati dan berbaik sangka terhadap kaum lain sudah termasuk dalam memperkuatkan hubungan kaum. Mengapa hanya melalui perayaan sahaja ingin dikaitkan dengan perpaduan?

Adat yang khusus bagi orang kafir adalah tetap dilarang oleh agama Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesunggunya pakaian ini adalah sebahagian pakaian orang-orang kafir maka jangan kamu memakainya." (Hadis riwayat Muslim)

Dari Anas bin Malik katanya : "Nabi SAW datang di Madinah, sedangkan penduduk Madinah mempunyai dua hari raya yang mereka bermain-main (merayakan) pada keduanya. Nabi bertanya, ‘Apa dua hari ini?’. Mereka menjawab, ‘Ini adalah dua hari yang kami bermain dan merayakannya di masa jahiliyah!. Nabi bersabda, Sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik, yaitu hari raya qurban dan hari raya puasa."  (Hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan An Nasai)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia dari kaum itu." (Hadis riwaya Abu Daud, Ahmad )

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hari kiamat tidak akan terjadi hingga umatku mengikuti jalan generasi sebelumnya sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Lalu ada yang menanyakan kepada Rasulullah, Apakah mereka itu mengikuti seperti Parsi dan Rom?. Baginda menjawab, Selain mereka, siapa lagi?." (Hadis riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment