Monday 30 July 2018

ORANG MEMBUAT FITNAH MELAKUKAN ADU DOMBA

Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada rekaan, persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti.

Rasulullah SAW bersabda: ”Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka.” (Hadis riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan.

Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar. Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.

Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, "Dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh." (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. 

Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza.

Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim.

Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu.  Firman allah bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?" (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Rakyat Malaysia perlu menghentikan penyebaran berita palsu, berbaur fitnah dan berbentuk hasutan demi menjaga keharmonian negara. Fitnah siber menerusi penularan berita palsu adalah lebih bahaya. Rakyat perlu mempunyai sifat tabayyun, menyelidik dahulu sesuatu berita sebelum menyebarkan.

Tabayyun merupakan salah satu akhlak mulia dan salah satu prinsip penting dalam menjaga kemurnian agama Islam dan keharmonian dalam sesebuah negara.

Fahami fiqh tabayyun
- Tidak terburu-buru sebar berita, maklumat.
- Tangguh sehingga pasti kesahihannya.
- Tidak sebar berita negatif, umpatan, gosip.
- Tidak turuti perkara yang tiada pengetahuan.
- Percaya, beramal dengan apa yang diyakini, difahami.
- Tidak sebar berita daripada pihak yang dikenali kerap berbohong.
- Tidak sebar berita mengaibkan, memburukkan, menghina sesetengah pihak.
- Mengadakan pertemuan secara langsung dengan pembawa berita.
- Bertanya langsung kepada pihak pelaku utama.
- Mendengar dengan saksama maklumat kedua-dua belah pihak.
- Melakukan penyelidikan berdasarkan pengamatan peristiwa yang berlaku.
- Merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian.
- Ingat malaikat sentiasa mencatat setiap amalan baik dan buruk dilakukan.

No comments:

Post a Comment