Wednesday, 24 April 2024

SEKOLAH MURID ORANG ASLI KELANTAN

 
SMK Panggung Jaya, sekolah murid orang Asli Kelantan dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dalam satu majlis pada 23 April 2024 sempena Jelajah Pendidikan Madani lawatan Menteri Pendidikan Malaysia ke Kelantan.
 
Majlis gilang gemilang tersebut menandakan SMK Panggung Jaya yang beroperasi di Panggung Lalat, Gua Musang itu “sah” mendapat pengiktirafan status setelah mula dibuka sejak 21 Januari 2021.
 
Pembinaan sekolah ini bermula pada Oktober 2016 dan siap 2020, terletak di laluan utama Gua Musang – Lojing di Kampung Panggung Lalat, Mukim Batu Papan, daerah Galas, berhampiran Kampung Kuala Betis. 
 
Kedudukan SMK Panggung Jaya adalah yang paling jauh dari Kota Bharu berbanding sekolah-sekolah lain. Sekolah rendah paling jauh pula adalah SK Pos Brooke yang terletak di Lojing.
 
Sekolah yang mempunyak 24 bilik darjah in mampu memuatkan sehingga 700 pelajar dan kemudahan 400 pelajar di asrama, asalnya dibina atas nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis, kemudiannya ditukar nama secara rasmi kepada SMK Panggung Jaya. 
 
Nama ‘Panggung Jaya’ adalah dari nama Kampung Panggung Lalat yang hanya mengambil perkataan ‘panggung’ dan ditambah perkataan ‘jaya’ yang menjadikan nama ‘panggung jaya’. 
 
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Simpor, Belatim, Bihai, Gob, Brooke, Hendrop, Pasik, Pulat, Hau, Blau dan Kuala Betis. 
 
Kewujudan SMK Panggung Jaya mampu mengelakkan masalah pelajar kaum berkenaan tercicir pelajaran.
 
Pengetua SMK Panggung Jaya, Mohd Khairul Bahri Ismail mengucapkan terima kasih kepada Fadlina yang merasmikan berkenaan. Juga titipan terima kasih kepada semua pihak terlibat menjaya majlis tersebut.




No comments:

Post a Comment