Terdapat tiga kategori pihak berkuasa
tempatan (PBT) di Malaysia, iaitu Majlis Bandar Raya, Majlis Perbandaran dan
Majlis Daerah.
PBT mendapat status Majlis Bandar Raya apabila:
- PBT ini harus meliputi kawasan pusat
pentadbiran sesebuah negeri;
- Mempunyai penduduk tidak kurang daripada
500,000 orang;
- Mempunyai pendapatan dari sumber kewangan
yang mapan (fiscally sustainable) dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM100
juta serta mampu mengimbangkan perbelanjaan;
- Berupaya menyediakan perkhidmatan -
perkhidmatan pada tahap yang tinggi termasuklah aktiviti kutipan hasil,
kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi PBT serta
mempunyai struktur organisasi yang mantap serta kakitangan yang berkebolehan
menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan;
- Pembangunan bandar yang menekankan kepada
pembangunan mampan (sustainable development) serta memberi tumpuan kepada usaha
untuk menangani isu-isu perbandaran seperti setinggan, operasi kilang haram,
keselamatan, perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan pemeliharaan alam
sekitar. Indikator bandar mampan seperti yang ditekankan dalam Jaringan
Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) juga
diambil kira;
- Pembentukan imej bandar ataupun identiti
yang bersesuaian dengan fungsi bandar dan budaya nasional yang melambangkan
sejarah dan warisan. Kawasan-kawasan dan bangunan-bangunan yang mempunyai nilai
sejarah, budaya dan senibina yang unik serta perlu dipelihara;
- Mempunyai pusat perindustrian, institusi
kewangan dan kemudahan menjalankan perniagaan dan perdagangan bagi menarik
kemasukan pelabur. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan perhotelan bagi
menggalakkan kegiatan pelancongan dan urusan perniagaan. Tumpuan diberikan
kepada kepesatan sektor perkhidmatan serta pembangunan aktiviti ekonomi bandar
yang bernilai tambah dan berorientasikan pengetahuan;
- Pusat institusi pendidikan yang lengkap
dengan universiti, kolej, maktab, muzium dan perpustakaan awam;
- Pusat kepada aktiviti kebudayaan,
acara-acara sukan dan riadah serta konvensyen di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa;
- Mempunyai kemudahan infrastruktur yang
lengkap, utiliti awam yang mencukupi termasuklah taman - taman awam yang mesra
pengguna terutamanya kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini termasuklah kemudahan
- kemudahan pengangkutan awam, sistem pengurusan lalulintas dan rangkaian jalan
raya yang cekap serta perkhidmatan ICT; dan
- Mendapat pengiktirafan tertentu sama ada
di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa dalam bidang - bidang tertentu
sejajar dengan taraf sebagai sebuah bandar raya.
Rujukan : KPKT; JKT
No comments:
Post a Comment