Thursday, 11 February 2021

SIKAP CINA KAMPUNG KELANTAN PERLU DICONTOHI

 
Kaum Cina Kelantan dianggap unik dan berbeza berbanding kaum Cina yang tinggal di negeri lain. Cara hidup mereka dan hubungan dengan kaum Melayu serta kaum-kaum lain agak akrab. 
 
Masyarakat Cina telah wujud di Kelantan sejak abad ke-17 Masihi lagi dan kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir-pinggir sungai di Kelantan seperti kawasan Pulai Gua Musang, Kampung Pasir Parit Pasir Mas, Kemasin Bachok dan Sungai Pinang Tumpat. 
 
Terdapat dua kategori Cina di Kelantan iaitu Cina Peranakan diberi gelaran Cina kampung, Cina Kelantan dan Oghe Cino Kito. Bagi Cina di bandar mereka dipanggil Cina bandar atau Cina Benua. 
 
Cina Kampung tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana dialek komunikasi percakapan harian mereka dalam loghat Kelantan di samping bahasa Hokkien. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan tidak menampakkan mereka sebenarnya kaum Cina kerana perkahwinan campur dengan keturunan Thai. 
 
Kadang-kala adalah susah untuk membezakan mereka sama ada dari segi muka atau bahasa kerana gaya hidup mereka boleh dikatakan lebuh kurang sama dengan orang Melayu. Contohnya dari segi jenis makanan dan cara makanan. 
 
Orang Cina Kampung makan makanan seperti mana orang Melayu Kelantan. Mereka suka budu dan ulam-ulaman sebagai makanan hidangan. Mereka juga makan nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang. Mereka suka tapai ubi dan ketupat. Cara mereka makan menggunakan tangan. 
 
Amalan yang dilakukan itu menjadikan orang Cina Kelantan dilihat seakan-akan sama dengan orang Melayu yang secara tidak langsung hubungan antara kedua-dua kaum itu amat akrab dan seperti tiada langsung ciri-ciri perbezaan kaum, melainkan dalam soal agama.  
 
Malah, banyak orang Cina Kampung ada nama Melayu. Nama ini biasanya diberikan oleh orang Melayu. Memandangkan mereka banyak berkawan dan berkomunikasi dengan orang Melayu, maka panggilan nama Melayu lebih kerap digunakan sehingga nama Cina pun jarang orang kenal. Bahkan orang Cina sediri akan panggil dengan nama Melayu apabila berhubung sesama Cina. 
 
Malang sekali disebabkan ada orang Cina yang lebih mengutamakan kepentingan politik, khususnya di luar Kelantan, menyebabkan Melayu dan Cina bercakaran sehingga saling menuduh antara satu sama lain. 
 
Cina Kampung Kelantan yang dididik dengan nilai-nilai menghormati kaum lain sebenarnya sukar untuk bergaul dengan Cina luar dari Kelantan. Bahkan mereka tidak seiringan dengan Cina luar Kelantan. 
 
Mereka bukan ingin buang identiti Cina atau tidak mengaku sebagai Cina, tetapi apa yang diamalkan ialah menepati di mana langit dijunjung, di situ bumi dipijak. 
 
Tidak hairanlah jika gambar di media sosial ada yang meletakkan gambar raja-raja Melayu sebagai gambar ‘cover’. Nampak seperti mereka lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. 
 
Ingatlah, dalam setandan kelapa tidak semua baik. Jika ada yang buruk itu tidak mencerminkan kesemuanya. 
 
Kekalkan harmoni, suburkan perpaduan untuk diwarisi pada anak cucu akan datang.  
 
Gambar: Dari FB Garry Jeen Han

No comments:

Post a Comment