Saturday, 21 July 2018

KEBIJAKSANAAN SUAMI ATASI KRISIS RUMAHTANGGA

Kebijaksanaan dan kepekaan suami dalam memimpin amat penting bagi mengatasi sebarang krisis yang sering berlaku dalam kehidupan rumahtangga agar ia tidak berlarutan sehingga menyebabkan kepada keruntuhan rumahtangga.

Didapati banyak rumahtangga berakhir dengan perceraian disebabkan kegagalan suami mentadbir rumahtangga, khususnya kurang kepekaan mengatasi punca berlakunya keretakan. Punca keruntuhan rumahtangga banyak berpunca daripada masalah kecil yang kemudiannya merebak disebabkan tidak diatasi segera.

Justeru, suami isteri perlu melihat sebarang bibit krisis sebagai penting ditangani segera. Islam menetapkan garis panduan agar mendapat keadilan bagi kedua-dua pihak. Sesungguhnya jalan penyelesaian bukan dengan mencari salah siapa, tetapi bagaimana untuk ia diatasi dan rumahtangga terus kekal.

Suami sebagai ketua keluarga mempunyai tanggungjawab lebih berat bagi memastikan kebahagiaan rumahtangga. Keistimewaan diberikan kepada lelaki sebenarnya adalah satu amanah bedasarkan kepada beberapa ciri kejadian lelaki dan tugas yang dilebihkan berbanding perempuan.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kaum perempuan oleh kerana Allah melebihkan kaum lain-lain dengan beberapa keistimewaan di atas kaum perempuan dan kaum lelaki membelanjakan sebahagian daripada hartanya.”

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab mengawasi dan menentukan perjalanan hidup rumahtangga berjalan dengan sempurna. Kegagalan rumahtangga bermakna kegagalan suami, biarpun apa punca masalahnya.

Asas kebahagiaan rumahtangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumahtangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat. 

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya merupakan punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Sesudah mendirikan rumahtangga, tiada pilihan lagi bagi suami maupun isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari telah tersalah membuat pilihan pasangan. Kesilapan boleh diperbaiki jika telah disedari dan berusaha mengatasi kesilapan itu.

Sekiranya suami bijak mengendalikan masalah yang timbul, ia dapat diatasi dengan segera. Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Sikap tersebut mendedahkan kelemahan suami sendiri sebagai pemimpin rumahtangga. Kegagalan rumahtangga banyak bergantung kepada kelemahan suami, biarpun persengketaan bermula daripada sikap isteri.

Biasanya isteri tidak sempat bertindak keterlaluan jika suami berjaya meredakan apa jua masalah yang timbul. Suami perlu berkorban apa saja demi untuk memastikan masalah yang timbul dapat diatasi segera.

Bagaimanapun, pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang merasakan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Rumahtangga diumpamakan seperti sebuah negara yang perlu ditadbir secara musyawarah. Segala perkara berkaitan keluarga dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga, terutamanya isteri yang menjadi pembantu.

Sebenarnya amalan bermusyawarah yang dilakukan bukan tanda kelemahan suami, sebaliknya tanda kematangan suami dalam pengurusan keluarga. Isteri akan lebih menghormati suami yang menunjukkan tanda hormat dan mengasihinya.

Sekiranya dalam musyawarah yang diadakan, punca masalah dalam keluarga datangnya daripada suami, maka mestilah suami bersedia mengakui kesalahan itu. Banyak berlaku suami tidak sanggup mengaku kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya menyalahkan isteri sengaja mencari kesalahan itu.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

No comments:

Post a Comment