Sunday, 15 July 2018

IBADAT KORBAN SEBAGAI SYIAR ISLAM

Tujuan ibadat korban sebagai mematuhi perintah Allah. Pensyariatan ibadat korban berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lain) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang ternak yang disembelih itu." (Surah al-Hajj: 34)

Dalam ayat sebelumnya disebut bahawa ibadat korban adalah satu 'syiar' atau lambang agama Allah iaitu maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang mukmin." (Surah al-Hajj: 32)

Syiar agama Allah atau syiar Islam,ialah amal ibadat yang zahir dan benda yang berhubung dengan agama yang melambangkan agama Allah. Misalnya, ibadat haji ialah bertawaf, bersaei dan berwukuf di Arafah. Begitu juga binatang ternak yang dijadikan korban atau yang dijadikan hadiah kepada fakir miskin.

Ibadat korban terbahagi kepada dua iaitu korban nazar dan korban sunat. Yang pertama disebut wajib disedekahkan seluruhnya, manakala kedua dilakukan sama ada semua daging korban itu disedekahkan kepada fakir dan miskin serta orang yang berkorban boleh mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripada korban itu atau daging korban itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban.

Hukum ini berdasarkan kepada ayat bermaksud: "Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 28)

Dan juga ayat yang bermaksud: "Maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta." (Surah al-Hajj: 36)

Semangat pengagihan daging korban inilah yang mesti kita pupuk dan semai di kalangan umat Islam. Dalam ibadat korban, ada jalinan kasih dan persaudaraan yang tidak ternilai harganya di antara umat Islam yang dipersiapkan Allah Taala. Betapa tidak, kita melihat dalam ibadat korban ada orang mampu menyembelih haiwan korban yang diagihkan kepada golongan tertentu dalam masyarakat. Bukankah ia akan mempererat lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka?

Ibadat korban disunatkan Rasulullah sebagai latihan dan ujian bagi kaum Muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan Allah untuk dirasai golongan fakir miskin, sekali gus memanifestasikan syiar Islam itu.

Antara hikmah dan nilai murni pensyariatan korban adalah untuk melatih dan membentuk sahsiah peribadi umat Islam supaya sentiasa bersedia berkorban dengan sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.

Ia juga sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah, at-taqarrub seperti yang kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu: "Sesungguhnya solatku, hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.

No comments:

Post a Comment