Terdapat
fatwa di Malaysia mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu
cantik. Fatwa melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah
dibuat oleh pihak berkuasa mengeluarkan fatwa.
Antara fatwa tersebut seperti
diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran
Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang menjelaskan menyertai
pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu haram dan berdosa.
Lanjutan
itu, sesiapa yang menentang atau melanggar fatwa tersebut melalui kenyataan
atau perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah
Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau
menyebabkan Islam dipandang hina.
Manakala,
Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang
penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik telah diwartakan
mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995
["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu
cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III;
P.U. Sel. 2780)].
Dengan
kata lain, fatwa mengenai haram menyertai ratu cantik memang telah lama
dikeluarkan. Berdasarkan itu, sesiapa melanggar fatwa boleh didakwa melalui
peruntukan yang telah ditetapkan.
Namun
begitu, setakat ini di Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang yang
melarang penglibatan gadis Islam menyertai pertandingan sedemikian. Untuk
memberi satu status undang-undang secara jelas, dicadangkan agar satu
peruntukan seksyen berkaitan kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik
sebagai satu kesalahan jenayah syariah.
Peruntukan
sebagai satu kesalahan jenayah syariah diharapkan dapat mengelak polimik
mengenai kedudukan dan kesalahan berkaitannya. Sebelum ini terdapat pihak membuat
provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik kepada orang
Islam.
Mereka
mempertikaikan kedudukan institusi fatwa dari sudut perundangan. Mereka mempersoalkan bagaimana fatwa boleh
menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini
telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.
Tindakan
pihak berkenaan ternyata tidak merujuk kepada undang-undang dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Adalah
tidak timbul dakwaan wujudnya diskriminasi dalam fatwa atau hukum yang
dikeluarkan sama ada berasaskan gender, double standard atau sebagainya
jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak tentang hukum itu.
Dalam
membicarakan hukum-hakam Islam, semua pihak, perlu ingat bahawa tidak boleh
dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang
agama kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan salah faham terhadap ajaran
Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya.
Jika
orang Islam dilarang dari berjudi, tidak dibenarkan membeli loteri, masuk
tempat perjudian dan boleh dihadapkan ke mahkamah syariah, maka fatwa melarang
wanita Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik perlu
diperundangkan supaya tindakan boleh diambil terhadap peserta dan penganjur.
Haram
tetap haram, tanggungjawab menjaga maruah agama Islam itu terletak di atas bahu
setiap umatnya, jika sudah terang ia bertentangan dengan hukum agama mengapa
perlu bangga melakukannya. Walaupun pilihan itu adalah hak individu, ia ada
kaitan dengan maruah individu, masyarakat dan agama Islam itu sendiri.
Isu
wanita muslim dilarang menyertai pertandingan ratu cantik memang jelas dilarang
oleh Islam. Sebagai seorang yang beragama Islam, menjadi kewajipan mereka
mematuhi hukum Allah atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perlakuan
yang bersalahan dengan hukum ditetapkan secara qati'e dalam al-Quran dan hadis.
Kita
tidak akan habis memperkatakan polemik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan
benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang
sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam
terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya
boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".
Kalau
nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh
dicari, hatta sebesar kuman pun.
Perbuatan
mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama
Islam. Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan
mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan
orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata,
itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar
melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk
memelihara iman orang lain.
Atas
dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara
ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan
diperlihatkan kepada umum.
Pertandingan
ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan
yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan
masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.
Islam
telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita
Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat
yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim
adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.
Lihatlah
betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga
menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya
wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai
tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.
Isu
ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan'
ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja
Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan
ratu cantik kelak?
Cukup
merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman
sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.
Inilah
kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan
kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan
memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.
Tatarstan,
sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan
pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia
15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan
tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya.
Yang
penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada
wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap
pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita
Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis
Islam lain.
Wanita
hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang
telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan
keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan
seumpamanya
Pihak
yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan
isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga
maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.
Kita
tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan
pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan.
Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.
Gambar: Pemandangan di Pulau Beluru. Sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment