Dalam kalangan ramai-ramai Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi adalah PM yang aku paling dapat relate.
Selain merupakan seorang bekas (pegawai tadbir dan
diplomatik) PTD, beliau juga adalah perdana menteri (PM) ketika aku mula
berjinak-jinak membaca berita dunia, mengikuti perkembangan geopolitik global.
Zaman beliau menjadi PM (2003–2009) adalah tempoh yang
kritikal dalam geopolitik dunia.
China masih belum menjadi kuasa dunia. Putin baru sahaja
mula mengukuhkan cengkamannya di Rusia. Platform kerjasama dalam bidang ekonomi bagi
negara-negara yang sedang pesat membangun melibatkan Brazil, Russia, India dan China
(BRICS) baru wujud tahun 2006. Afrika Selatan menyerti BRICS pada 2010.
Amerika Syarikat pula berada di kemuncak kuasa hegemoni di
bawah Presiden George W. Bush, menyerang Iraq tanpa mampu dihalang sesiapa pun.
Namun, tanda-tanda kemerosotan hegemoni Amerika Syarikat juga
sudah mula kelihatan. Terlalu banyak campur tangan ketenteraan menyebabkan
keletihan strategik.
Dalam masa yang sama, China dan Rusia mula membina kekuatan
ekonomi masing-masing, bersedia untuk mencabar status quo.
Di tengah-tengah era peralihan ini, Malaysia bertuah
mempunyai seorang pemimpin seperti Tun Abdullah.
Seorang yang tenang, berhemah, dan membawa pendekatan
diplomasi yang sederhana tapi bijaksana.
Pengalaman beliau sebagai Menteri Luar (satu-satunya PM
selain Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang pernah memegang portfolio
ini) menjadikan dasar luar Malaysia stabil dan inovatif.
Salah satu langkah paling genius dalam era beliau ialah
penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS) yang pertama,
ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2005.
EAS menghimpunkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea
Selata, tiga kuasa besar Asia Timur yang sering bertelagah, tapi berjaya duduk
semeja melalui EAS.
EAS kemudian dikembangkan untuk melibatkan Australia, New
Zealand dan India, menjadi asas kepada kerjasama ekonomi RCEP (Regional
Comprehensive Economic Partnership) yang kini menjadi blok perdagangan terbesar
dunia.
Dengan EAS, ASEAN bukan lagi sekadar blok Asia Tenggara.
ASEAN mula membawa makna Asia Timur, Asia Pasifik, dan Indo-Pasifik.
Sampai Amerika Syarikat pun kena mengambil tahu pasal ASEAN,
walaupun dalam kabinet Trump hari ini ada menteri yang tak kenal ASEAN.
Setiap kali Malaysia menjadi pengerusi ASEAN (2005, 2015,
2025), Kuala Lumpur pasti menjadi tumpuan dunia.
Ada satu detik penting semasa EAS pertama yang sangat
simbolik dan memperlihatkan kebijaksanaan diplomasi Tun Abdullah.
Ketika itu, hubungan antara China dan Jepun sangat tegang
akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua.
Jepun dikatakan tak mengakui jenayah perangnya, yang
mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat China.
Demonstrasi besar-besaran tercetus. Produk Jepun diboikot
dan dibakar di China.
Dalam keadaan tegang ini, kedua-dua PM Junichiro Koizumi
dari Jepun dan Wen Jiabao dari China hadir ke EAS pertama di Kuala Lumpur.
Tidak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut
protokol, tapi Koizumi dan Wen telah ditempatkan duduk bersebelahan, sedangkan
mereka tak mampu “see eye to eye”.
Secara "kebetulan" (tidak pasti sengaja atau tak),
pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tidak ada dakwat, pada saat semua
pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur.
Maka, Koizumi meminjam pen daripada Wen. Wen kelihatan
sedikit kekok, hendak hulurkan atau tak.
Namun, Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan
memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi. Akhirnya, Wen
menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya.
Hanya dengan satu tindakan kecil, Malaysia berjaya meredakan
ketegangan antara dua kuasa besar Asia Timur.
Itulah seni diplomasi Malaysia, diplomasi yang halus tapi
penuh makna.
Tak perlu slogan yang gempak, imej yang grand, hanya
bertindak sebagai "honest broker" yang membina jambatan antara kuasa
yang saling bertelagah.
Dan Tun Abdullah adalah salah seorang tokoh terulung dalam
seni itu yang semakin dilupakan hari ini.
Jasamu dikenang, Tun. Semoga damai abadi bersamamu.
Oleh:
Ayman Rashdan Wong
No comments:
Post a Comment