Wednesday, 26 March 2025

KISAH DI SEBALIK BAYI POLISTIRENA BANJIR 2014

 
Kisah bayi polistirena pernah tular tidur nyenyak di dalam kotak polistirena didodoikan selawat merdu oleh bapa ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014, Bayi polistirena kini pelajar cemerlang, raih 9A UPKK 2024
 
Bayi tersebut, Muhammad Fauzan bin Mohd Abdul Hadi, kelahiran Ranau, Sabah ketika itu pulang bercuti di rumah neneknya, Fatimah binti Yusof, di Jalan Masjid Padang Bongor, Kota Bharu, kelantan.
 
Bapanya, Mohd Abdul Hadi bin Ismail, berasal Kota Bharu, Kelantan dan ibunya Azrinah Mohamad berasal Ranau, Sabah. Kedua-dua ibu bapanya adalah guru yang kini bertugas di Ranau.
 
Fauzan yang dilahirkan pada 22 Okt 2013, baru berusia setahun dua bulan ketika bah besar melanda Kelantan. Video Fauzan yang tidur-tidur ayam di dalam polistirena dirakamkan oleh ibu saudaranya, Siti Aishah bin Ismail, kemudian dimuat naik di dalam akaun FB.
 
Video tersebut mendapat tanda suka, komen dan kongsi yang amat banyak sehingga ia menjadi tular. Banyak komen sebagai tanda simpati kerana bayi terpaksa ditidurkan di dalam kotak polistirena disebabkan bencana banjir. Tidak kurang juga memuji suara bapanya mendodoikan dengan suara sedih.
 
Ada yang menyatakan rasa amat sedih dan bersedia untuk menghantar buaian kepada Fauzan, anak ketiga daripada lima adik beradik itu dan bantuan lain kepada keluarganya. Namun, ibu saudaranya sekadar memberi jawapan “terima kasih” dan menyatakan tidak perlu untuk menghantarkan buaian atau bantuan lain.
 
Ini kerana pada hakikatnya, biarpun menjadi sebahagian daripada mangsa banjir, keluarga nenek Fauzan tidaklah terkesan teruk. Air banjir hanya berada di paras 30 cm sahaja di halaman rumah. Air tidak memasuki di dalam rumah, kecuali sedikit di bahagian dapur.
 
Hal ini jauh berbeza dengan mangsa banjir lain yang rumah mereka ditengelami air melepasi bumbung, ada rumah yang dihanyutkan dan mangsa keputusan bekalan makanan.
 
Sedangkan, keluarga nenek Fauzan boleh dikatakan tidak terjejas langsung. Dua abang Fauzan bersama sepupu lain riang bermain air di laman rumah. Tidak nampak pun suasana dilanda bencana.
 
Fauzan tertidur di dalam polistirena yang dijadikan “perahu” untuk bermain sebelum itu, ditolak dan ditarik. Video itu sebenarnya lebih kepada “lucu” melihat muka Fauzan dan “asyik” dengan suara merdu bapanya. Jadi, tidak timbul kisah sedih di sebalik video tersebut.
 
Fauzan dan keluarganya tinggal di Ranau, Sabah sejak dilahirkan sehingga sekarang. Datuk dan keluarga sebelah ibunya memang tinggal di Ranau dan tempat lain di Sabah.
 
Tidak timbul soal ibu bapa Fauzan berpindah dari Kota Bharu dan kini tinggal di Ranau seperti dilaporkan sebuah portal. Mereka memang tinggal di Ranau, sedangkan Kota Bharu hanya tempat bercuti balik ke rumah nenek sebelah bapanya.
 
Fauzan dan ibu bapa serta empat lain adik beradiknya setiap tahun akan pulang bercuti di Kota Bharu, biarpun neneknya sudah meninggal dunia dua tahun lalu. Fauzan ada lebih 100 orang sepupu di sebelah bapanya. Memang meriah setiap kali cuti.
 
Kejayaan Fauzan mencapai 9A UPKK 2024 dikongsikan dengan dua orang sepupunya yang turut mencapai 9A. Dua orang tersebut ialah Umar Azzarqowie bin Mohd Juneed dan Muhammad Fahim bin Mohd Sharudin. Umar menduduki UPKK di Kelantan, manakala Fahim di Perak. Mereka menjadi sebahagian daripada 22,351 calon yang memperoleh keputusan penuh 9A.di seluruh negara. Seramai 236,986 pelajar menduduki UPKK 2024,


Dari kiri - Fauzan, Umar dan Fahim

Fauzan bersama bapanya.

No comments:

Post a Comment