Saturday 2 November 2024

IKAN KELI LIMBAT

 
Ikan limbat (clarias nieuhofi) adalah sejenis ikan darat. Disebabkan bentuk tubuhnya hampir menyerupai ikan keli, maka lebih dikenali dengan nama ikan keli limbat biarpun tidak dikategorikan sebagai ikan keli. Ikan limbat hidup dalam kawasan belukar atau semak-samun yang ditakungi air di kawasan sawah.
 
Ikan keli limbat mempunyai ukuran tubuh lebih dua kali ganda ketimbang daripada ikan keli biasa. Tubuh sangat memanjang yang memberikan penampilan yang sangat mirip belut. Tubuhnya berwarna kuning pekat. Ikan keli limbat kini sukar untuk ditemui.  
 
Spesies ini dikatakan mula berkurangan sejak awal 80-an ketimbang masa sebelumnya kerana kekurangan habitat semula jadinya seperti paya belukar, sawah terbiar dan kawasan air bertakung seperti di hulu sungai dan alur sungai. Sumber makanan ikan keli limbat seperti anak ikan, serangga dan udang.  
 
Ikan limbat mudah dibezakan kerana warna berlainan berbanding keli biasa. Biasanya badan keli limbat mempunyai bintik-bintik kuning. Terdapat juga limbat yang berwarna kuning sepenuhnya.
 
Ikan limbat juga digelar pemakan bangkai kerana akan membedal apa sahaja umpan yang dihulurkan. Umpan terbaik untuk memancing ikan keli limbat ialah buah kelapa sawit dan daging ayam. Dikatakan ikan keli limbat 'sanggup' naik ke darat untuk memakan bangkai yang ada di tepi.
 
Terdapat kampung yang menggunakan nama 'limbat'. Di Kelantan terdapat Kampung Limbat dan di Terengganu pula Kampung Alor Limbat.
 
Ikan keli limbat isinya lembut berbanding keli biasa. Rasanya sangat sedap. Keli limbat dikatakan kaya dengan omega-3 dan sid docosahexaenoic (DHA) yang baik untuk tumbesaran otak kanak-kanak.

Ikan keli ini perlu dibersihkan dengan cara betul bagi menghilangkan rasa lumpur dan hanyir yang kuat. Ia dapat dilakukan dengan cara:
- Buang semua isi dalam badan ikan
- Keluarkan kesemua darah baku, terutama di kawasan “akar” sengat.
- Lumur dengan asam jawa, garam dan limau nipis.
- Lakukan berulang kali sehingga benar-benar telah hilang bau lumpur dan lendir.

 

No comments:

Post a Comment