Friday 18 October 2024

SEJARAH ISTANA BALAI BESAR

 
Istana Balai Besar bangunan bersejarah di Kota Bharu yang menjadi permulaan bandar Kota Bharu. Istana Balai Besar dipercayai mula dibina pada tahun 1844 oleh Sultan Muhammad II.
 
Sebelum itu, pusat pemerintahan Kelantan terletak di Kota Saba atau Pulau Saba yang lokasinya berada berhampiran Tambatan Diraja sekarang ini. Di Kota Saba terdapat istana, pembendaharan negeri dan masjid diraja serta satu kawasan petempatan kerabat diraja dan pemimpin negeri.
 
Kawasan Kota Saba mengalami hakisan terus setiap kali musim banjir. Biarpun pelbagai usaha dilakukan, hakisan tetap berlaku sehingga Sultan Muhammad II menitahkan supaya dibina sebuah kota baharu di bahagian darat.  
 
Pembinaan Istana Balai Besar ini telah dibina oleh tukang mahir di Kelantan dan diketuai oleh tukang mahir yang berasal dari Terengganu iaitu Muhammad Salleh yang menetap di Pasir Mas. Pada masa itu, Muhammad Salleh merupakan satu-satunya orang yang berpengalaman dalam membuat ukiran.

Selain, istana tempat bersemayam sultan, di dalam kota juga dibina tempat tinggal pembesar negeri. Maka, kota itu dikenali dengan nama “kota baharu”. Bagaimanapun, paggilan kota baharu itu kemudiannya turut merangkumi kawasan sekitarnya dan nama kota baharu itu telah menjadi nama rasmi pusat pentadbiran negeri Kelantan dan dikenali dengan nama Kota Bharu yang bukan sahaja merujuk kepada kota tempat bersemayam Sultan Kelantan, tetapi juga ibu negeri serta nama jajahan (daerah).
 
Nama kota tempat bersemayam Sultan Kelantan itu kemudian dikenali sebagai Istana Balai Besar yang kekal sehingga sekarang. Istana Balai Besar ini telah menjadi tempat bersemayam beberapa orang Sultan iaitu bermula dari Sultan Muhammad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891), Sultan Mansur (1891-1900) dan Sultan Muhammad IV (1900-1920).
 
Istana Balai Besar adalah Istana Keramat buat keturunan Kesultanan Kelantan dan disinilah tempat berlangsungnya segala upacara rasmi dan adat istiadat diraja dari tahun 1845 hingga sekarang.
 
Upacara rasmi yang pertama diadakan sempena menyambut Surat Sejabat atau pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhammad II.
 
Isi kandungan Surat Sejabat ini adalah pengesahan Tuan Senik Mulut Merah sebagai Sultan Muhammad II oleh Raja Siam yang juga penaung Kelantan. Raja Siam tersebut juga memberi gelaran kepada Sultan Muhammad II sebagai Pia Lecha Kelantan.
 
Sepanjang istana ini menjadi tempat bersemayam sultan-sultan Kelantan, beberapa tambahan telah dilakukan pada Istana Balai Besar seperti pada bahagian hadapan dan balai penghadapan iaitu pada masa pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail. Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan bentuk asal reka bentuk istana yang unik ini.
 
Walaupun Istana Balai Besar tidak lagi menjadi kediaman Sultan-sultan Kelantan selepas Sultan Muhamad IV, tetapi istana ini tetap dijadikan istana rasmi bagi segala upacara dan adat istiadat diraja sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment