Tuesday 1 October 2024

HIKING BUKIT PERAHU, TAMPARULI

 
Bukit Perahu, Tamparuli, Sabah terkenal sebagai lokasi kembara berjalan kaki (hiking) di kalangan penduduk tempatan. Bukit Perahu yang juga dikenali Bukit St. Veronica di kalangan penganut Kristian hanya mengambil masa memandu sejam dari bandar Kota Kinabalu.
 
Nama Bukit Perahu diambil berdasarkan bentuk batuan unik yang ditemui di atas bukit tersebut yang menyerupai kapal yang terkandas. Bagaimanapun, ia tidak dipanggil “bukit kapal”, sebaliknya dipanggil Bukit Perahu kerana “perahu” juga merujuk kepada “kapal”.
 
Bukit Perahu hanya berketinggian kira-kira 300 meter dari paras laut, namun dianggap hiking mencabar kerana keadaan laluan yang curam sehingga ada yang tegap 90 darjah.
 
Untuk memudahkan aktiviti hiking, pihak berkuasa tempatan telah membina laluan simen dan tangga yang bukan sahaja memudahkan, tetapi juga menyediakan keadaan yang lebih selamat dan santai kepada pengunjung. Selain itu, laluan tersebut juga diterangi dengan lampu solar.
 
Justeru, untuk sampai ke puncak hanya mengambil masa kira 20 hingga 45 minit sahaja jika berjalan secara berterusan. Namun, tentu sahaja masa lebih lama perlu diambil jika banyak kali berhenti rehat atau berjalan santai yang tidak menetap masa untuk sampai di puncaik.
 
Selain digunakan mereka melakukan hiking, laluan itu dijadikan laluan oleh penganut Roman Katolik tempatan menuju puncak untuk memperingati Stesen Salib (atau Jalan Salib). Terdapat 14 salib menandakan setiap pusat pemeriksaan dengan gambar dan penerangan Yesus Kristus membawa palang ke salibnya.
 
Sebenarnya, Bukit Perahu yang terletak di Kampung Ruhiang itu mula dikenali apabila dijadikan lokasi sesuai untuk kegiatan sukan lasak luncur udara atau paragliding sejak 2009.
 
Bukit itu adalah antara tujuh lokasi kegiatan luncur udara di Sabah. Lokasi lain ialah Kokol Menggatal, Puncak Selatangunung Kinabalu, Kampung Lohan Ranau; Bukit Lohan Ulu Ranau, Bukit Sim Sim Sandakan dan Bukit Trig di Sandakan.
 
Lazimnya, pendakian bermula seawal jam 4 pagi oleh mereka yang ingin menyaksikan keindahan matahari terbit dari arah Gunung Kinabalu, manakala pendakian terakhir sebelum matahari terbenam jam 6 petang.
 
Dari puncak, pengunjung berpeluang melihat suasana sekitar yang masih ditutupi hutan serta pemandangan pekan Tamparuli yang pesat membangun.


No comments:

Post a Comment