Wednesday 14 August 2024

WAYANG KULIT KELANTAN

 
Wayang kulit Kelantan adalah satu persembahan menggunakan konsep cahaya dan bayang. Cahaya akan dipancarkan di belakang kelir dan patung-patung wayang yang diperbuat daripada kulit haiwan akan digerak-gerakkan di antara kelir dan cahaya. Patung-patung digerakkan oleh seorang tok dalang mengikut cerita yang dibawa berserta iringan muzik.
 
Himpunan cerita dalam persembahan wayang kulit Kelantan sebahagian besarnya berdasarkan versi lisan dan sastera Melayu epik India kuno iaitu ‘Ramayana’ yang menceritakan penggembaraan Seri Rama, isterinya Siti Dewi dan Maharaja Rawana.
 
Wayang kulit Kelantan akan diterajui oleh seorang tukang cerita yang dipanggil tok dalang. Tok dalang yang merupakan pemimpin kumpulan bertindak sebagai pemain segala peranan dalam persembahan wayang kulit, antaranya sebagai penulis cerita, pengarah lakonan, pengatur pentas, penyusun iringan, pengisah, pemain watak, dan juga "penyanyi".
 
Dengan kata lain, tok dalang adalah seseorang yang mempunyai kemahiran pelbagai ilmu dan disiplin. Terdapat dua jenis tok dalang iaitu tok dalang muda dan tok dalang tua. Tok dalang muda berperanan memulakan persembahan iaitu sewaktu bermulanya lagu bertabuh, manakala persembahan isi cerita akan diambil alih oleh tok dalang tua sehinggalah tamat persembahan.
 
Alat-alat muzik yang digunakan dalam persembahan wayang kulit Kelantan terdiri daripada gendang, serunai, gedombak, geduk, gong, kesi dan canang. Wayang kulit Kelantan terkenal di kawasan luar bandar di mana ia dipersembahkan semasa resepsi perkahwinan, berkhatan, pesta menuai dan di acara keramaian.
 
Kini persembahan wayang kulit Kelantan turut dipentaskan di tempat-tempat berprestij seperti Teater Kebangsaan, Dewan konvensyen, dan ruang rekreasi awam
 
Sumber - https://www.heritage.gov.my/my/wayang-kulit-kelantan.html

No comments:

Post a Comment