Friday 23 April 2021

TOK BACHOK TOKOH ULAMA NUSANTARA

 
Tok Bachok atau nama sebenar Uthman bin Muhammad (1868 – 1953) merupakan salah seorang tokoh ulama di Nusantara yang terkemuka dan ulamak Melayu yang bertanggungjawab mengembangkan syiar Islam di Nusantara.

Beliau dilahirkan pada tahun 1860 Masihi bersamaan dengan 1279 Hijrah di sebuah kampung yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Burung. Beliau berasal dari keturunan Cina Muslim Monggolia.

Tok Bachok adalah seorang guru agama yang seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Selehor, Tok Kemunting dan beberapa orang lagi yang bergiat aktif di Kelantan dalam keagamaan.

Di antara guru beliau ialah Wan Ali Kutan, Abdul Malek Sungai Pinang, Wan Ahmad al Fathoni dan lain-lain.

Tok Bachok menghabiskan 15 tahun umurnya di Mekah untuk meyambung pelajaran. Beliau kembali semula ke tanah air ketika berusia 40 tahun.

Beliau kemudian menubuhkan sekolah pondok untuk mengajar agama. Sehingga kini tapak tinggalan pondok tersebut masih boleh dilihat di sekitar tapak perkuburan besar bandar Bachok. Beliau diberi gelaran Tok Bachok kerana kemasyhuran beliau dalam mengajar ilmu yang berpusat di Bachok.

Tok Bachok ialah seorang yang bercakap dan menghukum dengan penuh hikmah. Diceritakan pada suatu ketika, seorang muridnya di sekolah pondok ditangkap kerana merokok. 

Barangkali, murid tersebut, pelajar-pelajar lain dan guru yang mengajar di sekolah yang sama menyangka bahawa Tok Bachok akan memberi hukuman yang berat kepada pelajar tersebut.

Namun, sangkaan mereka itu semua meleset jauh. Apa yang Tok Bachok lakukan adalah dengan menyuruh pelajar-pelajarnya mengambil puting rokok tersebut diikat dengan seutas tali. Kemudian, tali tersebut ditarik ramai-ramai dan dihumban ke dalam laut.

Di sebalik tindakan yang diambil oleh Tok Bachok itu mungkin mahukan semua orang yang menjadi saksi kejadian itu mengutip iktibar bahawa perbuatan merokok perlu dicegah dan dijauhi oleh semua pihak.

Pada hayatnya, Tok Bachok telah berkahwin dengan beberapa orang isteri, antaranya ialah Che Membunga (Tok Ji), Zabidah dan Che Embun.

Anak beliau adalah Yasin (Ustaz Yasin), Che Mariam, Mohd Amin (Baba),  Mustaffa, Mohd Zain (Tok Ayah Zain), Mohd Nor, Abd Aziz (Pak Jid), Hassan, Hussin, Abd Khir, dan Mohd Rashidy.

Pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 bersamaan 27 Julai 1953, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jenazahnya telah dikebumikan di tanahnya sendiri yang seterusnya diwakafkan sebagai perkuburan Bachok ketika berusia 93 tahun.

No comments:

Post a Comment