Wednesday 4 March 2020

PERSAMAAN BABI DAN RASUAH


Bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia, bila disebut tentang babi, maka akan timbul perasaan jijik peringkat paling tinggi di dalam jiwa mereka. Perasaan ini mungkin terbit kerana Islam melarang umatnya memakan daging haiwan tersebut.  

Dalam ajaran Islam setiap yang haram, jika dilakukan, maka ia boleh mendatangkan dosa kepada si pelakunya. Bagaimanapun dalam sesetengah hal, kita sering mempunyai tanggapan yang berbeza-beza terhadap sesuatu perkara sedangkan hukumnya adalah sama.  

Contohnya rasuah dan salah guna kuasa. Kedua-duanya merupakan suatu amalan yang diharamkan oleh agama Islam dan dianggap jenayah dalam undang-undang negara.

Persoalannya, adakah tahap jijik kita sebagai orang Islam terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa ini berada pada tahap yang sama sebagaimana kita memandang jijik terhadap babi?

Banyak kepincangan yang berlaku baik dalam dunia perniagaan, politik dan kemasyarakatan menjelaskan kepada kita bahawa unsur-unsur kebendaan, sifat ananiah (mementingkan diri sendiri) dan runtunan hawa nafsu merupakan paksi utama yang diguna pakai oleh kebanyakan anggota masyarakat dalam membuat keputusan mereka.

Lebih malang lagi apabila ia menjadi pedoman utama segelintir pihak yang mempunyai kuasa dalam sesebuah badan atau pertubuhan.

Maka tidak hairanlah jika ketika kerajaan berusaha sedaya upaya menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat baik di peringkat keluarga, syarikat korporat mahupun kalangan penjawat awam melalui pelbagai dasar dan slogan; kita masih lagi dihidangkan dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa, keruntuhan akhlak (baik remaja mahupun dewasa) dan sebagainya.

Di sini kekuatan iman amat perlu dalam diri setiap insan. Ini kerana iman bukan saja dapat memelihara diri daripada melakukan perkara yang menyalahi arahan agama bahkan dapat mencegah diri daripada terjerumus ke dalam suasana yang boleh mendatangkan syak wasangka masyarakat ke atas diri dan juga institusi yang diwakilinya.

Sebagaimana Islam melarang perlakuan zina dengan mengharamkan punca kepadanya seperti berdua-duaan di tempat sunyi, begitulah pendekatan yang perlu diambil dalam menangani masalah rasuah.

Sebab itulah generasi awal Islam menolak sebarang perkara yang boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam amalan ini. Malah mereka cuba mengelaknya sehabis mungkin sehinggakan para hakim dilarang untuk dipayung ketika hujan kerana dikhuatiri mereka akan terasa terhutang budi yang akhirnya boleh menyebabkan mereka tidak dapat memberi keadilan semasa menjalankan tugas.

Dengan kata lain, dalam usaha mencegah sebarang kemungkaran yang berlaku, agama Islam menganjurkan pendekatan pencegahan di peringkat akar umbi lagi, bukan bila masalah sudah merebak dan membesar.

Mungkinkah dengan mengubah tanggapan masyarakat bahawa rasuah dan salah guna kuasa, bukan sahaja haram bahkan menjijikkan, sebagaimana hukum ke atas babi, barangkali ia dapat mengurangkan masalah ini.

No comments:

Post a Comment