Monday 9 July 2018

BATAS HUBUNGAN SEMASA BERTUNANG

Ikatan pertunangan bukan kebenaran membolehkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Lelaki dan perempuan yang telah bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti mana hubungan bukan muhrim.

Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang telah menjadi bertunang agar tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Alasan bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna semuanya sudah boleh dilakukan sepertimana pasangan yang telah berkahwin.

Ramai ibu bapa dan anak muda tidak memahami hukum dan falsafah pensyariatan pertunangan. Mereka beranggapan menerusi majlis pertunangan mereka sudah halal untuk berpegangan tangan, berdua-duaan, bergesel-geselan. Semua itu haram selagi tidak berlaku akad pernikahan.

Perlu ditegaskan, hubungan pertunangan masih belum boleh menghalalkan pergaulan antara pasangan. Mereka hanya terikat dengan hukum perjanjian untuk melangsungkan pernikahan yang mungkin berlaku atau sebaliknya.

Batasan syariat bagi pasangan yang dalam tempoh pertunangan antaranya, tidak mendedahkan aurat kepada pasangan atau ibu bapa pasangan kerana masih belum tergolong dalam kalangan mahram.

Tidak boleh berdua-duaan antara pasangan atau antara ibu bapa (berlainan jantina) di tempat sunyi dan mencurigakan kerana hukum mereka sama seperti orang luar yang tiada hubungan kekeluargaan.

Tidak terikat dengan sebarang hak yang boleh dinikmati oleh pasangan suami isteri. Wajib menjaga tingkah laku, adab dan syariat ketika mereka bersua untuk berbicara dan saling kenal mengenali. Tidak berhias melampaui batas sehingga mengalahkan pasangan yang telah berkahwin.

Ikatan pertunangan hanya satu perjanjian di antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada masa akan datang. Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bebas bergaul dengan tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh anaknya.

Sekiranya dirasakan ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas, maka pihak ibu bapa perlu memikirkan agar perkahwinan disegerakan. Tindakan tersebut dapat mengelakkan daripada berlaku keterlanjuran.

Tambahan pula semasa tempoh pertunangan yang lama sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan pertunangan. Banyak cabaran dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh pasangan bertunang. 

Sering kali terdapat pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan fitnah dan usaha memutuskan pertunangan itu. Perbuatan tersebut dilakukan oleh mereka yang berdengki melihat pasangan yang bakal berkahwin dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga kemudiannya. 

Maka, wajarlah perkahwinan disegerakan. Lebih awal berkahwin, lebih cepat merasai dan mendapat apa yang diharapkan melalui perkahwinan. Kebahagiaan hidup berkeluarga merupakan sebahagian daripada nikmat-nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan perempuan.

Berkahwin awal antara lain berpeluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat merupakan anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan berkahwin perlu menyimpan hasrat ingin mandapat zuriat yang banyak.

Zuriat menyediakan rezeki yang lebih luas dan kehidupan yang lebih bahagia. Hubungan tali pertunangan bukan satu cara untuk menghalalkan sesuatu yang asalnya haram. 
 
Satu-satunya akad yang mampu menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan adalah akad perkahwinan.

No comments:

Post a Comment