Wednesday 11 July 2018

Cegah perbuatan vandalisme

Banyak kes vandalisme dilakukan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan awam yang disediakan untuk kepentingan umum. Perbuatan itu biasanya dilakukan golongan pelajar dan remaja yang mencari kepuasan dan keseronakan melalui perbuatan vandalisme. 

Kerosakan atau hilang fungsi kemudahan awam menyebabkan banyak pihak menanggung kerugian, bahkan mendatangkan bahaya. Perbuatan itu perlu dihentikan segera sebelum merebak menjadi satu budaya yang merugikan semua pihak.

Negara berusaha melahirkan modal insan yang menyumbang tenaga ke arah memajukan negara, bukannya mendatangkan beban kepada negara.   

Usaha mendidik rakyat menghargai setiap kemudahan yang disediakan perlu ditingkatkan selari dengan kejayaan negara menyediaan infrastruktur kelas pertama.

Dari segi fizikal, negara telah berjaya menyediakan infrastruktur kelas pertama, tetapi sayangnya mentaliti rakyat tidak selari dengan pencapaian itu.

Amat merugikan infrastruktur kelas pertama yang disediakan dimusnahkan oleh vandalisme. Golongan yang hanya layak dikatakan mempunyai mentaliti kelas ketiga tidak dapat menghargai infrastruktur kelas pertama.

Usaha pencegahan dan pengawasan yang mapan dan konsisten terhadap kemudahan yang disediakan akan menyelamatkan rakyat daripada berhadapan dengan pelbagai implikasi negatif yang mungkin timbul akibat perbuatan vandalisme. 

Kaedah menanganinya perlu diperbaiki dengan memastikan undang-undang dan peraturan yang ketat dilaksanakan supaya kejadian seperti ini tidak berlaku.

Di negara lain, individu yang terlibat merosakkan kemudahan awam dikenakan hukuman tegas. Mereka tidak terlepas dikenakan hukuman dan tidak berpeluang mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Sikap rakyat yang tidak ambil peduli tentang perkara itu menyebabkan perbuatan vandalisme berleluasa. Masyarakat hanya menunjukkan sikap ‘marah’ jika ia berkaitan kepentingan diri sendiri sahaja. 

Perubahan minda rakyat kepada mentaliti kelas pertama menjadi asas penting dalam usaha mengelak kemudahan awam menjadi mangsa vandalisme.

No comments:

Post a Comment