Saturday, 23 September 2023

MENDOAKAN KEBAIKAN UNTUK PEMIMPIN

 
Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah ialah sunat mendoakan kebaikan buat para pemimpin dan haram mendoakan laknat ke atas mereka. Hal ini kerana kebaikan mereka menjadi sebab untuk rakyat mendapat limpahan kebaikan manakala kejahatan mereka menjadi sebab umat berhadapan dengan pelbagai bencana dan kejahatan daripada mereka.
 
Pegangan ini berbeza dengan kelompok Khawarij yang mengangkat senjata memerangi pemerintah umat Islam apabila melakukan dosa dan mengkafirkan pemimpin disebabkan oleh dosa besar mereka dan mendoakan keburukan ke atas pemimpin.
 
Pendapat berkaitan perkara ini dinukilkan oleh tokoh ulama seperti Abdullah bin al-Mubarak (118-181 H), Imam Baihaqi (384-458 H) dan Imam Nawawi (631-676 H).
 
Berkata Imam Abdullah bin al-Mubarak; Sesiapa yang berkata; dikerjakan solat berjamaah di belakang pemimpin yang baik dan jahat, berjihad bersama setiap khalifah dan tidak berpandangan keluar memberontak menentang penguasa dengan pedang dan mendoakan untuk mereka agar menjadi baik maka terkeluarlah daripada pegangan kelompok Khawarij dari awal hingga akhirnya". (Syarah al-Sunnah oleh al-Barbahari)
 
Berkata pula Imam Baihaqi; Abu Uthman berkata; "maka hendaklah kamu menasihati para penguasa dan membanyakkan doa untuknya agar melakukan kebaikan dan bimbingan dengan perkataan, tindakan dan pengadilan. Kerana sesungguhnya apabila mereka menjadi baik maka baiklah hal ehwal hamba-hamba Allah dengan sebab kebaikan mereka. Dan jangan sama sekali kamu mendoakan laknat ke atas mereka lalu mereka bertambah kejahatan dan bertambah bala bencana ke atas orang-orang Islam. Tetapi doakan untuk mereka taubat lantas mereka meninggalkan kejahatan. Dengan itu terangkatlah bala benjana ujian Allah daripada orang beriman". (Syu'ab al-Iman Hadis 7401 Fasal Tentang Menasihati Pemimpin dan Memperingatkan Mereka)
 
Berkata Imam Nawawi: "Mendoakan untuk pemimpin dan pentadbir urusan umat Islam agar beroleh kebaikan, agar dibantu atas kebenaran, menegakkan keadilan dan seumpamanya, begitu juga doa buat tentera Islam hukumnya adalah sunat dengan sepakat ulamak" (Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, Juz 4, Ms 391)
 
Adapun doa Nabi SAW yang umum agar Allah memudahkan urusan pemimpin yang memudahkan urusan rakyat dan menyusahkan para pemimpin yang menyusahkan rakyat, ia adalah doa umum untuk pelaku kebaikan dan kejahatan. Ia bukannya dalil mengharuskan orang Islam mendoakan keburukan kepada pemimpin tetapi ia dalil kewajipan pemimpin memudahkan urusan rakyat dan haram bagi para pemimpin menyusahkan rakyat.
 
Rasulullah SAW bersabda: "Ya Allah, sesiapa yang menguruskan apa-apa urusan umatku lalu menyusahkan mereka maka susahkanlah dirinya. Dan sesiapa yang menguruskan apa-apa urusan umatku lalu berlunak dengan mereka maka berlunaklah dengannya." (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment