Sunday, 22 November 2020

ARAK, RASUAH: MANA LEBIH BAHAYA

 
Antara arak dan rasuah mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Jawabnya tentu rasuah. Rasuah lebih banyak mendatangkan kerosakan apabila banyak peraturan, termasuk yang berkaitan dengan keselamatan negara, tidak dipatuhi. 
 
Negara diambang kemusnahan disebabkan berleluasa amalan rasuah di kalangan ahli politik, pejawat awam dan rakyat.

Penjenayah merasuah penguatkuasa agar perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan mereka tidak dikenakan tindakan, bahkan dibantu agar dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Jadi, tidak timbul soal mana lebih bahaya antara rasuah dengan arak. Majoriti rakyat, kalaupun bukan semua, pasti akan mengatakan rasuah lebih berbahaya. Bahaya arak hanya melibatkan peminum arak dan kes tertentu seperti kemalangan akibat memandu ketika mabuk serta kesalahan lain.

Tetapi, mengapa perlu membandingkan keburukan perbuatan rasuah dengan minum arak? Antara keduanya tiada kaitan dan kita tidak perlu membuat pilihan dalam usaha pencegahannya.

Kerajaan sentiasa mengutamakan kempen dan usaha pencegahan amalan rasuah. Mengenai masih banyak kes rasuah berlaku bukan bermakna tiada usaha untuk membanterasnya. Usaha terus dilipatgandakan dan banyak kejayaan dicapai apabila tangkapan demi tangkap dilakukan oleh pihak penguatkuasa.

Tentang arak, ia juga mendatangkan keburukan kepada peminum dan masyarakat. Jadi, ia juga perlu dikawal penjualannya dan langkah-langkah untuk mengelak kes tidak diingini berkaitannya seperti memandu semasa mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Apabila kerajaan bercadang mengawal penjualan arak, ia tidak memberi kesan pengurangan kepada usaha membanteras rasuah. 

Usaha mengawal penjualan arak dan membanteras rasuah boleh dijalan serentak kerana ia melibatkan pegawai penguatkuasa yang berbeza, melainkan ia turut melibatkan rasuah dalam penguatkuasaannya.

Mengawal penjualan arak bukan bermakna mencampuri urusan penganut agama lain. Ia bukan berkaitan halal atau haram di sisi agama. Sebaliknya, pengawalan itu bertujuan mencegah kesan buruk akibat minum arak apabila ia mudah diperoleh sehinggakan di kedai runcit dan serbaneka.

Mengapa perlu dikaitkan isu kawalan penjualan arak sebagai mencampuri urusan rakyat bukan Islam? Usaha mengawal penjualan arak adalah sama dengan usaha mengawal aktiviti merokok, iaitu untuk mengurangkan kadar perokok dan peminum arak yang kedua-duanya mendatangkan keburukan.

Media melaporkan, Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji membidas kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary mengenai kemungkinan memperluas larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di seluruh negara.

Ini berikutan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan memperkenalkan larangan itu di Kuala Lumpur mulai Oktober tahun depan.

Patriot menyeru Ahmad Marzuk dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk lebih fokus menangani masalah rasuah.

"Kami ingin meminta Ahmad Shaary untuk memberitahu kami mana yang lebih jahat - minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Kejahatan mana yang paling menarik orang Melayu?

Kepada Annuar dan Ahmad Shaary, beritahu kami di antara dua kejahatan ini, mana yang harus diambil tindakan terlebih dulu - menentang larangan minuman keras atau untuk membasmi rasuah di kalangan masyarakat Melayu," kata Arshad.

Arshad turut menyifatkan kenyataan Ahmad Marzuk sebagai campur tangan dalam urusan orang bukan Islam.

Arshad turut menyifatkan larangan berkenaan "tidak perlu dan tidak masuk akal".

"Orang ramai, terutama orang bukan Islam, memperhatikan apa yang telah dinyatakan oleh pemimpin PAS sebelum ini.

"Orang bukan Islam sering diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan peraturan yang berkaitan dengan Islam dan urusan Islam, termasuk isu Hudud.

"Orang bukan Islam diberitahu bahawa mereka boleh mengambil makanan tidak halal selagi agama mereka mengizinkan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kegagalan berpegang pada prinsip itu akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap Ahmad Marzuk dan pihaknya.

No comments:

Post a Comment