Tuesday 17 August 2021

FAKTA MENARIK BERKENAAN ISHAM JALIL

Hizatul Isham bin Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Isham Jalil adalah anak ketiga dari tujuh orang adik beradik. Beliau datang dari keluarga miskin, bapanya pernah menjadi tukang kebun, pembawa lori dan peniaga pasar malam.

Ibu bapa Isham Jalil adalah akar umbi tegar UMNO. Isham Jalil telah membantu ibu bapanya dan UMNO berkempen sejak kecil iaitu sejak berumur kurang dari 10 tahun. Pada tahun 1986, beliau telah mula menampal poster BN dan membantu menulis ucapan-ucapan untuk ayahnya di peringkat cawangan semasa kempen pilihan raya.

Dari sekolah rendah Isham Jalil adalah pelajar terbaik sehingga ke sekolah menengah dan universiti. Beliau telah mendapat 5A dalam UPSR, 8A1 dalam SRP, dan 9A dalam SPM. 

Oleh kerana cemerlang dalam pelajaran mahupun miskin, beliau telah mendapat biasiswa untuk ke Sekolah Alam Shah dan ke England untuk melanjutkan pengajian pada tahun 1994.

Di England, Isham Jalil menjadi pelajar terbaik lagi dan mendapat kelulusan Ijazah Kelas Pertama dalam bidang kejuruteraan dari antara universiti terkemuka di England iaitu University of Bristol pada tahun 1999. 

Beliau adalah satu-satunya pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama dalam jurusannya pada tahun tersebut.

Sekembalinya ke tanahair selepas tamat pengajian, keadaan ekonomi negara teruk kerana krisis ekonomi tahun 1997-1999 dan pasaran kerja amat merudum. Isham Jalil antara yang terkesan sehingga beliau terpaksa bekerja sebagai buruh kasar untuk mencari rezeki.

Sebelum itu, Isham Jalil juga pernah bekerja sebagai pembantu restoren dengan gaji RM1.50 sejam, pekerja kilang, penjual alat tulis dan sebagainya untuk menyara kehidupan selepas tamat sekolah dan semasa di universiti.

Pada akhir tahun 1999, Isham Jalil telah mendapat kerja di TNB sebagai jurutera pelatih dengan gaji permulaan RM1,330 sebulan. 

Untuk menambah pendapatan dan mengumpul duit untuk berkahwin, Isham Jalil telah membuat kerja sampingan sebagai pensyarah sambilan pada waktu malam selepas waktu pejabat selama 4 hari seminggu daripada pukul 6 petang sehingga 10 malam di UiTM dan UTM selama tiga tahun di antara tahun 2000 ke 2003.

Isham Jalil telah berkhidmat cemerlang di TNB. Beliau telah dilantik menjadi pengurus dalam tempoh yang singkat iaitu selepas empat tahun perkhidmatan, beliau adalah antara pengurus termuda di TNB pada ketika itu. 

Pada tahun 2005, 2006, dan 2007, Isham Jalil telah mendapat anugerah pekerja cemerlang di bahagiannya di TNB selama tiga tahun berturut-turut.

Pada tahun 2008, Isham Jalil telah dinaikkan pangkat dan dihantar ke Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk membantu kerajaan menggubal dasar-dasar tenaga negara terutama yang melibatkan petroliam, elektrik dan gas.

Beliau telah terlibat dalam perangkaan Rancangan Malaysia Ke-10, Dasar Tenaga Negara 2010-2030, program rasionalisasi subsidi dan penyusunan semula industri elektrik negara.

Pada tahun 2010, Isham Jalil telah melanjutkan pengajian ke Harvard University dalam bidang politikal ekonomi di John F. Kennedy School of Government. Di Harvard, beliau juga mengambil jurusan minor undang-undang di Harvard Law School.

Pada tahun 2011, Isham Jalil mengambil jurusan kedua dalam bidang kewangan di Wharton School of Business dengan membuat pinjaman pelajaran.

Selepas tamat pengajian dengan ijazah sarjana dasar awam politikal ekonomi dari Harvard dan ijazah sarjana pengurusan perniagaan (kewangan) dari Wharton, Isham Jalil telah kembali ke tanah air pada tahun 2013.

Di Harvard, Isham Jalil menulis buku bertajuk "Malaysia Beyond 2020: Ideologies and Institutions for Growth". Buku ini diarkibkan di perpustakaan Harvard University.

Pada tahun 2013, Isham Jalil dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib bin Tun Razak. 

Isham Jalil telah dipertanggubjawabkan untuk membuat dasar-dasar jangka sederhana dan panjang negara dalam ekonomi dan sosial.

Selepas hampir 20 tahun dalam perkhidmatan kerajaan dan syarikat kerajaan membuat dasar serta operasi dan perlaksanaan, kerjaya Isham Jalil dalam kerajaan ditamatkan apabila BN kalah pilihan raya pada tahun 2018.

Jawatan terakhir Isham Jalil dalam kerajaan adalah Pengarah (JUSA B ) di Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri.

Selepas BN kalah pilihan raya umum ke-14, pada bulan Jun 2018, Isham Jalil menulis buku bertajuk "Hala tuju UMNO dan Orang-orang Melayu Pasca 9 Mei 2018". 

Sebanyak lebih 1,000 naskhah buku ini telah dijual dalam tempoh sejam di Perhimpunan Agong UMNO 2018 di PWTC.

Walaupun tidak lagi bekerja sebagai pegawai Datuk Seri Najib selepas PRU-14, beliau tetap bersama bekas Perdana Menteri itu menempuhi kesukaran dan kesenangan pahit manis selepas kekalahan BN pada PRU-14.

Apabila ditanya mengapa beliau masih bersama Datuk Seri Najib walaupun Najib telah kalah dan bukan lagi Perdana Menteri, Isham sering menjawab, "Beliau adalah sahabat saya dan beliau adalah orang yang baik, sahabat tidak tinggalkan sahabat semasa kesusahan."

Sepanjang 20 tahun dalam perkhidmatan kerajaan dan syarikat kerajaan, Isham Jalil mempunyai rekod bersih tanpa rasuah. 

Isham sering berkata kegiatan rasuah bergantung kepada nilai moral dan jatidiri seseorang, bukan kepada nilai rasuah yang ditawar walau seringgit ataupun sejuta, jika jati diri kuat ia tetap tidak akan diterima.

Isham Jalil adalah bekas Pengerusi Sukarelawan Malaysia dari tahun 2016-2020. Beliau banyak membantu anak-anak yatim, orang miskin, dan mangsa bencana.

Beliau juga berpengalaman menangani krisis dan pernah ditugaskan oleh Perdana Menteri ke-6 untuk membantu menguruskan krisis banjir besar di Pantai Timur pada tahun 2014 bersama Majlis Keselamatan Negara, JPAM, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.

Isham Jalil pernah dititah menghadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dua minggu sebelum Baginda menaiki takhta pada tahun 2019.

Isham Jalil adalah Pemidato Terbaik Kebangsaan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri pada tahun 1991.

2 comments:

  1. Alhamdulillah....anak org miskin yg sgt berjaya dlm pelajaran n kerjaya. Jangan lupa daratan bila dh berjaya....mcm dr khir toyo...ambik rasuah dan bina rumah berjuta2 rm....umno juga yg disalahkan.

    ReplyDelete