Sunday 18 October 2020

SEBAB KANAK-KANAK TIDAK SUKA MAKAN SAYUR

Berdasarkan statistik Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2019, 94.9 peratus golongan dewasa di negara ini tidak mengambil jumlah sayur-sayuran seperti disyorkan. Fakta ini tentu memberi gambaran tentang tabiat pemakanan yang tidak seimbang. 
 
Sekiranya orang dewasa kurang makan sayur, tentu sekali semakin sukar untuk membudayakan makan sayur di kalangan kanak-kanak. Jika dalam keluarga kurang makan sayur bagaimana hendak terap minat makan sayar dalam diri kanak-kanak. 
 
Kanak-kanak memang sukar atau tidak gemar makan sayur. Ada yang menolak terus jika makanan yang ada sayur di dalamnya. Atau, ada yang akan mengasingkan sayur dan hanya akan makan bahagian yang tiada sayur. 
 
Kanak-kanak mempunyai lidah lebih sensitif daripada golongan dewasa menyebabkan mereka ini peka dengan rasa sayur-sayuran terutama yang hijau lebih pahit. 
 
Ia turut dibuktikan penemuan pada tahun 2003 oleh Generic Science Learning Center University of Utah Amerika Syarikat apabila mendapati gen TAS2R38 iaitu satu siri gen pada brokoli membuatkan profil rasanya yang pahit tidak disukai kanak-kanak. 
 
Itu masalah dihadap oleh kanak-kanak yang menjadi punca kepada tidak gemar makan sayur. Persoalannya, mengapa pula orang dewasa juga tidak suka makan sayur? 
 
Antara faktor penyebab kurang memakan sayur ialah kurang kesedaran, cara masakan dan juga pemilihan jenis sayuran itu sendiri. 
 
Pengambilan sayuran dalam diet harian dapat membantu memenuhi keperluan vitamin dan mineral dalam tubuh badan kita. Buah-buahan dan sayuran adalah unsur penting untuk diet harian yang sihat, seimbang, membekal vitamin, mineral, serat, tenaga, dan komponen kecil lain seperti fitokimia yang berpotensi memberi manfaat kepada kesihatan kita. 
 
Pemakanan yang betul dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi membantu menghalang sejumlah penyakit kronik, termasuk hipertensi, penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser tertentu dan gangguan kesihatan. 
 
Sayuran boleh didefinasikan sebagai bahagian tertentu tumbuh-tumbuhan yang dimakan oleh manusia sebagai makanan seperti bunga, buah, batang, daun, akar, ubi, kulit dan benih. 
 
Sayuran juga boleh didapati dalam pelbagai jenis, rupabentuk, warna dan rasa. Sayuran terbahagi kepada tiga jenis katagori iaitu berdaun, bebuah dan berubi. 
 
Antara contoh sayuran yang berdaun yang sering kita makan ialah bayam, sawi, brokoli dan kangkung. Selain itu juga terdapat juga daun-daunan yang boleh dimakan sebagai ulam-ulaman tanpa perlu dimasak. 
 
Manakala contoh sayuran dari jenis berbuah ialah seperti bendi, labu, terung dan kacang panjang. Sementara lobak, kentang, bawang dan keledek pula dikatagorikan sebagai sayuran yang berubi.

No comments:

Post a Comment