Kehidupan
ini bukan sekadar satu takdir atau berlangsung secara tidak perlu dirancang apa
yang akan terjadi kepada diri, keluarga dan masyarakat. Semua kejayaan dan
kegagalan hidup terjadi hasil apa yang diusahakan oleh manusia sendiri.
Sebenarnya
aturan alam ini sungguh mudah untuk difahami. Sesiapa yang ingin memperoleh
sesuatu kejayaan perlulah dia berusaha dengan gigih mengikut aturan yang
sepatutnya.
Sebaliknya, sesiapa yang rela dirinya menjadi ‘mangsa’ kepada pihak
lain, cukuplah dengan hanya berpeluk tubuh menanti nasib menentukan.
Islam
menganjurkan agar setiap Muslim melakukan sesuatu perkara atau tugasan dengan
tekun untuk mencapai kejayaan seperti yang diharapkan. Hakikatnya, kejayaan
tidak mudah dicapai sekiranya tidak gigih berusaha.
Allah
mengasihi orang yang gigih berusaha dengan memberi kejayaan serta keberkatan
hidup. Apa yang diusahakan dengan gigih dan tekun memdapat balasan yang baik.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila
melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.” (Hadis
riwayat Baihaqi).
Sememangnya
kita wajib mempercayai Rukun Iman yang berkaitan Qada dan Qadar. Ia menyentuh
mengenai keyakinan bahawa apa yang terjadi di dunia ini semuanya ditentukan
oleh Allah. Namun kita perlu faham bahawa Allah menentukan untung nasib manusia
berdasarkan apa yang diusahakan oleh manusia sendiri.
Jadi
sebenarnya apa yang terjadi terhadap manusia adalah hasil usaha yang dilakukan
setiap individu sendiri. Mereka yang berjaya dalam kehidupan adalah hasil usaha
mereka sendiri.
Begitu juga bagi yang berdepan kegagalan perlu menerimanya
dengan fikiran terbuka bahawa dia masih perlu berusaha untuk mencapai kejayaan
seperti yang diharapkan.
Sesungguhnya,
setiap Muslim perlu berusaha mendapatkan kehidupan lebih baik di dunia ini.
Dunia adalah ladang untuk kehidupan di akhirat.
Walaupun
kehidupan di akhirat amat penting, tetapi kehidupan di dunia adalah permulaan
bagi menentukan kehidupan di akhirat. Allah memberi pembalasan bagi setiap
amalan yang dilakukan manusia di dunia ini sama ada kecil atau besar.
Justeru,
Allah tidak melarang hamba-Nya mencari kesenangan hidup di dunia ini. Bahkan
bagi sesiapa yang mencari kebahagiaan hidup di dunia dengan niat mencari
keredaan Allah, maka dia juga beroleh keuntungan di akhirat di atas apa
diusahkan itu.
Ajaran
Islam memerintahkan agar setiap orang Islam berusaha bersungguh-sungguh mencari
kebahagian hidup di dunia sebagai satu limpah rahmat daripada Allah.
Sifat
tidak mahu merebut peluang kehidupan di dunia ini samalah seperti tidak
menghargai atau menolak anugerah daripada Allah.
Firman
Allah bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah
kepadamu itu kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 77).
No comments:
Post a Comment