Saturday, 29 August 2020

KESAN MINUM AIR KELAPA DAN UBAT

Ramai yang bertanya, betul ke minum air kelapa bersama-sama ubat-ubatan akan mengurangkan keberkesanan sesuatu ubat?

Soalan ini nampak mudah namun ia sebenarnya bermaksud interaksi antara ubat dengan minuman.

Interaksi boleh memberi kesan sama ada meningkatkan kesan ubat dalam tubuh badan atau mengurangkan kesannya.

Air kelapa terkandung di dalam tempurung kelapa muda. Secara semula jadi air kelapa berasa manis namun mempunyai nilai kalori yang rendah.

Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit. Selain daripada itu ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon tumbuh-tumbuhan, enzim, asid amino, vitamin c dan boleh menjadi sumber yang baik untuk garam potasium (k+).

Air kelapa selalunya diambil sebagai minuman untuk melegakan kehausan atau kekurangan air dalam tubuh yang disebabkan oleh cirit birit atau selepas senaman.

Air kelapa juga juga pernah digunakan dalam situasi kecemasan sebagai pengganti kepada air yang digunakan untuk dehidrasi tubuh.

Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). Walau bagaimanapun lebih banyak kajian pembuktian diperlukan untuk mengesahkan khasiat air kelapa terhadap manfaat kesihatan tubuh.

Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi).

Secara teorinya penggunaan bersama-sama air kelapa dengan ubat anti-herpentensi (ubat mengurangkan tekanan darah) mungkin boleh menyebabkan kesan tambahan terhadap pengurangan tekanan darah seterusnya boleh memberi risiko tekanan darah menjadi rendah.

Begitu juga sekiranya air kelapa diambil dengan herba dan suplemen yang dipercayai mempunyai kesan mengurangkan tekanan darah. Sebagai contoh peptida kasein, cat’s claw, koenzim Q-10, minyak ikan, L-arginine, lycium, stinging nettle, theanine, mengkudu, belimbing buluh dan lain-lain

Oleh kerana air kelapa mempunyai kandungan garam potasium (k+) yang agak ketara maka ia boleh menerukkan lagi keadaan hiperkalemia seseorang individu. Jika diminum dalam satu jumlah yang banyak mungkin boleh meningkatkan risiko hyperkalemia bagi pesakit yang mempunyai kekurangan fungsi buah pinggang.

Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang berpatutan adalah selamat. Tiada kerisauan terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan air kelapa. Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak. Setakat ini tiada maklumat berkaitan pengambilan air kelapa dalam kalangan wanita mengandung dan menyusukan anak.

Air kelapa adalah selamat untuk diminum. Walau bagaimanapun bagi pesakit hipertensi yang sedang menerima ubat-ubatan perlu berhati-hati dalam pengambilan minuman air kelapa ini. Ia berpotensi mempunyai kesan tambahan dalam pengurangan tekanan darah. Begitu juga bagi pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pingang.

Perlu sedikit pemantauan jika tekanan darah menjadi rendah (hipotensi). Antara tanda dan gejala tekanan darah rendah adalah pening atau merasa pusing, penglihatan kabur, kekeliruan, kelemahan dan loya (perasaan sakit perut).

Jika alami situasi di atas, sahkan dengan mengambil ukuran tekanan darah menggunakan alat pemantauan tekanan darah sendiri di rumah. Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.

Rawatan tidak diperlukan sekiranya tidak mempunyai apa-apa tanda dan gejala walaupun tekanan darah adalah rendah. Sekiranya merasa pening atau hampir pitam, ambil tindakan untuk duduk atau baring. Letakkan kaki separas dengan jantung ketika berbaring atau duduk sambil meletak kepala di antara lutut. Jika tanda atau gejala tekanan darah rendah masih berkekalan, segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya.

Kesimpulan

Bukan air kelapa sahaja boleh dibincangkan dalam situasi interaksi ubat dengan minuman. Terdapat beberapa lagi contoh interaksi minuman dengan ubat-ubatan seperti interaksi ferus dengan susu, ubat anti-kolesterol (atorvastatin) dengan jus limau gedang (grapefruite) dan ubat warfarin dengan teh hijau.

Justeru rujuk dahulu dengan ahli farmasi atau doktor merawat sebelum mengambil sesuatu bersama-sama ubat-ubatan agar interaksi ubat dapat diteliti terlebih dahulu.

Disediakan Oleh:
Mohd Dziehan Mustapa
Ketua Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM

Mac 2017

No comments:

Post a Comment