Saturday, 16 December 2017

MEMBACA BAHAN BERSIFAT GOSIP


Pelajar dinasihatkan agar mengelak daripada membaca buku bersifat gosip dan seks kerana ia terkeluar dari matlamat asal membaca yang bertujuan untuk mencari ilmu dan memperkasakan minda.

Membaca adalah jambatan ilmu yang mana individu yang gemar atau menjadikan membaca sebagai amalan harian akan mendapat ilmu tanpa batasan mengikut bahan bacaan yang dibaca. 

Amalan membaca diumpamakan seperti kita memasuki sebuah universiti yang mana segala macam bentuk ilmu dan kemahiran dapat dipelajari melaluinya, mengikut apa yang kita baca itu. .

Sebab itu amat penting kita memilih bacaan yang memberi faedah untuk menambah ilmu dan kemahiran. Tetapi, jika bahan bacaan itu bersifat gosip dan seks, ia bukan menambah ilmu, sebaliknya menyebabkan pembacanya mengalami kekeliruan dan terpengaruh dengan unsur negatif yang dibaca dan dilihat itu.

Masyarakat yang mementingkan budaya membaca dapat mencapai satu tahap tamadun yang boleh dibanggai. 

Rakyat di negara maju seperti Jepun amat mementingkan amalan membaca. Rakyatnya lebih bersikap terbuka dapat menerima perubahan dan menjauhkan diri daripada amalan yang tidak baik seperti rasuah, menipu, malas dan hilang jati diri.

Orang yang banyak membaca akan lebih mementingkan hidup yang berkualiti dan membawa kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara.

Budaya membaca perlu disemai sejak kanak-kanak lagi agar ia mudah meresap dan dijadikan amalan harian sehingga meningkat dewasa atau sepanjang hayat sesuai dengan tuntutan agama di mana menuntut ilmu itu bermula dari buaian hingga ke liang lahad.

Diperhatikan sekarang ini golongan yang minat membaca hanya di kalangan pelajar dan mahasiswa yang membaca atau mengulangkaji untuk tujuan peperiksaan, tetapi amalan membaca itu terhenti apabila sudah tamat persekolahan atau memasuki alam pekerjaan.  

No comments:

Post a Comment