Monday 22 May 2023

HADIS 9/10 REZEKI DARIPADA PERNIAGAAN

Banyak kita mendengar tentang keuntungan menjalankan perniagaan. Sebab itu dikatakan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan. Ini dikaitkan pula dengan hadis yang mengatakan demikian.
 
Ada dua hadis yang menyebut mengenai kepentingan berniaga. Antaranya adalah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.” Satu lagi dikatakan hadis adalah yang bermaksud: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”
 
Dua matan ini biasa didengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki. Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah SAW atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama.
 
Di sini kami datangkan beberapa pendapat para ulama dalam menyatakan status hadis ini:
 
Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadis ini daif di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh ketika menukilkan hadis ini. [Lihat: al-Istizkar, 619/8]
 
Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadis ini di dalam ihya’ Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadith, hadis tersebut datang daripada Nuaim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah tidak dipercayai. Dikatakan bahawa Nuaim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar.
 
Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nuaim adalah seorang tabi’i maka hadis tersebut adalah mursal (iaitu hadis yang gugurnya sahabat daripada sanad hadis tersebut). [Lihat: al-Mughni: 419/1]
 
Justeru, ulama cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadis di atas adalah daif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut. 
 
Walaupun hadis tersebut adalah daif, tetapi berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Ini kerana, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul.
 
Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.
 
Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, al-Barra bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat.
 
Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga. Ini kerana, bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.
 
Bahkan, mereka yang kaya pada masa sekarang juga terdiri daripada peniaga. Maka, galakan agar berniaga adalah satu perkara yang baik.
 
Tidak salah untuk terus menggunakan ayat “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan” sebagai satu bentuk motivasi dan galakan tanpa menyebut bahawa ia adalah hadis.
 
Jadikan bukti-bukti nyata yang berada di sekeliling kita bahawa rezeki dalam perniagaan memang amat luas dan mendatangkan kekayaan kepada mereka menceburinya secara bersungguh-sungguh untuk menyokong kenyataan “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan”.
 
Berniagalah secara apa yang diajar oleh Rasulullah SAW sepertimana sabda yang bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” (Riwayat al-Tirmizi (1209). Hadis ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi.
 
Selain itu, terdapat sebuah lagi hadis yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” (Hadis riwayat al-Tirmizi) Hadis ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadis ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya.

No comments:

Post a Comment