Sunday, 27 May 2018

TINDAKAN TEGAS CEGAH SOROK

Kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ikhtikar), terutama barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah bersabda : "Hanya orang berdosa yang melakukan kegiatan ikhtikari." (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dam Ibn Majah)

Begitu juga kegiatan orang tengah yang mengambil kesempatan dalam urusan pemasaran sesuatu barangan, termasuk barang makanan. Oleh itu, Islam melarang arus niaga yang dinamakan talaqa al-Rukban iaitu kegiatan menemui pengeluar barangan, termasuk petani di luar pekan dan membeli barangan mereka sebelum sampai ke bandar atau pekan dan mengetahui harga pasaran sebenar.

Islam menggariskan beberapa hukum lain mengenai perniagaan bahan pertanian. Ia termasuk mensyaratkan jika sesuatu tanaman atau buah-buahan itu belum masak, maka sekiranya hendak dijual, perlu dituai atau dipetik dulu. Hal ini supaya tidak timbul perselisihan antara penjual dan pembeli.

Kontrak jualan hadapan hasil pertanian dituai berdasarkan urus niaga bai al-Salam diharuskan, dengan syarat spesifikasi barang yang dipersetujui itu hendaklah benar-benar dijelaskan. Perkara itu supaya tidak timbul perbalahan antara kedua-dua pihak apabila serahan dibuat.

Islam walaupun menggalakkan sektor pertanian, namun jika kegiatan itu bagi tujuan meragukan atau tidak sah menurut Islam, ia hendaklah dilarang.

Dalam kitab fikah klasik, ulama membincangkan kedudukan sama ada boleh atau tidak seseorang menjual anggur yang ditanamnya kepada seseorang yang diketahui akan atau lumrahnya menggunakannya bagi membuat minuman keras.

Mereka berpendapat adalah haram orang berkenaan menjual anggurnya kepada pembeli berkenaan. Menanam anggur pada asasnya diharuskan, tetapi apabila hasilnya akan digunakan untuk tujuan tidak sah, maka petani perlu berhati-hati ketika menjualnya.

Begitulah, kedudukannya hasil pertanian dan ternakan lain, prinsip ini hendaklah dipegang demi memastikan bahan itu tidak disalahgunakan bagi tujuan tidak sah.

Begitu juga Islam melarang pengeluaran dan penjualan bahan memudaratkan manusia seperti penanaman ganja serta tumbuhan lain yang mengandungi racun.

Larangan ini, termasuk penternakan haiwan yang haram dimakan oleh orang Islam seperti anjing dan babi. Bagaimanapun, masyarakat bukan Islam dibenarkan menternak haiwan itu dengan kadar yang sesuai.

Perkara ini kerana ia tidak haram di sisi agama mereka, dengan syarat kegiatan itu tidak memudaratkan kepentingan awam dan menjejaskan keselesaan umum serta alam semula jadi.

No comments:

Post a Comment