Hakikat bahawa Malaysia sebagai negara Islam adalah
jelas mengikut perlembagaan dan perisytiharan yang dibuat oleh kerajaan. Namun diakui, penentuan sama ada Malaysia
negara Islam dari sudut ‘fizikal’ memang sukar ditentukan.
Sebenarnya tidak ada satu sukatan, ukuran atau takar
yang digunakan untuk menentukan kesahihan taraf sama ada sesebuah negara itu
negara Islam atau tidak.
Dalam Islam sendiri tidak menyebut secara jelas
mengenai syarat-syarat negara Islam.
Dakwaan bahawa Madinah yang menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan
Islam sebagai negara Islam tidak pernah diisytiharkan pada zaman
Rasulullah. Malah, pada zaman
pemerintahan empat orang khalifah juga tidak berlaku pengisytiharan itu.
Perjanjian Madinah tidak boleh dianggap satu
perlembagaan untuk tertubuhnya sebuah negara dalam ertikata negara berdaulat
seperti konsep negara moden sekarang.
Perjanjian Madinah lebih menekankan kepada
persetujuan dan persefahaman antara orang Islam dengan orang bukan Islam hidup
di satu lingkungan tempat yang sama dalam keadaan aman, bebas dan mempunyai hak
yang sama.
Sebenarnya, penduduk bukan Islam Madinah tidak
menganggap Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka. Mereka hanya bersetuju dalam perkara
berkaitan kepentingan bersama seperti menjaga keselamatan jika diserang musuh
dari luar.
Madinah juga tidak terdapat sempadan negara yang
layak dipanggil negara seperti hari ini.
Justeru, tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad pemimpin pertama
negara Islam Madinah.
Masyarakat Madinah tidak berkerajaan seperti
konsep negara sekarang. Mereka hidup
berkabilah yang masing-masing mempunyai ketua.
Perjanjian atau Piagam Madinah tidak menyebut atau
melantik Nabi Muhammad sebagai ketua kerajaan.
Orang Islam menghormati Rasulullah bukan atas status pemimpin negara,
tetapi sebagai pesuruh Allah.
Rasulullah diutuskan untuk tugas memimpin manusia
di seluruh dunia dan sepanjang masa.
Rasulullah bukan sekadar pemimpin negara seperti didakwa oleh mereka
yang melihat Madinah sebagai negara Islam.
Seluruh umat Islam adalah ‘rakyat’ kepada Nabi
Muhammad, di dunia dan akhirat.
Rasulullah pemimpin agung untuk seluruh umat Islam tanpa sempadan
negara, bangsa, budaya dan masa, serta dalam semua aspek berkaitan.
Jika, Nabi Muhammad dianggap ketua negara Madinah,
bagaimana pula kedudukan umat Islam yang berada di luar Madinah. Adakah mereka tidak menjadi rakyat atau umat
Nabi Muhammad?
Jadi, tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad
sebagai ketua negara yang meletakkan sama taraf dengan pemimpin negara seperti
yang ada kini.
No comments:
Post a Comment