Masalah sosial remaja semakin kritikal. Ia melibatkan amalan yang jauh menyimpang
dari norma kehidupan seorang Islam.
Fenomena ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti
masyarakat dan mencemarkan nama baik Islam sebagai agama mementingkan pembinaan
akhlak dan kehidupan sejahtera.
Banyak pihak sekadar membincangkan permasalahn
sosial dihadapi remaja. Malangnya tidak
banyak pihak cuba
mendekati remaja untuk membawa mereka ke landasan kehidupan yang diredai Allah.
Sekarang ini ramai remaja Islam semakin jauh
daripada amalan agama. Kehidupan mereka
hanyut dalam dunia melekakan, kebebasan, hiburan dan maksiat. Justeru, mereka mula didedakati oleh pihak
ingin menggunakan tenaga remaja untuk merosakkan dan menghancurkan Islam dan
negara.
Persoalannya, di manakah mereka yang dipanggil
pendakwah. Apakah pendakwah hanya
berkhutbah atau berceramah di masjid dan di surau, menyeru agar manusia tekun
melaksanakan ibadat dan suruhan Allah.
Pengertian dakwah ialah mengajak, menyeru,
memimpin dan membantu diri sendiri dan orang lain agar bersama-sama menghayati
ajaran Islam dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang
dilarang.
Konsep dakwah sebenrnya amat luas, mencangkupi
segenap aspek kehidupan. Sebab itu
pendakwah bukan saja di kalangan iman, ustaz dan guru agama semata-mata. Sesiapa saja yang berkemampuan melaksanakan
amalan mengajak, menyeru dan membantu merupakan pendakwah.
Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan
kekeliruan itu mengatakan, ramai melihat tugas dakwah dalam skop lebih
sempit. Sedangkan sebenarnya kandungan
dakwah meliputi semua kandungan risalah Islamiah yang luas.
Pada hakikatnya dakwah Islamiah bermula dari
akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan,
pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan, komunikasi dan kemasyarakatan.
Dengan kata lain, semua pihak dalam bidang
pekerjaan dan aktiviti terlibat secara langsung dalam tugas dakwah, menyeru
melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Memahami konsep dakwah sebenarnya, jelas semua
individu berperanan menjadi pendakwah.
Sehubungan itu, berusahalah memahami dan menyiapkan diri untuk
melaksanakan tugas penting ini.
Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33
menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah
yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta
berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”
No comments:
Post a Comment