Saturday, 2 July 2022

DATARAN CHENG HO BANDAR CHINA KOTA BHARU

  
Di Kota Bharu, Kelantan terdapat satu tempat dikenali bandar China (Chinatown) di Jalan Kebun Sultan. Biarpun ciri-ciri ‘China’ tidak nampak ketara, ia tetap menjadi mercu tanda bagi masyarakat Cina di Kelantan, khususnya Kota Bharu. 
 
Imej Chinatown semakin ketara di kawasan tersebut apabila ia diiystiharkan dengan nama Dataran Cheng Ho. Nama Cheng Ho diambil dari nama seorang pelayar terkenal China. Cheng Ho, adalah seorang pelaut dan penjelajah China terkenal yang melakukan pelayaran jelajah samudra antara tahun 1405 hingga 1433.  
 
Dataran Cheng Ho menjadi mercu tanda masyarakat Cina Kelantan di tengah lautan orang Melayu. Penduduk Kelantan majoriti berketurunan Melayu dengan 95 peratus, di mana hanya kira-kira 5% penduduk bukan berbangsa Melayu. 
 
Di Kelantan terdapat lebih 35,000 peranakan Cina meliputi 69 buah kampung di sepanjang Sungai Kelantan. Penempatan terbesar dikatakan di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas. 
 
Di Dataran Cheng Ho ini didirikan seni bina Cina yang dikenali Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho. Pintu Gerbang ini menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu. 
 
Pintu gerbang ini merentang jalan dengan bumbungnya melengkung dan atap genting warna hijau, manakala tiang pula berwarna merah. 
 
Tertera perkataan Dataran Cheng Ho dalam tulisan jawi, rumi dan Cina. Di tiang pintu gerbang Dataran Cheng Ho ditulis simpulan bahasa dalam bahasa Cina. 
 
Pintu gerbang seni bina Cina itu menggambarkan keunikan Kelantan biar pun penduduk majoriti Islam, namun tamadun Cina juga diberi perhatian. 
 
Ini menggambarkan sikap keterbukaan rakyat yang menerima seni bina dan budaya Cina dalam masyarakat berbilang kaum. 
 
Cadangan awal membina pintu gerbang senibina Cina pernah diutarakan oleh rombongan masyarakat Tionghua yang melawat Kelantan. 
 
Majlis Perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho yang menelan belanja kira-kira RM600 ribu berlangsung pada 04 Oktober 2017, anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan dengan kerjasama MPKB-BRI disempurnakan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan, dihadiri ribuan rakyat Kelantan. 
 
Majlis perasmian diadakan sempena sambutan Pesta Tanglung 2017 yang bermula dengan perarakan Tanglung bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Cina) Chung Cheng ke Dataran Cheng Ho. 
 
Pengunjung kemudian dihiburkan dengan persembahan Gendang Cina, Tarian Singa Selatan, Orkestra Muzik Cina, Tarian Singa Utara, Tarian Singa Akrobatik Heng Ann, Tarian Melayu, Tarian Naga, Tarian Singa Selatan Wei Yang, Tarian Budak, Tarian Thai, Tarian Singa Selatan Siang Long, Akrobatik dan Muka Topeng, Dikir Barat, Gendang Cina dan Tarian Raja Singa Malaysia Kun Seng Keng. 
 
Kewujudan Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan yang menelan belanja kira-kira RM600,000 menjadi mercu tanda baharu khususnya bagi masyarakat Cina di Kota Bharu. 
 
Pintu gerbang itu signifikan membuktikan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum di negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment