Wednesday, 29 December 2021

DATARAN KUBU KAMPUNG KUALA GEL MELAWI

 
Pihak berkuasa tempatan telah membina Dataran Kubu di Kampung Kuala Gel, Melawi. Dataran Kubu dibina di kawasan terletak sebuah kubu kebal yang dibina tentera British untuk mempertahankan Tanah Melayu dari serangan Jepun. 
 
Kawasan sekitar kubu dibuat dataran konkrit dan hiasan serta bangku simen untuk keselesaan pengunjung. 
 
Kedudukan Dataran Kubu di persisir pantai dan berhampiran dengan kawasan peranginan, memungkinkan ia menjadi tumpuan pengunjung. 
 
Diharapkan Dataran Kubu akan menjadi satu daya tarikan untuk pengunjung datang ke Kampung Kuala Gel dan kawasan peranginan berhampirannya. 
 
Kubu kebal di Kelantan telah dibina oleh tentera British pada tahun 1940 sebagai persiapan awal menghadapi kemungkinan peperangan apabila menyedari situasi politik antarabangsa semakin tidak menentu. 
 
British sedar kedudukannya di Tanah Melayu bakal dicabar oleh tentera Jepun yang telah mara ke negara-negara di Asia Tenggara. Pada September 1940, tentera Jepun telah menduduki Utara Indochina (Utara Vietnam). 
 
Menyedari keadaan itu, tentara British membuat perkiraan bahawa kemungkinan tentera Jepun akan membuat serangan bermula di pantai sebelah timur Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya di Kelantan. Selain itu pihak British menjangkakan serangan akan dimulai di Singapura yang menjadi pusat pertahanan British ketika itu. 
 
Sebab itulah pihak British membina kubu kebal di sepanjang pantai mengadap Laut China Selatan dengan memberi perhatian lebih awal di sepanjang pantai Kelantan. 
 
Dua kawasan utama yang diberi perhatian membina banyak kubu kebal ialah di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan, dua pantai paling di utara negeri Kelantan.   
 
Setiap kubu kebal dibina selang jarak kira-kira satu setengah kilometer dan disusun dalam kedudukan berlapis ke daratan. Selain kubu kebal, terdapat juga rentangan kawat berduri yang dipasang selari dengan pantai secara berlapis-lapis. 
 
Kawasan lain yang turut terdapat kubu kebal itu ialah di Pengkalan Chepa, Padang Luas (Machang) dan Gong Kedak (Pasir Putih). Pertahanan kawasan tersebut penting bagi mengelak mudah terjatuh ke tangan musuh, yang mana terdapat lapangan terbang digunakan oleh pesawat tempur tentera British. 
 
Sebelum perang meletus, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang kini dikenali Lapangan Terbang Sultan Ismail telah siap sepenuhnya dan digunakan menempatkan pesawat B29 milik tentera British. 
 
Manakala Lapangan Terbang Gong Kedak yang kini digunakan sebagai pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, baharu saja siap dibina beberapa minggu sebelum tentera Jepun menyerang. 
 
Lapangan Terbang Padang Luas pula pada ketika itu baharu dalam proses pembinaan, terhenti begitu sahaja apabila tentera Jepun menyerang, dan kini menjadi kawasan terbiar. 
 
Kubu kebal juga dibina di sepanjang pantai di daerah Bachok dan daerah Tumpat untuk tujuan yang sama.   
 
Sebenarnya pihak British bercadang membina kubu seumpama itu sepanjang pantai sehingga ke Johor Bharu. Bagaimanapun, pembinaannya terhenti apabila perang meletus lebih awal daripada apa yang dijangkakan. Bagaimanapun terdapat beberapa buah kubu kebal sempat disiapkan di beberapa tempat seperti di Kuantan, Pahang dan Kota Tinggi, Johor. 
 
Bentuk kubu kebal dibina seakan-akan bulatan tapak kuda, tetapi bersegi sembilan. Seluruh dindingnya dibuat daripada konkrit simen setebal kira-kira 30 cm. Bahagian atas atau bumbung berkedudukan rata juga diperbuat daripada konkrit simen dengan ketebalan juga kira-kira 30 cm. Ketebalan itu mampu menahan tembakan senjata ringan dan mortar. 
 
Ketinggian kubu kira-kira 2.1 meter, melepasi ketinggian anggota tentera (rata-rata ketinggian anggota melebihi 1.8 meter, tidak termasuk ketinggian kasut dan topi) dan memudahkan penggunaan senjata. Manakala keluasannya kira-kira 8 meter persegi dengan bahagian tengahnya terdapat tiang penyokong berukuran 60 cm kali 60 cm. 
 
Di setiap penjuru kubu kebal dibina lubang yang muat untuk penggunaan senjata persendirian dan senjata bantuan. Lubang itu juga bertujuan untuk memerhati pergerakan musuh. 
 
Setiap kubu kebal yang dibina tidak mengikut ukuran yang sama, tetapi jika dilihat dari luaran kelihatan seperti sama. Perbezaan ini mungkin disebabkan kerana dibuat mengikut anggaran pekerja yang membinanya, asalkan menampakkan ciri-ciri sebuah kubu kebal. 

 



Thursday, 9 December 2021

CONTOH SAHABAT SEJATI

  
Inilah sahabat sejati saya. Apabila mereka mendengar atau terbaca perkara tak baik mengenai saya, mereka sanggup bangun subuh memandu jauh dari Kelantan ke Kuala Kangsar atau ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berjumpa saya dan pulang pada hari yang sama.
Mereka bertanya terus kepada saya minta penjelasan cerita mengenai saya. Mereka tidak menggosipkan sahabat. Mereka pasti tak akan bertanya orang lain dulu dengan ayat bermula "ehhh betul ke Pak Din....bla bla bla... macamana ya Pak Din boleh.... Bila bla bla....
Selepasnya kami solat bersama. Rumusan hanya dibuat selepas itu. Saya pasti redha dan pasrah kalau selepasnya juga saya dihukum oleh sahabat seperti ini.
Inilah contoh sahabat sejati. 
 
FB Nordin Kardi 
10 Dis 2021 

Thursday, 2 December 2021

JAGA PERCAKAPAN MENGELAK KECELAKAAN

  
Rasulullah SAW bersabda supaya menyampai suatu daripada baginda biarpun satu ayat? Salah satu menyampaikan dakwah ialah melalui kata-kata. 
 
Perlu diingatkan, kita mungkin menyesal kerana tidak berkata-kata sesuatu perkara sedangkan kita berpeluang menyatakan pada seseorang. 
 
Di akhirat nanti kita akan dipersoalkan oleh orang lain mengapa kita tidak memberitahu kepada sesuatu kepadanya perkara yang sepatutnya dia tahu. 
 
Berkatalah perkara yang benar biarpun pahit. Kerana tidak mahu menyakitkan hati orang, kita sebenarnya telah gagal melaksanakan tanggungjawab menyeru orang melakukan kebaikan dan mengelak perkara buruk.  
 
Kalau dalam urusan lain kita boleh berurusan dengan seseorang, mengapa tidak dalam perkara mendatangkan kebaikan. 
 
Ambillah kesempatan atau peluang ketika kita masih boleh berkata-kata untuk melakukan kebaikan dan membantu orang lain melalui ucapan atau kata-kata kita. 
 
Tetapi, jika masih memilih untuk berdiam, itulah selemah-lemah iman dalam usaha melakukan dakwah atau ‘mencegah’ perkara buruk. 
 
Penggunaan lisan atau lidah (perantaraan mulut) dalam kehidupan seharian adalah cara komunikasi sesama manusia paling berkesan. Malah, binatang ‘boleh’ memahami suara manusia.  
 
Biarpun manusia boleh berbahasa isyarat menggunakan anggota badan seperti tangan, mimik muka dan gerak badan, berkomunikasi cara itu agak terbatas dan lebih sukar. 
 
Justeru, tepat sekali dikatakan lidah merupakan pancaindera terpenting. Sesiapa tidak boleh bercakap atau bisu dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, individu yang dikurniakan kebolehan bercakap dan sempurna pancaindera lidah, perlu menggunakan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya. 
 
Hal ini perlu diberi perhatian, disebabkan tidak menjaga lidah banyak bencana berlaku. Sebab itu senarai dosa melibatkan pancaindera lidah lebih banyak berbanding pancaindera lain. 
 
Abu Bakar as-Siddiq pernah menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata: “Inilah mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.” 
 
Sebab itu pepatah orang tua ada mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. 
 
Sepatah perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik. Maka ingatlah kata-kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”.

Saturday, 27 November 2021

MUAFAKAT NASIONAL PERTEMUKAN DUA PARTI MELAYU

 
Semasa menggagaskan Muafakat Nasional (MN), UMNO sangat jelas dengan tujuannya. 
 
Ia bagi mempertemu dua parti Melayu dan menjadi wadah ke arah kesatuan dan penyatuan. Penyatuan yang jujur dan ikhlas. 
 
Wadah ini harus menjangkaui politik. Ia perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan. 
 
Kerana itu, UMNO sedari awal tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik, walaupun pelbagai pihak dalam UMNO dan PAS mendesak ke arah itu. 
 
Bagi UMNO, biarlah MN menjadi wadah yang boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik PAS dan UMNO. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan. 
 
Yang jelas UMNO tidak pernah membelakang dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba UMNO kukuhkan dari segenap aspek. 
 
Tetapi, sebaik Perikatan Nasional (PN) terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti. 
 
Sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan. 
 
Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan. MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan. Seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu telah selamat dalam dakapan PN. 
 
Perpaduan ummah itu penting, tetapi ia haruslah diperjuangkan secara berterusan dan terangkum. Bukan bermusim. Ia mesti diusaha dan dijayakan sepanjang masa. Bukannya sekadar berbincang dan bermesyuarat demi sebuah pilihan raya dan menguasai Putrajaya semata-mata. 
 
Permuafakatan MN juga harus praktikal dan realistik. UMNO adalah parti politik. Ia bukan pergerakan sivil atau dakwah. Ia adalah instrumen untuk orang Melayu mengurus negara. Ia adalah parti teras BN dengan agenda kepelbagaian budaya. Dan ia mempunyai kepentingan politik tersendiri. Seperti juga PAS. Ia adalah parti politik dengan perjuangan tersendiri, ideologi tersendiri dan kemahuan tersendiri. 
 
Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak Amanah dan PKR mahupun PBB di Sarawak untuk menyertai MN. Kerana UMNO realistik dan memahami sejarah PAS dengan Amanah. UMNO juga menghargai kelainan PKR dan PBB. 
 
Maka demikianlah yang berlaku dalam PRN Melaka. PAS telah memilih PN, dan UMNO menerima keputusan tersebut. Dengan hati terbuka, (dan sedikit terluka). Kerana UMNO sejak awal faham. Ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara PAS dan PPBM. Dan PAS pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima PPBM kerana kami adalah seteru politik yang nyata. 
 
Namun, itu tidak bermakna MN itu akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan. PAS teruslah dengan PN dan UMNO pula teruslah dengan BN. Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan UMNO dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya. 
 
Sebenarnya orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk. Kesatuan antara UMNO dan PAS melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat. Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai UMNO atau PAS. 
 
Namun, itu tidak bermakna mereka tidak mementingkan perpaduan dan masa depan ummah ini. Mereka sekadar mempunyai cita rasa dan cara masing-masing dalam politik. Yang demikian itu, harus kita faham dan hormat. 
 
Yang paling penting ialah kepentingan mereka diuruskan melalui wadah politik yang pelbagai, dengan cara yang tidak merugikan. Dan UMNO memilih untuk melakukannya melalui BN kerana telah lebih enam dekad, itulah caranya yang UMNO rasa terbaik. 
 
Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara UMNO, PAS, dan PPBM. Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti. 
 
Biar rambut kita beraneka warna, yang penting, hati kita pada bangsa dan agama. 
 
Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO 
 
FB – 27 Nov 2021 
 
Gambar: Jeti Pulau Seratus, Delta Sungai Kelantan. Sekadar hiasan.


Saturday, 20 November 2021

PERLU KAWAL PENGGUNAAN ANTIBIOTIK SECARA RASIONAL

  
Orang ramai dinasihat memastikan penggunaan ubat antibiotik digunakan secara rasional dan berhemah bagi mengurangkan kerintangan antibiotik. 
 
Peningkatan kerintangan antibiotik menjadi ancaman membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian. 
 
Sebagai contoh kadar kematian bagi pesakit dengan jangkitan serius disebabkan oleh bakteria kebal yang dirawat di hospital adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria biasa. 
 
Berikutan itu, masyarakat perlu memahami bukan semua penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria, sekali gus tidak memerlukan rawatan menggunakan antibiotik. 
 
Antara penyakit yang tidak memerlukan antibiotik ialah seperti batuk, selesema dan sakit tekak yang disebabkan oleh virus dan penggunaan antibiotik dalam rawatan penyakit berkenaan tidak diperlukan serta tidak berkesan sama sekali. 
 
Sebaliknya, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang sesuai jika tidak sihat. Preskripsi doktor adalah perlu untuk penggunaan antibiotik. Apabila anda berjumpa doktor, jadikan amalan untuk bertanya keperluan pengambilan segala jenis ubat yang diberikan termasuklah antibiotik. 
 
Sekiranya diberikan antibiotik, ia perlu diambil seperti yang diarahkan. Harus diingatkan, antibiotik perlu dihabiskan mengikut tempoh yang diberi dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Ia juga tidak boleh digunakan semula untuk jangkitan pada masa akan datang. 
 
Antibiotik digunakan secara meluas bagi rawatan penyakit akibat daripada jangkitan kuman atau bakteria dan kewujudan lebih 100 antibiotik, sama ada berfungsi untuk membunuh bakteria atau menghentikan perkembangan bakteria, sudah banyak membantu terutamanya dalam mempercepatkan proses untuk sembuh. 
 
Penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa mewujudkan masalah baharu kerintangan antibiotik. 
 
Kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan menyebabkan antibiotik yang digunakan tidak berkesan dalam merawat jangkitan. 
 
Bakteria kebal boleh merebak melalui beberapa cara termasuklah jangkitan antara individu, pengambilan makanan atau minuman tercemar dengan bakteria kebal, pendedahan kepada persekitaran yang tercemar serta pengambilan makanan berasaskan haiwan ternakan yang mengandungi residu antibiotik yang tinggi. 
 
Di peringkat global, Khairy berkata dianggarkan sebanyak 700,000 kematian global setiap tahun adalah dikaitkan dengan isu kerintangan antibiotik, sekiranya tidak dikawal angka berkenaan dijangka meningkat kepada 10 juta menjelang tahun 2050. 
 
Suatu kajian berkaitan bakteria kebal E. coli yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2019 bersama-sama pelbagai agensi mendapati bakteria kebal E. coli tersebar secara meluas dalam kalangan manusia, haiwan dan alam sekitar di Malaysia. 
 
Penemuan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan kita perlu mengambil tindakan segera. 
 
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu kerintangan antibiotik, pada tahun ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan kempen 'Go Blue for AMR' bersempena Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia. 
 
Menerusi kempen berkenaan individu, komuniti dan organisasi dijemput untuk memakai pakaian berwarna biru muda, mencahayakan bangunan atau monumen dengan lampu berwarna biru muda sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap kempen ini.

Wednesday, 10 November 2021

BURUNG UPEH MAKAN SIPUT GONDANG EMAS

 
Burung upeh atau Asian Openbill Stork merupakan spesis yang berhijrah dari luar negara. Burung upeh kelihatan seperti bangau berwarna putih atau kelabu pucat dengan kepaknya berwarna hitam. 
 
Burung upeh atau burung stork berasal dari negara di benua Asia Selatan seperti Bangladesh, Sri Lanka dan India. 
 
Burung upeh biasanya mempunyai berat purata antara tiga hingga lapan kilogram (kg) dengan lebar sayap mencapai 149 cm. 
 
Burung upeh akan turun ke kawasan sawah untuk mencari makan dan sebahagian dietnya adalah siput gondang emas. 
 
Keadaan itu sekaligus memberi manfaat kepada petani dan sebahagian kawalan biologi telah terlaksana bagi mengurangkan populasi siput gondang emas. 
 
Siput gondang emas adalah musuh utama penanam padi. Serangan siput gondang emas menyebabkan kerosakan apabila siput memakan anak padi yang baru tumbuh (2-4 minggu selepas tabur) sampai ke pangkal pokok mengakibatkan pokok padi tidak dapat pulih. 
 
Jadi, kedatangan burung upeh dapat membantu mengurangkan bilangan populasi siput gondang emas dan sekaligus dapat mengurangkan serangan terhadap anak pokok padi. 
 
Ini bermakna burung upeh dapat membantu mengelak petani mengalami kerugian akibat kemusnahan anak pokok padi angkara siput gondang emas. 
 
Justeru, elakkan daripada mengganggu burung upeh kerana khuatir tidak akan lagi bermigrasi ke negara ini jika sering diganggu.

Saturday, 6 November 2021

INSTITUT PENGAJIAN ISLAM DAN DAKWAH SABAH (IPDAS) KENINGAU

Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Dakwah Keningau merupakan sebuah institusi pengajian Islam di bawah pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah. 
 
IPDAS terletak di daerah Keningau menawarkan dua program utama iaitu Program Sijil Pengajian Islam dan Dakwah dan Program Diploma Dakwah Islamiyyah. 
 
IPDAS menetapkan visi untuk membentuk insan beriman yang memahami, merealisasi dan dapat menyebar luas semua aspek ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. 
 
Manakala misi IPDAS untuk menyediakan kemudahan pembelajaran bersepadu yang merangkumi ilmu fardhu ain, fardhu kifayah dan ilmu kemahiran untuk melahirkan graduan yang berketrampilan dan berwibawa. 
 
Sebagai sebuah institusi yang berteraskan Pengajian Islam, IPDAS bertekad untuk melahirkan graduan yang berilmu, beramal, berakhlak mulia, berhikmah serta mampu menghadapi cabaran semasa. 
 
Turut menjadi objektif IPDAS ialah melahairkan graduan yang mempunyai kemahiran vokasional yang bersesuaian dengan kehendak semasa. 
 
Objektif IPDAS juga ingin melahirkan graduan yang berkebolehan menjadi pembimbing dan tempat rujukan masyarakat berdasarkan al-Quran dan Sunnah. 
 
IPDAS menawarkan dua program utama iaitu Program Sijil Pengajian Islam dan Dakwah, dan Program Diploma Dakwah Islamiyyah.

Friday, 22 October 2021

BAWA BALIK SAMPAH

  
Berkunjung ke pantai peranginan diuruskan pihak berkuasa tempatan di Kelantan biasa akan dihidangkan dengan pemandangan sampah dibuang merata-rata atau dilonggokkan di tempat yang tidak sepatutnya. 
 
Ia bukan salah pihak berkuasa tempatan semata-mata yang gagal mengurus dengan baik, tetapi lebih penting sikap pengunjung. 
 
Sampah tidak sepatutnya dibuang merata-rata. Jikapun tidak disediakan tong sampah atau kedudukan tong sampah yang jauh, sampah yang dibawa, terutama bekas makanan sepatutnya dibawa balik dan dibuang di tempat sepatutnya. 
 
Kalau boleh membawanya ke pantai peranginan tersebut, mengapa pula tidak boleh dibawa balik. Biasanya ia lebih ringan dan berukuran lebih kecil kerana isinya yang berupa makanan telah dimakan atau diminum. 
 
Harap, masing-masing menjaga kebersihan pantai peranginan yang mencerminkan sikap pengunjungnya. 
 
Hargailah kemudahan yang disediakan pihak berkuasa secara percuma. 
 
Gambar: Sampah dilonggokkan di pantai peranginan yang diuruskan pihak berkuasa tempatan.

Sunday, 17 October 2021

KOLEJ ISLAM DARUL ULUM KEDAH

  
Muasassah Darul Ulum di mana Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan SMA Darul Ulum beroperasi hari ini, lahir daripada gagasan Ustaz Fadzil Nor. 
 
Pada pertengahan 1980an, pelbagai kontroversi menyelubungi usaha PAS Kedah untuk menghidupkan muasassah sebagai tapak penempatan pendidikan dan penghayatan Islam untuk pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak hingga warga emas. 
 
Atas kegigihan pimpinan PAS Negeri Kedah dan juga PAS Kawasan Padang Terap serta kawasan-kawasan lain dari seluruh negeri, usaha menghidupkan pusat komuniti berteraskan dakwah dan tarbiyyah Islamiyyah, akhirnya membuahkan hasil. 
 
Semasa era pentadbiran Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar, sebuah Pusat Bahasa ditubuhkan sebagai tarikan baharu ke KIDU. Mereka yang pernah mengikuti kursus bahasa di pusat ini, mengakui ia antara yang terbaik di negara ini dalam membuat persiapan untuk seseorang pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara. 
 
Kelebihan KIDU ialah infra dan suasana persekitarannya yang amat kondusif sebagai sebuah pusat pengajian tinggi. 
 
Pelbagai kemudahan dan kelengkapan tersedia untuk menerima pelajar pada setiap sessi pengajian. 
 
KIDU khususnya amat diperlukan oleh umat Islam negara ini, untuk melahirkan kader-kader dakwah yang bukan sahaja mempunyai kelulusan dalam pengajian Islam tetapi juga kemahiran dalam pelbagai aspek lain seperti komunikasi dan ketrampilan sebagai pemimpin umat masa hadapan.

Thursday, 14 October 2021

MENGAPA JANTUNG PISANG PERLU DIPOTONG

   
Setiap pokok pisang apabila matang akan mengeluarkan kelompok bunga yang keluar selepas pelepah pisang yang terakhir. Selepas kelompok bunga keluar, tidak ada lagi pelepah pisang akan keluar. 
 
Kelompok bunga sebenarnya bermula dari umbi sebagai teras batang naik ke atas dan keluar di bahagian atas pokok pisang.   
 
Kelompok bunga pisang itu keluar tanpa terus menghasilkan buah. Sebaliknya akan terlebih dahulu terbentuk tandang yang menganjur keluar menolak kelompok bunga sehingga dalam keadaan membongkok dan terjuntai ke bawah. 
 
Kelompok bunga pisang ada kulit berlapis atau kelopak. Setiap kelopak terdapat bunga pisang yang akan keluar apabila kulit terbuka. Bunga pisang akan membentuk buah pisang. 
 
Di setiap kelopak yang terbuka membentuk satu sikat pisang yang mengandungi bilangan di antara 10 hingga 15 biji. 
 
Bilangan kelopak yang mengandungi sikat pisang bergantung kepada jenis pisang. Biasanya bilangannya antara lima sikat hingga 15 sikat. 
 
Seterusnya, kelopak itu biarpun terbuka tetapi tidak lagi ada buah yang terbentuk dari bunga yang keluar. Kelompok bunga yang terus ke bawah itu dikenali jantung pisang. 
 
Jantung pisang jika dibiarkan akan terus membuka kelopak tanpa menghasilkan buah. 
 
Jika tidak dipotong, ia mungkin mencecah panjang sehingga melebihi 30 cm sehingga 60 cm, bahkan ada lebih daripada itu. Jantung pisang itu akan semakin mengecil setiap kali kelopaknya gugur. 
 
Ketika jantung pisang sudah berada sekitar 25 cm di bawah buah terakhir, sebaiknya dipotong saja. Sebab jantung pisang ini kalau dibiarkan terus akan membantutkan pertumbuhan buah. 
 
Selain itu, jantung pisang perlu dipotong untuk mencegah penyakit pada tanaman pisang itu. 
 
Jantung pisang juga perlu dipotong bagi memudahkan kerja membalut buah pisang. 
 
Setiap pohon pisang hanya menghasilkan satu tandan buah pisang. Sebab itu ada pepatah tidak akan pisang berbuah dua kali. 
 
Jantung pisang yang dipotong boleh dimanfaatkan. Jantung pisang boleh dimakan dan kaya khasiat. 
 
Tiap 25 gram jantung pisang, mengandung 31 kkal kalori, 7.1 gram karbohidrat, 0.3 gram lemak, dan 1.2 gram protein. Selain itu, ada kandungan mineral (fosfor, kalsium, dan zat besi) serta vitamin (A, B1, dan C), dan serat. 
 
Jantung pisang baik dimakan oleh orang yang sedang diet lemak kerana  rendah lemak dan memberi rasa kenyang lebih lama. 
 
Pengidap diabetes juga boleh makan jantung pisang kerana indeks glikemik (GI) nya rendah. 
 
Kandungan serat dalam jantung pisang dapat memperlancar pencernaan serta mengikat lemak dan kolesterol untuk dibuang bersama kotoran. Juga dapat mencegah penyakit jantung dan stroke kerana dapat memperlancar pengaliran darah dan bersifat antikoagulan (mencegah penggumpalan darah). 
 
Tidak semua jenis pisang memiliki jantung yang enak dimakan. Terdapat jenis jantung pisang yang rasanya agak pahit kerana memiliki kadar tannin tinggi. 
 
Antara jenis jantung pisang yang sesuai dimakan ialah dari jenis pisang kelat lega, kebatu, kapas, gala dan kebatu. 
 
Jenis jantung pisang yang enak dimakan ini memiliki kadar protein lebih tinggi dari pisang lainnya. Protein menghasilkan rasa gurih yang dapat mengalahkan rasa pahit dari tannin. 
 
Untuk digunakan, kupas kelopak luar jantung pisang yang berwarna merah sampai tinggal bahagian dalamnya yang berwarna putih kemerahan. Setelah itu, belah dua, potong memanjang, iris-iris, cuci bersih, lalu rebus. 
 
Jantung pisang juga sedap dibakar. Bakar jantung pisang yang belum dibuang kelopak luarnya sehingga matang, kupas kulitnya, kemudian belah dua dan iris. Gunakan pisau yang telah dilumur minyak masak kerana jantung pisang agak bergetah. 
 
Jantung pisang dapat dimakan sebagai ulam atau dijadikan sebahagian bahan membuat menu masakan seperti gulai, kerabu dan acar.