Saturday, 12 February 2022

ARNAB BERLUMBA DENGAN KURA-KURA

 
Tersebutlah kisah Si Arnab sedang berjalan-jalan mencari makanan pada sebatang jalan di tepi sungai. Tiba-tiba ia terpandang seekor kura-kura yang merangkak-rangkak naik ke tepi sungai. 
 
Lalu Si Arnab berkata: "Alahai, kura-kura. Mengapalah engkau lambat sangat? Bila nak sampai tu? Teruklah kau ni." 
 
Si Kura-kura pun menjawab: "Sedikit-sedikitlah arnab. Lama-lama aku sampailah. Dah begini keadaan aku... terima ajelah." 
 
Si Arnab berkata lagi sambil ketawa: "Ha..ha..ha…geli hati aku lihat cara engkau berjalan. Bilalah engkau nak sampai si tua lambat ni…ha..ha." 
 
Si Kura-kura tidak puas hati dengan kata-kata Si Arnab itu, lalu berkata: "Jangan engkau hina aku Arnab. Kau belum tentu hebat dan boleh mengatasi aku dalam semua perkara." 
 
"Eleh....kalau lumba lari ni, engkau pasti kalah!" kata Si Arnab kepada Si Kura-kura dengan angkuhnya. 
 
Si Kura-Kura rasa tercabar, namun masih dapat bersabar dengan kata-kata Si Arnab itu lalu berkata: "Jangan yakin sangat wahai Arnab. Belum cuba belum tahu ......." 
 
Si Arnab yang memulakan cabaran sebaliknya rasa tercabar lalu berkata: "Aku cabar engkau, siapa yang sampai dulu ke hujung jalan sana, dia akan menang." 
 
"Ok! Aku terima cabaran kau, bila, di mana, cakap....aku bersedia bila-bila masa.... " ujar Kura-kura. 
 
Lalu Si Arnab buat keputusan: "Hmmmm...esok pukul 4 petang" 
 
Si Arnab telah menghebohkan perlumbaan itu dengan mengundang seluruh suku sakat, ipar-duai, dan juaknya serta rakan-rakan rapatnya untuk menyaksikan perlumbaan itu nanti, dengan niat untuk menunjukkan kekuatannya dan pada masa yang sama memalukan Si Kura-kura. 
 
Maka, bila tiba masa dan hari dijanjikan berlumbalah Si Arnab dan Si Kura-kura dengan disaksikan oleh seluruh penghuni rimba. Si Kancil telah dilantik menjadi pengadil perlumbaan. 
 
Sebaik perlumbaan dimulakan, Si Arnab terus memecut laju ke hadapan sambil menerima tepukan gemuruh dari penonton. Manakala Si Kura-kura pula bermula perlahan-lahan, namun tidak sedikitpun menunjukkan rasa kecewa. 
 
Pada satu peringkat perlumbaan Si Arnab menoleh ke belakang. Dia melihat Si Kura-kura sayup-sayup kelihatan di belakang antara nampak dan tidak dalam bayangan fatamorgana. 
 
Si Kura-kura pula terus melangkah, melangkah dan terus melangkah ke hadapan tanpa mempedulikan di mana kedudukan arnab. Matlamatnya hanya satu untuk menamatkan perlumbaan. 
 
Si Kura-kura tidak kisah kalau kalah kepada Si Arnab kerana tahu kekurangan yang ada pada dirinya. Si Kura-kura tidak malu bakal menerima kekalahan, tetapi yakin dapat menamatkan perlumbaan biarpun lama masa diambil. 
 
Manakala Si Arnab yang sombong telah berada jauh di hadapan dan yakin bahawa perlumbaan itu pasti dimuktamadkan dengan kemenangannya, Si Arnab berehat sebentar di pangkal sebatang pokok. Dengan tiupan udara rimba yang nyaman, Si Arnab tertidur di situ. 
 
Ketika Si Arnab tertidur, Kura-kura meneruskan perjalanan tanpa berehat. Tidak berapa lama kemudian Si Kura-kura tiba di pohon di mana Si Arnab sedang lena tertidur. 
 
Selepas terjaga dari lenanya Si Arnab menoleh ke arah lembah di mana kedudukan terakhir Si Kura-kura yang dilihatnya sebelum dia tertidur. Namun Si Kura-kura telah tiada. 
 
Apabila Si Arnab menoleh ke atas bukit, dia melihat Si Kura-kura sedang menerima tepukan dan kata-kata semangat dari penonotn kerana kedudukannya sudah hampir dengan garisan penamat. 
 
Si Arnab yang terkejut dengan situasi itu terus berlari sekuat hati untuk memintas Si Kuru-kura di garisan penamat. Namun, apabila hampir di garisan penamat, Si Kura-kura terlebih dahulu melepasinya.  
 
Si Arnab hanya ketinggalan satu meter di belakang Si Kura-kura. Jadi, pengadil perlawanan, Si Kancil telah mengiystiharkan Si Kura-kura sebagai juara pertandingan dan disambut dengan tepukan serta sorakan gemuruh dari seluruh penghuni rimba. 
 
Pengajaran kisah: 
 
Ada manusia yang kita lihat kadang-kadang mempunyai kecerdikan dan kekayaan yang pada zahirnya boleh menyebabkan mereka berjaya, tetapi tak berjaya juga dalam hidup kerana sikap mereka. Mereka yang gagal ini mewarisi sikap buruk seperti arnab tadi. Mereka tidak konsisten, tiada harga diri, angkuh, berubah matlamat, terlalu yakin dan sebagainya. 
 
Menerusi cerita ini kita tahu Allah SWT tidak suka orang yang sombong. Orang sombong seperti arnab yang suka menghina orang lain, sebenarnya dia telah membuktikan bahawa dirinyalah yang lebih hina daripada orang yang dihina itu. Apabila arnab memandang hina kura-kura, menunjukkan dia bersikap takbur dan sombong. Sebaliknya, kura-kura yang dihina pula, ia membela maruah diri dengan menyahut cabaran arnab itu. 
 
Sikap ego pada diri seseorang jika tidak dikawal boleh memusnahkan dirinya sendiri. Oleh itu, dalam hidup ini kita tidak boleh ego iaitu merasakan diri lebih baik daripada orang lain. 
 
Apabila merasakan diri baik, dari sudut perkembangan diri, tidak akan muncul lagi usaha hendak meningkatkan diri. Tidak timbul lagi dorongan untuk berjaya. Bagi kura-kura tadi, apabila menerima cemuhan, ia menjadi pendorong untuk lebih maju dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment