Saturday, 9 December 2023

LADANG SOLAR TERAPUNG DANAU TOK UBAN

 
Projek Ladang Solar Terapung Danau To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan sudah memasuki peringkat akhir termasuk fasa ujian dan pentauliahan. Keseluruhan projek tersebut kini sudah mencapai tahap 96.95 peratus.
 
Memandangkan ia adalah projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara dan antara terbesar di dunia. Maka banyak fasa pembelajaran yang perlu dilalui dalam penyiapan projek ini.
 
Kemajuan keseluruhan merangkumi kerja-kerja pemasangan pulau solar yang telah siap sepenuhnya termasuk pemasangan 247,680 pelampung dan 247,680 panel solar.
 
Ia turut merangkumi kerja-kerja melabuhkan 6,180 buah batu sauh dan membina 20 buah kabin inverter yang telah siap ditambat pada kedudukan masing-masing. Pengujian dan pentauliahan ke atas sambungan elektrik di atas pulau telah pun mencapai 75 peratus.
 
Pemasangan kabel dengan kekuatan 33 kilo volt sepanjang 10 kilometer dari Kampung Chandan ke fasiliti elektrik di Bendang Nyior telah siap sepenuhnya.
 
Kerja-kerja di Fasiliti Elektrik Bendang Nyior sedang berjalan dengan lancar dan dua menara besar kabel 132 kilo volt telah siap didirikan dan kini dalam proses penyambungan.
 
Projek bernilai RM450 juta itu membabitkan pelaburan oleh dua syarikat tempatan milik bumiputera iaitu Cypark Estuary Sdn Bhd dan Cove Suria Sdn Bhd yang melantik Cypark REF Sdn Bhd, anak syarikat Cypark Resources Berhad sebagai kontraktor turnkey kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC).
 
Dua syarikat berkenaan turut bekerjasama dengan Kelantan Utilities Mubaarakan Sdn Bhd yang juga anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
 
Projek ini dapat menjana tenaga hijau lagi bersih dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 100,000 tan setiap tahun, satu nilai yang amat besar serta penting dalam usaha Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon.
 

No comments:

Post a Comment