Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar
atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan
terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal
perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Dalam era teknologi maklumat mudah disebar
fitnah. Alat yang dicipta telah disalahguna untuk
keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan melalui alat komunikasi
tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan berita. Malah identiti
penyebar juga boleh dirahsiakan.
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan
memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan
tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak
berbanding orang difitnahkan.
Kita ditegah mencari keburukan orang lain
untuk kebaikan diri sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara
betul untuk mendapat apa dihajati. Lihat dalam diri sendiri mencari
kekuatan dan kelemahan diri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri
sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).
Jika kita gagal melakukan sesuatu jangan
dipersalahkan kepada orang lain. Menyalahkan orang lain tidak
menyelesaikan masalah. Malah, masalah menjadi semakin kusut apabila
saling tuduh menuduh.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai
dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah,
melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan.
Kita fikirkan betapa sukarnya menemui
setiap orang yang diumpat bagi memohon maaf. Betapa besarnya dosa jika
fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai.
Dosa fitnah tidak diampunkan biarpun telah
bertaubat. Jadi berhati-hati apabila bercakap agar tidak terlanjur
melakukan fitnah. Jika terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan
itu. Mudah-mudahan orang difitnah secara lepas cakap itu
memaafnya.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang
daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga
orang yang suka menyebarkan fitnah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di
akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang
memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu
oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari
Abu Zar).
Ajaran Islam bukan saja menegah menyebarkan
berita fitnah, bahkan berita benar sekalipun jika orang berkaitan berita itu
tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang, inikan
pula menyebarkan berita tidak benar.
Menceritakan hal benar yang tidak disukai
orang dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan makna ghibah dan melarang
ia dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.
Tanya sahabat: “Wahai Rasulullah, apa itu
ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu
di belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika apa
disebutkan itu benar?”
Baginda menjawab dengan sabda bermaksud:
“Kalau apa disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika perkara itu
tidak benar, engkau sudah melakukan buhtan (pembohongan besar).” - (Hadis
riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).
No comments:
Post a Comment