Sifat tabie manusia sedia menerima hakikat
adanya kuasa yang mentadbir alam dan kehidupan. Sebab itu, dalam masyarakat
kuno yang tidak sampai kepada mereka ajaran agama, mereka akan mencari-cari
sesuatu untuk dijadikan Tuhan. Yang dipilih itu tentulah pada anggapan mereka
adalah sesuatu yang berkuasa dan dapat mempengaruhi atau menentukan kehidupan
mereka.
Justeru, untuk memastikan Tuhan itu
menunaikan hajat mereka dan memberi kehidupan baik serta menolak malapetaka,
golongan ini sanggup melakukan apa saja yang difikirkan dapat mencapai hajat
yang diingini. Amalan seperti menyembah, memuja, memberi makan dan sebagainya
adalah tanda pengabdian dalam konteks mereka.
Dengan kata lain, sifat manusia adalah
insan yang bersedia menerima perintah dan peraturan. Umat Islam amat bertuah
mendapat anugerah terbesar daripada Allah iaitu kitab al-Quran yang dijadikan
panduan hidup sehingga ke hari kiamat.
Biarpun al-Quran diturunkan lebih 1400
tahun lalu, namun ia tetap releven dan berguna untuk panduan hidup manusia sepanjang
masa kepada seluruh bangsa tanpa mengira bangsa, budaya dan tempat
tinggal.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku
tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang
dengan keduanya: kitab Allah dan sunah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik).
Jiwa manusia akan kosong dan hilang arah
jika tidak dibekalkan dengan syariah sehingga akan rosak perjalanan hidup
sepertimana alam haiwan. Sesunggguhnya manusia yang tidak mematuhi syariah,
maka kehidupannya adalah lebih hina daripada haiwan.
Sesiapa yang menerima Islam sebagai anutan,
maka hendaklah dia menerima sepenuhnya syariah Islam. Firman Allah dalam surah
al-Jaatsiyat, ayat 18 bermaksud: "Kami jadikan kamu sekalian beada dalam
sesuatu hukum atau peraturan dari urusan agama. Patuhilah peraturan itu, dan
janganlah mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."
Sesungguhnya manusia sejak awal kejadian di
alam roh lagi telah menyatakan kesediaan mengesakan Allah. Firman Allah yang
bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhamu mengeluarkan anak-anak Adam dari
sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya
berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul
(Engkau Tuhan kami) kami jadi saksi." (Surah al-Araf, ayat 172).
Sesungguhnya ketika dilahirkan manusia
berada dalam keadaan fitrah yakni suci bersih dan bersedia menerima apa juga
corak kehidupan. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan persekitaran akan
mempengaruhi corak kehidupan manusia.
Gambar hiasan - beduk
No comments:
Post a Comment