Wednesday, 20 November 2019

PERANAN ULAMA DAMAIKAN PEMIMPIN


Peranan ulama amat besar dalam melaksanakan pelbagai tugas, tidak setakat mengajar hukum agama sahaja. Dalam menangani perselisihan faham membabitkan pemimpin atau ahli politik, sewajarnya golongan ulama tampil bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku.

Kedudukan dan peranan ulama amat dihormati. Ulama juga mempunyai peranan besar dalam hal urusan pentadbiran.

Umat Islam diseru supaya mengetepikan sebarang perbalahan dan permusuhan. Perpecahan merugikan umat Islam. Perpecahan membawa kepada kemusnahan.

Umat Islam hilang kekuatan disebabkan berpecah sesama sendiri. Peluang untuk berjaya tertutup terus. Akibatnya umat Islam terus ketinggalan dan ditindas.  

Imam al-Ghazali memainkan peranan besar dalam mendamaikan konflik pentadbiran dan kekacauan politik yang berlaku dalam masa pemerintahan Bani Saljuk menerusi nasihat politik yang didokumentasikan dalam kitabnya, al Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk.

Justeru, amat dialu-alukan sekiranya golongan ulama atau mufti memainkan peranan sebagai pendamai pihak-pihak yang bertelingkah. Malang sekali, ada pihak hanya menerima pandangan ulama jika menyokong apa yang dilakukan atau kelompok mereka saja.  

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin menjelaskan bahawa krisis penguasa sebenarnya adalah berpunca daripada krisis ulama.

Beliau mengatakan: “Sesungguhnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan kedudukan, dan sesiapa dikuasai oleh cita-cita duniawi ia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil. Allah-lah tempat meminta segala persoalan.” (Ihya Ulumuddin, Juz II, hal. 381).

Penglibatan golongan ulama mesti sebagai pendamai, bukannya turut sebagai pemecahbelah. Golongan ulama berkenaan sendiri masuk dalam politik dan sudah tentu akan menyokong parti politik yang disertai.

Dal hal ini, mereka sendiri selayaknya dipanggil pemimpin dan bukan lagi maksud ulama yang diharapkan menjadi penasihat kepada pemimpin.

Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam sebuah negara Islam, ulama yang berpolitik menyebabkan kata-kata mereka ditakrif sebagai ahli politik oleh setengah pihak dan pihak lain pula menganggap sebagai ulama.

Keadaan ini dapat dilihat apabila ulama yang berpolitik sering mengikut keputusan parti politik yang disertai atau disokong, berbanding menggunakan hujah agama dalam membincangkan sesuatu isu.  

Pada zaman al-Ghazali, ulama memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan penguasa tidak menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sebaik-baik syuhada’ (mati syahid) adalah Hamzah Abd. al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan imam lalu memerintahnya (berbuat maruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang mungkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu”.

Institusi ulama belum berjalan dengan baik dan berkesan kerana segelintir ulama lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara berasingan.

Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ulama suu’, ulama yang boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.

Tuduhan sedemikian menyebabkan jarak antara ulama dan umara menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu didekatkan melalui program-program tertentu.

Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan ulama itu sendiri.

Para ulama yang menyokong parti-parti politik ini akan menegakkan perjuangan politik masing-masing melalui tindakan memutar-belitkan ayat-ayat al Quran supaya umat Islam terpengaruh dengan menyokong mereka.

Akibatnya, umat Islam yang selama ini mengharapkan peranan ulama untuk menjadi titik penamat terhadap konflik antara mereka menjadi semakin berkecamuk.

Sememangnya kita tidak pasti sehingga bilakah sikap taksub kelompok ulama yang terlibat dalam politik terhadap parti atau pemimpin mereka akan berterusan.

Tetapi di dalam Islam sudah dinyatakan dengan jelas antara ulama sejati (ulama khoir) yang berakhlak mulia dengan ulama su' iaitu ulama yang berakhlak buruk.

No comments:

Post a Comment