Melihat sejarah politik PAS sejak penubuhan, khususnya
membabitkan kerjasama parti itu dengan gabungan parti politik yang pernah
disertai mereka, PAS bukan parti yang mudah mengikut telunjuk dan langkah parti
lain.
Sebaliknya, pendirian mereka berada dalam satu-satu gabungan
politik atau meninggalkan gabungan disertai akan berpandu kepada satu garis
jelas, iaitu soal pelanggaran kepada dasar Islam dibawanya.
PAS jarang mengambil jalan meninggalkan gabungan hanya
kerana berbalah sesama pemimpin dalam soal kerusi pilihan raya, agihan jawatan
dalam politik, mahupun dikhianati kawannya atas dasar percaturan politik untuk
menerajui dan menguasai sesuatu gabungan.
Pembawaan politik PAS sama seperti UMNO. Jika UMNO keras
dengan naratif Melayunya, PAS pula dengan perjuangan Islamnya. Jika asas ini
dilanggar, tidak perlu diprovokasi pun, mereka sendiri akan melentur jalannya
untuk meninggalkan gabungan politik yang disertai.
Biarpun PAS sering dilabel parti 'kahwin dan cerai', merujuk
perumpamaan sebagai sebuah parti mudah membentuk kerjasama dan mudah juga
meninggalkan kerjasama, namun meneliti dan mendalami setiap peristiwa dilalui
PAS, tanggapan itu sebenarnya satu analogi yang lemah.
Sebab itu, parti-parti lain perlu betul-betul memahami
kehendak PAS dalam membentuk gabungan. Kalau tidak mampu menurut apa
diperjuangkan PAS, elok jangan cuba untuk bergabung dengan PAS.
Amalan kahwin dan cerai politik sudah biasa bagi PAS.
Tindakan itu sebenarnya memberi laba kepada PAS. PAS semakin kuat dan mengukuh
setiap kali bergabung dengan parti lain.
PAS dapat merampas Kelantan daripada Barisan Nasional (BN)
hasil bergabung dengan Parti Semangat 46, dan kekal sehingga sekarang.
Masa berkahwin semuanya cantik elok. Apabila sudah
bermasalah, maka dibangkitkan segala salah pasangan. Maka, berlakulah
perceraian.
Kalau dirasakan perlu dirujuk balik, maka dipujuklah macam
orang gila talak. Maka, keluarlah dalil untuk merasionalkan hubunagn baharu
itu.
Itulah PAS.

No comments:
Post a Comment