
Salah satu jenis kulat atau cendawan yang paling popular ialah kulat pusu. Kulat pusu tumbuh semula jadi di kawasan yang ada anai-anai. Anai-anai tinggal di dalam pusu atau busut. Sebab itu ia dinamakan kulat pusu.
Bagaimanapun, kulat pusu tidak tumbuh
betul-betul di atas pusu. Tanah pusu keras, kering dan tidak ada humus yang sesuai untuk tumbuhan hidup di atasnya.
Kulat pusu tidak hidup lama, jangka hayatnya
mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari
tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas
permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga teksturnya
sedikit kenyal dan keras.
Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat
topinya berkembang dengan penuh dan dalam keadaan ‘malo’ atau matang. Oleh itu
hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua.
Selain mengelak menjadi malo, kutip awal bertujuan
ia tidak dikutip oleh orang lain. Kira macam berebut kutiplah. Siapa awal
dialah yang dapat.
Malam hujan lebat dan sebelah siangnya yang
panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat pusu tiba.
Pengecaman juga boleh dilakukan dengan munculnya banyak kelekatu pada waktu
malamnya.
Mengutip kulat pusu ada caranya. Sekiranya
tanah tempat tumbuhnya kulat-kulat ini lembut, kerja mengutipnya menjadi
senang, dengan cara menarik perlahan-lahan hingga ke akarnya dan ia tidak
patah.
Sekiranya tanah itu keras, batang-batang
kulat akan mudah patah semasa mencabutnya. Oleh itu bagi memudahkan penuaian,
tanah yang keras itu hendaklah disiram air terlebih dahulu bagi melembutkannya.
Berhati-hati semasa mengutip kulat pusu
kerana struktur morfologi dan warnanya hampir sama iaitu putih dengan spesies
yang beracun seperti Macrolepiota spesis, Lepiota spesis dan Amanita spesies.
Cara untuk mengelakkan salah faham ialah dengan mempastikan bahawa di bawah
cendawan tersebut terdapat pusu anai-anai dan akar kulat pusu itu panjang dan
sampai ke dalam sarang anai-anai tersebut.
Selepas kulat pusu dicabut, ia dibersihkan daripada tanah-tanah yang melekat
tetapi tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air kerana ini akan menyebabkan
ia mudah rosak dan busuk.
Kulat yang sudah dicabut batangnya tidak
akan membesar tetapi topinya akan mengembang. Untuk memberi ketahanan
kulat-kulat itu hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga 7
hari.
No comments:
Post a Comment