Tunai atau membayar zakat termasuk Rukun
Islam. Sesiapa tidak menunaikan zakat sedangkan dia layak atau termasuk
golongan wajib mengeluar zakat setelah memenuhi syarat ditetapkan, maka tahap
imannya belum sempurna.
Yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa
mereka yang menunaikan zakat akan menerima pelbagai ganjaran di dunia dan
akhirat kelak. Zakat tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki kerana Allah
akan menggantikan dengan yang lebih baik. Kebaikan itu dari segi pertambahan
harta, keberkatan, kesihatan, kegembiraan dan sebagainya.
Sifat terlalu cintakan harta dunia ini
perlu dikikis kerana ia mendorong kita bersifat bakhil, tamak, dan tidak
prihatin bagi membantu saudara seagama yang dalam kesusahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat),
supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan
mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana
sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).
Umat Islam perlu lebih serius dalam
menunaikan ibadat zakat kerana ia adalah perintah Allah SWT yang difardukan
terhadap orang Islam yang cukup syarat.
Di dalam al-Quran ada tiga perintah Allah
SWT yang berangkai dan perlu bergerak seiring iaitu tunaikan zakat dan dirikan
solat. Kedua, mentaati Allah SWT dan rasul, ketiga berterima kasih kepada-Nya
serta kedua orang tua.
Jadi, jika kita menunaikan solat tetapi
tidak berzakat, maka sia-sialah amalan yang kita laksanakan.
Pandangan zakat hanya perlu ditunaikan oleh
golongan kaya adalah tidak benar kerana setiap individu Muslim yang mencukupi
syarat wajib berzakat mesti melaksanakan kewajipan itu.
Harta yang tidak dikeluarkan zakat berada dalam
keadaan kotor dan tidak subur kerana ada hak milik orang lain yang sepatutnya
mendapat atau menerima zakat itu.
Selain menunaikan tanggungjawab yang
diwajibkan oleh syarak, umat Islam perlu memahamai falsafah zakat yang
bertujuan mendidik mereka menjadi hamba yang bersyukur.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
(Surah Ibrahim, ayat 7)
Antara manifestasi kesyukuran yang boleh
ditunjukkan seorang hamba terhadap nikmat kurniaan yang diberikan Allah SWT
kepada mereka ialah dengan melaksanakan tuntutan membayar zakat kepada pihak
yang mempunyai bidang kuasa.
No comments:
Post a Comment