Thursday 9 June 2022

KONSEP JIHAD MENURUT ISLAM

  
Ulama Islam sejak dulu lagi sudah mengupas persoalan salah faham umat Islam terhadap Islam sehingga mereka tergamak menghalalkan keganasan, rusuhan dan pengeboman atas nama Islam. 
 
Islam amat jauh sekali daripada apa yang mereka tafsirkan sebagai jihad pada jalan Allah. Konsep jihad menurut perspektif Islam amat luas dan suci berdasarkan matlamat syariat yang digariskan Islam. 
 
Di dalam Islam, peperangan jihad tidak akan berlaku melainkan jika terpaksa iaitu apabila umat Islam dizalimi dan ditindas serta mereka ingin mempertahan maruah mereka dan kesucian Islam daripada ancaman musuh Islam yang durjana. 
 
Peperangan jihad sebenarnya langkah terakhir yang diharuskan syarak kepada umat Islam dalam usaha mereka mempertahankan kesucian Islam daripada ancaman musuh Islam selepas beberapa langkah atau pendekatan awalan tidak berhasil dalam menangkis ancaman itu. 
 
Inilah prinsip perjuangan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW untuk diteladani umat Islam selepasnya demi meneruskan kelangsungan Islam di bumi Allah ini. 
 
Di samping itu, selaras dengan kedudukan Islam sebagai al-Din bersifat rahmah, Islam amat menganjurkan umatnya agar menggunakan pendekatan berhemah dan lemah lembut sebelum memulakan langkah kekerasan. 
 
Bukankah dakwah Islam tertegak atas landasan kata-kata yang lemah lembut seperti dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun ketika menghadap Firaun. 
 
Kisah ini menyingkap pendekatan dakwah yang berhikmah, islah secara baik, menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran biarlah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Allah. 
 
Apa juga bentuk kekerasan dan keganasan adalah dilarang Islam sama sekali, terutama yang menyebabkan kemudaratan lebih besar kepada umum. 
 
Ini bermakna pengeboman, rusuhan dan membakar harta awam yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah haram di sisi Islam, sekali gus termasuk dalam kategori perbuatan kerosakan yang disebut Allah sebagai al-fasad iaitu perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya yang akhirnya menyebabkan balasan cukup berat di dunia dan akhirat. 
 
Oleh itu, setiap Muslim wajib bermuhasabah dan mencermin diri sejauh mana kefahaman terhadap Islam agar tidak tersasar daripada landasan Islam. Perlu diinsafi bahawa Islam amat menganjurkan kedamaian dan kesejahteraan sejagat. 
 
Tidak ada sama sekali istilah keganasan, rusuhan, pengeboman dan lain-lain lagi dalam kamus Islam, malah Islam mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan tindakan keganasan yang menimbulkan kemudaratan besar kepada manusia sejagat.

No comments:

Post a Comment