Wednesday, 31 March 2021

ISLAM BERI KEMUDAHAN DALAM URUSAN HIDUP

Agama Islam adalah agama yang sempurna ajarannya. Ianya datang daripada Allah yang menjadikan alam sarwa ini. Allah sememangnya bersifat dengan kasih sayang. Allah Maha Pemurah, Allah Maha Penyayang. Arahan Allah kepada hamba-Nya tidak ada satu pun yang membebankan. Ianya penuh dengan kasih sayang dan rahmat.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Surah al-Haj, ayat 78).

Mungkin ada orang yang rasa tugas yang telah diberikan kepada mereka itu amat berat dan mereka rasa mereka tidak mampu melakukannya. Allah SWT bagitahu di dalam ayat ini bahawa tugas yang diberikan kepada kita itu bukanlah berat lagi membebankan. Allah tidak membebankan kepada kita apa-apa yang tidak mampu kita kerjakan.

Tiada kita dengar berita seorang wanita mati lemas kerana mengenakan jilbab. Tiada juga kita tahu bahawa ada orang mati kerana ibadat puasa. Mati sebab tercekik makan adalah. Syariat dalam agama Islam semuanya berbentuk mudah dan memudahkan.

Bahkan kalau kita tengok kaedah usul fiqh ada beberapa perkara yang menekankan kemudahan. Di antaranya:
- Kemudaharatn itu dihalangkan.
- Kesukaran membawa kepada keringanan.

Banyak dalil daripada al-Quran menerangkan akan hal ini. Contohnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu” (Surah al-Baqarah, ayat185)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ayat ke 28 surah an-Nisa Allah SWT berfirman bermaksud: “Allah bendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.”

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Aku diutus dengan membawa agama Islam yang hanif lagi penuh toleransi.”

Rasulullah SAW bersabda kepada Mu’az dan Abu Musa, ketika baginda mengutus  keduanya menjadi amir di negeri Yaman yang bermaksud: “Sampaikanlah berita gembira dan janganlah kamu berdua membuat mereka lari (darimu). dan bersikap mudahlah kamu berdua, janganlah kamu berdua bersikap mempersulit.”

Sebab itu para ustaz dalam menyampaikan kuliah dan ceramah hendaklah jangan memayahkan. Contohnya dalam bab bersih najis selepas buang air besar janganlah bagitahu sampai kena masukkan jari ke dubur dan gerakkan ke kiri ke kanan supaya najis keluar dengan sempurna. Ini merumitkan. Boleh kena buasir lagu ni. Islam tidak memayahkan. Sehingga ada orang beribadat jadi was-was.

Kepada siapa keluasan dan kerahmatan hidup ini dapat dinikmati? Al-Quthubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa ianya hanya dapat dirasai oleh orang yang beristiqamah dalam menjalankan suruhan Allah. Adapun para penjenayah, orang yang tak mahu tunduk kepada hukum Allah maka hidupnya sentiasa berada di dalam kesempitan.

No comments:

Post a Comment