Mencerna
modal insan menjadi satu fizikal yang upaya dalam segenap segi memerlukan
strategi teratur dan berhierarki. Begitulah juga dalam soal membangunkan
sahsiah dan akademik permata negara yang diharap silaunya memberi cahaya kepada
agama juga.
Namun
begitu, usaha ini bukan saja membabitkan pihak sekolah khususnya dan
kementerian amnya, malah perlu mendapat kerjasama ibu bapa, terutama dalam
memastikan nilai-nilai murni dan tonggak peribadi anak yang cemerlang seiring
dengan prestasi akademik.
Secara
umumnya, tiada insan kecil yang ingin gagal dan dipinggirkan. Walaupun tidak
‘luar biasa’, mereka pasti mahu berjaya. Ada kanak-kanak yang lambat matang,
menjadikan mereka tidak galak membuktikan kecemerlangan, tetapi sifat tekun dan
berakhlak mulia menjadikan mereka istiqamah menuntut ilmu.
Sebab
itulah ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kecenderungan anak-anak dan memantau
prestasi supaya mereka tetap pendirian dan tahu keutamaan. Tambahan pula,
pendidikan pertama bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu
kerana sistem pendidikan rasmi menjadualkan setiap orang wajib bersekolah
apabila berusia tujuh tahun.
Waktu
berkualiti yang sedikit ketika berada di rumah tentulah tidak mengizinkan
proses pembelajaran berlaku dengan sempurna. Malah, ramai ibu bapa mempunyai
komitmen kepada kerjaya, lantas mengharapkan pengorbanan guru di sekolah atau
pusat pendidikan lainnya mentarbiyah anak-anak mereka sebaik mungkin, sehingga
mereka berjaya dan cemerlang.
Setiap
pelajar mengharapkan diri mereka berjaya. Malangnya ada yang tidak menyedari
bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita. Segelintir mereka diserahkan bulat-bulat
kepada guru untuk dibimbing, dididik menjadi orang berguna. Apabila
mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapalah orang yang
paling gembira dan mendabik dada sehingga terlupa bagaimana anak mereka boleh mencapai kejayaan.
Tetapi
malangnya apabila tidak lagi menghuni ‘sekolah’, anak begini akan membawa
haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya
mempertaruhkan ilmu yang dicari dengan apa juga yang mengulit diri tanpa ada
‘guru’ yang membimbing lagi.
Ada
ramai pula ibu bapa yang menyedari pentingnya perhatian dan keprihatinan mereka
terhadap setiap anak-anak, mereka membantu guru memperkasakan sekolah dan
persatuan, mengambil tahu kegiatan dan aktiviti anak-anak di sekolah serta
tidak lokek masa untuk menjengok anak dan teman mereka di sekolah.
Pusat
tarbiah insan ini tentunya tidak sama dengan tempat lain, yang mungkin
infrastrukturnya sama, organisasinya hampir sama, pentadbirannya juga tidak
jauh berbeza tetapi hasil yang akan dikeluarkan adalah tidak sama.
Sekolah melahirkan manusia yang terdidik dan berilmu, tidak sama seperti kilang
pengeluaran yang menitikberatkan penghasilan menepati piawai yang boleh diukur
dengan standard kualiti zahirnya, iaitu mesti tiada cacat cela yang boleh dikategorikan
sebagai kualiti kelas kedua.
Firman
Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan
sebenar-benarnya)
Tetapi
manusia tidak boleh diukur dengan keserupaan fizikal mereka untuk menentukan
mereka berkualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan
tidak berakhlak. Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat
pentarbiahan insan, kerana mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai
mental dan peribadi berkualiti tinggi, yang tidak boleh diukur dengan pandangan
mata.
Firman
Allah SWT yang dalam Surah al-Alaq, ayat 1-5 bermaksud: “Bacalah dengan nama
Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia
daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan
yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa
yang manusia tidak mengetahuinya.”
Daripada
ayat di atas, jelaslah bahawa dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula
daripada proses penerokaan (mengguna akal) yang perlu disertai dengan asas agama
yang kukuh. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika
dimulakan dengan nama Allah SWT, insya-Allah akan dapat mengelak terpesong
daripada matlamat sebenar mereka.
Kesedaran
ibu bapa dalam memulakan pendidikan anak pada peringkat awal mereka mengenali
dunia dengan mengenalkan mereka kepada Yang Maha Mencipta adalah sebaik-baik
cara yang sepatutnya mereka lakukan.
Rasulullah
SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang
bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam.” Justeru,
kefarduan itu perlu dimulakan dengan sesempurna mungkin supaya diberkati Allah
SWT.
Guru
yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak yang terdidik dengan permulaan yang
baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan dan sosial yang
semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi dan sikap yang baik.
Tambahan
pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia adalah aset dan
bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan yang penuh liku.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka
perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan
sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu.” (Hadis
riwayat Muslim).
No comments:
Post a Comment