Monday 23 January 2023

MENGAPA BUKAN ISLAM KAJI AL-QURAN

Kehebatan kandungan al-Quran mendorong bukan Islam turut mengkajinya. Semakin banyak penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam. 
 
Ketika pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.
 
Ketepatan kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW.  
 
Tidak mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah SAW dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan teknologi.
 
Bahkan, tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui tentang penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih seperti yang terdapat pada masa sekarang.
 
Perkara ini tidak sukar diterima oleh orang beriman. Allah Maha Pencipta. Dialah mencipta semua makhluk di dunia ini. Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian dengan tepat.
 
Malah sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, merupakan bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad. 
 
Firman Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53).
 
Pengkaji Barat yang selama ini bermegah dengan doktrin bahawa agama dan sains terpisah, terpaksa mengakui kebenaran al-Quran. Agama Islam adalah panduan dan cara hidup. Sebab itu, al-Quran memberikan gambaran menyeluruh berkaitan kehidupan manusia.
 
Disebabkan kandungan al-Quran tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh sesiapa, maka ia memberi peluang untuk manusia sepanjang masa tidak putus-putus membongkar segala rahsia yang terkandung di dalamnya. 
 
Semakin banyak penafsiran dibuat, maka lebih banyak manfaat yang diperoleh melaluinya, biarpun di atas perkara yang sama. Memang satu perkara yang amat istimewa apabila satu perkataan atau ayat yang sama di dalam al-Quran ditafsir dalam makna yang berbeza-beza oleh para ulama. 
 
Perbezaan itu memberi peluang meningkatkan lagi kelebihan dan kebaikan di sebaliknya. Bagaimanapun, ini tidak pula bermakna seseorang itu boleh menafsirnya dengan sesuka hati untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu.  
 
Sesungguhnya amat celakalah sesiapa menggunakan al-Quran dengan niat menjermuskan kepada kesesatan. 
 
Firman Allah menjelaskan mengenainya dalam surah an-Nahl, ayat 64 bermaksud: “Dan Kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
 
Allah menegaskan agar manusia sentiasa mengkaji, memahami dan menggunakan segala anugerahnya untuk kebaikan. Segala apa yang dicipta oleh-Nya dalam keadaan sempurna dan ini dapat manusia perhatikan melalui pengamatan dan fikiran yang terbuka.
 
Biarpun secara umumnya ilmu yang terkandung dalam al-Quran sudah banyak dikaji oleh para sainstis, namun masih banyak yang tersembunyi. Al-Quran masih releven dan akan terus releven sepanjang zaman untuk dijadikan panduan dalam semua bidang, termasuklah berkaitan sains dan teknologi.
 
Justeru, al-Quran perlu terus dibaca dan diulang-ulang bacaannya. Semakin dibaca dan diulang-ulang, maka semakin banyak kebaikan diperoleh. Menggali khazanah al-Quran tidak akan habis-habis sampai bila-bila. Selagi dikaji dan dibongkar rahsia yang terkandung di dalam al-Quran, manusia akan merasakan betapa besarnya kekuasa Allah dan kerdilnya manusia.
 
Ayat pertama dibaca oleh Rasulullah ialah surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhammu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” 
 
Bagaimanapun, sekiranya apa terkandung di dalam al-Quran tidak diperdulikan, yakni tidak mengikuti apa disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang, terimalah azab maha pedih. Kehidupan manusia akan hancur dan sesat tanpa panduan al-Quran.

No comments:

Post a Comment