Tuesday 24 December 2019

JUAL SIMPATI LEBIH SENANG DAPAT UNTUNG

Satu cerita atau catatan di laman sosial yang patut anda baca yang menyentuh mengenai “mindset”

Begini ceritanya ... salah satu perniagaan GC aku ialah menjual buah Nanas MD2, Nanas potong MD2 dan Jus Nanas MD2 100%.

Aku seronok dan tidak segan untuk menjual Nanas di jalanan dan kaki lima.

Melalui berniaga di jalanan dan kaki lima, aku dapat melihat dan merasai sedikit sebanyak perit jerih peniaga jalanan dan ragam2 pelanggan.

Pengalaman aku berniaga di kaki lima Maybank Seksyen 9 BB Bangi, aku dapat melihat betapa lebih menguntungkan mencari 'perniagaan' berupa SIMPATI dan sentimen.

Lebih kurang jam 8.30 malam, setiap kali aku sampai ke Maybank untuk berniaga, akan kelihatan 2 orang dari Selatan Thai yang berpangkat pakcik dan makcik memakai kopiah, kain pelekat, tudung labuh dan sanggup duduk langsung di atas lantai kaki lima. Memang nampak kesian. Berkesan sungguh emotional effect pada org lain hanya dengan taktik duduk direct atas lantai. Padahal kotor lantai tu.

Yang makcik tu akan letaklah keropok2 (tak berkualiti dan murahan) atas lantai. Tak susun elok2 pun, macam tak minat jual sgt pun. Yang pakcik pula, bawa bam (takde kualiti dan murahan) dalam beg kecil kononnya sebagai barang perniagaan. Harga yg dijual RM10 sangat tidak setimpal dengan kualiti barang yg dijual. Mereka sentiasa datang awal dan akan port betul2 di kiri kanan pintu masuk bank. Terpaksalah aku pergi jauh dari lokasi strategik yang mereka sudah ambil.

Mereka boleh berbahasa 'kelate' dan akan cuba create 'small talk' dengan aku mungkin sebab segan dgn kehadiran anak tempatan yang mencari rezeki berniaga di tanahair sendiri.

Kalau dibandingkan bisnes model aku dengan mereka, jauh lebih sukar bisnes aku sebab utk aku set up booth sahaja akan mengambil masa 20 minit. Itupun kalau aku dapat parking MPV aku dekat dengan kaki lima dan dapat offload barang dgn lebih efisyen. Itupun kalau parking ada kosong.

Selepas itu, aku kena angkat 2-3 bakul berisi Nenas seberat 50-100kg, peti sejukbeku  polystrene berisi Nenas potong dan Jus, penimbang digital, 3 keping plywood utk letak Nenas, kain utk lap botol jus, tisu, baldi kecik isi air utk cairkan jus yg beku, bekas duit tukar, tester Nenas, toothpick, beg plastik, stand up bunting, papan harga, dll. Itu belum diambil kira proses persediaan sebelumnya iaitu proses mengupas kulit Nenas, membuang mata Nenas, memotong Nenas, slow juicing nenas, memasukkan dalam container plastik dan botol jus, melabelkan bekas dan botol dgn stiker produk, dll.

Kesimpulannya, bisnes model aku berteraskan kualiti, harga berpatutan dan usaha yang gigih. PENAT.

Setelah aku bersedia untuk memulakan proses menjual produk Nenas2ku, kagum aku melihat 'perniagaan' berteraskan simpati Pakcik Makcik itu begitu laris. Boleh kata ada saje pelanggan yang 'mencampakkan' 10 ringgit, 5 ringgit kepada mereka. Yang lebih menakjubkan, pelanggan tidak mengambil apa2 pun barang jualan mereka. Ajaib sungguh. Duit masuk, barang tak keluar. WOW!

Sedang aku pula, walaupun nenas MD2 aku sedap, berkualiti, value for money dan hanya dijual harga RM6, pelanggan akan bertanya macam2 dan membuat muka serius sebelum membeli. Itupun hanya dibeli setelah aku berjaya memberi layanan dan penerangan yg dapat meyakinkan mereka.

Ada juga insiden di mana, seorang pelanggan muslimah siap berniqab ini baru keluar bank dan terus meluru ke booth nenas ku, kusangkakan nak beli nenas, rupa2nya nak tukar duit saje. Tanpa berfikir, aku pun menukarkan duit RM10 dia kepada RM5 dua keping. 

Ingatkan utk apa, rupa2nya diberikan RM5 itu kepada setiap seorg Pakcik dan Makcik bersila atas lantai itu tanpa mengambil satu barang jualan pun. Takdepun dia nak beli satu pun jualan Nanas ku. Takpelah.

Dari 8.30 sehingga 9.30, aku anggarkan pendapatan PakCik Makcik itu boleh mencecah RM150 setiap seorg. Sungguh lumayan. Hanya dalam 1 jam. Sedang aku masih terkial2 nak buat sales RM30 sahaja pun. Penat berdiri, menyusun buah, mengelap botol yg basah, dll. Seronoknya 'perniagaan' mereka.

Ada sekali tu, duit tukar aku dah habis, jadi aku risau tak dapat nak bagi duit tukar pada pelanggan nanti, jadi aku minta pada pakcik dan makcik tu nak tukar note 50 aku sebab aku tahu mereka dapat banyak duit note 10 dan 5. Yang menyedihkan, mereka kata takde dan tak dapatlah aku tukar duit dgn mereka.

Nampak sangat menipu. Aku rasa mereka telah dilatih utk tidak bagi kerjasama sebab nanti 'kantoi' la mereka dapat banyak duit. Setelah beberapa kali aku berniaga di situ, aku dapat rasakan mereka rasa 'tak sedap' sebab mereka tahu aku tahu 'taktik' mereka dan pendapatan mereka.

Mereka cuba berbaik2 dgn aku, biasalah sembang2 tanya itu ini. Kadang2 macam kenen2 nak makan free. Maaf, aku tak dapat bagi. Dia mampu beli sebab dapat duit banyak. Cuma taknak beli supaya nak kekal nampak susah dan nampak kesian. Sedang aku yang penat berusaha nak proses Nanas2 tu lagi berniaga lagi, tiada siapa nak kesian.

Jadi aku layan gitu2 je mereka dan ada sekali tu aku bagi penegasan sikit (indirect) yg aku berniaga bukan mudah, kena usaha lebih, ada proses. Bukan senang nak dapat duit org. Pakcik tu terasa. Terus bangun blah. Malu kot.

Aku perati, dekat2 jam 12 malam (ATM tutup), akan sampai satu TOYOTA HILUX plate Thailand. Parking jauh sikit, nak sorok2 le tu. Dan disuruh seorg budak kecik utk pergi ke Pakcik dan Makcik tu. Macam messenger la. Supaya tak nampak pemandu Hilux tu.

Pakcik dan Makcik tu pun akan berjalan menuju ke Hilux tu membawa hasil yg lumayan. Dan berlalu pergilah bisnesman dan bisneswoman hebat dari Selatan Thai itu. Esok kemari lagi dari siang sampai ke malam. Hasil perniagaaan mereka akan dibawa ke tempat mereka tanpa memberi apa2 faedah kepada anak2 jati Malaysia yg masih ramai yg susah dan gigih berusaha siang malam.

Bisnes model menagih simpati dan 'agama' sangat berjaya di dalam pasaran orang Melayu di serata lokasi. Orang Melayu memang 'cerdik'.

Muka aku sebijik macam Cina. Org Cina pun ingat aku Cina. Jadi, kalau aku jaga booth aku, org Melayu tgk atas bawah dari jauh. Payah nak singgah membeli. Apa nak buat. BMF punye 'kejayaan'.

Jadi, walaupun aku paling tak suka 'menunggang' agama, aku terpaksa pakai kopiah semasa berniaga. Analisa aku menunjukkan, jumlah sales sangat jauh berbeza apabila aku memakai kopiah dengan apabila aku tidak berkopiah.

Sales jatuh teruk apabila aku tertinggal kopiah aku kat rumah. Pelik. Produk aku kualiti dan halal tetap yg sama tetapi Sales figure berbeza apabila berkopiah dan tak berkopiah. Hahaha. Giler!

Penat aku menulis, namun aku yakin pasaran orang Melayu akan terus 'cerdik' mengkayakan orang Selatan Thai, orang Pakistan berjubah dan berjambang, orang Afganistan berjubah, penunggang agama dan muka kesian. Tidak menilai melalui kualiti dan harga barangan.

Patutlah sehingga harini orang Islam ke, Melayu ke masih belum dapat membuat kapal terbang ke, kereta sendiri ke, basikal ke, waima seluar dalam sendiri pun belum lagi. Sebabnya, buat apa susah payah buat dan keluarkan teknologi sendiri. Kan lebih syok duduk atas lantai dan menadah tangan mengaut untung.

Dan aku juga yakin, selagi orang Islam meminta-minta, menipu dan masih tidak 'cerdik' di dalam memberi sedekah atau membeli, umat Islam akan terus mundur. Buktinya ialah, mana ada negara maju seperti Jepun, Korea, Switzerland, dll yg rakyatnya akan susun strategi, taktik dan berusaha meminta-minta dan menagih simpati.

Berniaga itu SUNNAH. Meminta-meminta bukan SUNNAH.

Gunakan akal kita. Bukan hanya emosi.

Thursday 19 December 2019

KAMPUNG PANTAI DASAR LOKASI PENDARATAN TENTERA JEPUN

Kampung Pantai Dasar dahulunya antara lokasi peranginan paling terkenal di Kelantan selain Pantai Cinta Berahi (kini Pantai Cahaya Bulan), Pantai Irama dan Pantai Semerak.

Kampung Pantai Dasar kini hanya tinggal saki baki kawasan akibat hakisan teruk yang berlaku sekitar tahun 1980an. Sekarang ini hanya tinggal beberapa hektar kawasan yang masih bertahan setelah dibuat benteng batu besar.

Sebelum ini, Kampung Pantai Dasar yang lebih dikenali Pantai Dasar adalah tumpuan pengunjung. Pantai Dasar mempunyai pantai yang lebar, memanjang dengan pasir yang putih yang dipayungi oleh pokok-pokok rhu yang daunnya sentiasa gemersik dibelai bayu.

Pantai yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Kota Bharu dan hanya 3 km daripada Lapangan Terbang, Ismail Petra, di Pengkalan Chepa adalah lokasi pendaratan tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu.

Pada masa dahulu terdapat banyak kubu konkrit yang pernah digunakan oleh tentera British di sekitar Pantai Dasar dan kawasan berhampiran. Namun, semua kubu tersebut kini telah teggelam di dalam laut akibat tapaknya telah dihakis.

Kini sisa-sisa Pantai Dasar terus dikunjungi oleh mereka untuk menikmati suasana pantai biarpun tidak seindah dahulu. Di situ terdapat beberapa gerai makan untuk melayan kedatangan pengunjung.

Sunday 15 December 2019

PARTI KOMUNIS BERJUANG TUBUH NEGARA REPUBLIK

Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan di Tanah Malayu pada April 1930. Pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, PKM telah berkerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui MPAJA (Malayan Peoples Anti Janpenes Army) atau Tentera Anti Jepun Tanah Melayu.

Selepas Jepun menyerah kalah PKM mengambil kesempatan untuk menguasai Tanah Melayu dengan menubuhkan Bintang Tiga. Ketika itu siri keganasan telah dilakukan PKM terhadap penduduk Tanah Melayu.

British kembali ke Tanah Melayu melalu pentadbiran tenteranya yang dikenali British Military Administration (BMA) telah berusaha menggagalkan usaha Bintang Tiga untuk terus mengusai Tanah Melayu. Serentak dengan itu MPAJA telah dibubarkan.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1 Febuari 1948, PKM masih meneruskan aktiviti pengganas dengan membunuh penduduk yang tidak menyokong mereka, selain kemudahan awam dan harta benda penduduk dirosakkan.

Peristiwa pembunuhan tiga orang pengurus estet bangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada perisytiran darurat oleh Sir Edward Gent pada 15 Jun 1948 untuk negeri Perak dan Johor. Sir Edward merupakan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu pada ketika itu.

Apabila keadaan semakin meruncing di seluruh Tanah Melayu, maka perisytiharan darurat sepenuhnya telah dibuat pada 12 Julai 1948. PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Darurat telah berlangsung sehingga 1960.

Perjuangan bersenjata PKM terhadap pasukan keselamatan Malaysia tamat secara rasmi apabila Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia dan PKM.

Namun, muktakhir ini seperti ada satu gerakan untuk menghidupkan semula PKM dengan gagasan pemikiran (idealogi) yang dipelopori oleh Karl Marx di Malaysia. Yang terkini dianjurkan program-program tertentu untuk memperingati tokoh-tokoh pendukung idealogi ini malah wujud desakan untuk mengiktiraf mereka sebagai negarawan.

Selain daripada itu, terdapat pula suara-suara yang mencadangkan supaya sejarah negara ini ditulis semula khususnya sejarah sebelum kemerdekaan. Kesemua ini sudah tentu menimbulkan persoalan tentang tujuan mengapa idealogi dan pendukung-pendukungnya perlu diiktiraf?

PKM adalah antara pertubuhan yang mendukung idealogi Sosialisme Marxisme. Ia ditubuhkan untuk mewujudkan sebuah negara Sosialisme atau masyarakat Komunis di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Kewujudan PKM adalah kesinambungan daripada Parti Komunis Nanyang (NCP) yang telah ditubuhkan sebelumnya pada tahun 1925. PKM pada peringkat awalnya dipengaruhi secara langsung oleh pengaruh Komunisme Russia dan kemudiannya Soviet Union melalui golongan revolusioner yang menganggotai Parti Koumintang China (CNP).

Golongan revolusioner ini banyak dipengaruhi oleh Revolusi Sosialisme yang dipelopori oleh Lenin di Russia. Mereka kemudiannya telah disingkirkan dari CNP. Sebahagian golongan ini telah bermigrasi ke Asia Tenggara lalu menubuhkan NCP, di mana salah seorang pelopor yang penting ialah Ho Chi Minh dari Indo China.

Demi bergerak secara lebih berfokus dengan menumpukan kepada wilayah-wilayah yang lebih kecil, NCP ini telah dibubarkan menjadi parti-parti Komunis yang lebih mewakili wilayah kecil seperti Parti Komunis Indo China, Parti Komunis Thai dan juga di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura ditubuhkan PKM.

Bermula daripada detik itu, PKM mula menumpukan usaha untuk menjadikan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura sebuah negara republik yang beridealogikan Sosialisme. Dengan pengertian lain, PKM berhasrat untuk menumbangkan sistem pemerintahan beraja ketika itu.

Bagaimanapun, bila berlaku Perang Dunia Kedua pada tahun 1942, Soviet Union sendiri telah bersekutu dengan kuasa-kuasa Barat seperti Britain untuk menghadapi Jerman.

Konflik antara liberalisme dan sosialisme dilupakan seketika untuk menghadapi Jerman. Demikian jugalah di Asia Tenggara, parti-parti Komunis ini telah bersekutu dengan Britain dan lain-lain kuasa Barat menghadapi Jepun yang berpihak kepada Jerman.

Di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura, PKM atas nama MPAJA telah dibantu oleh tentera British untuk menghadapi Jepun.

Setelah selesai Perang Dunia Kedua, beberapa pemimpin PKM atau MPAJA telah diberi penghargaan oleh Britain termasuklah Chin Peng. Bagaimanapun, konflik antara blok Barat dan blok Timur telah bermula kembali, dan PKM telah sekali lagi mengangkat senjata untuk menubuhkan negara sosialisme di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Gerakan mereka telah ditentang oleh pejuang Islam dan nasionalis Melayu yang mahu mempertahankan sistem pemerintahan beraja, di samping mereka juga turut menuntut kemerdekaan dari penjajah Barat.

Berdasarkan hakikat sejarah tersebut adalah tidak benar sama sekali untuk menabalkan PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Kalau ingin memerdekakan negara, mengapa selepas negara mencapai kemerdekaan, PKM terus melakukan keganasan menentang kerajaan sehingga 2 Disember 1989, lebih 32 tahun selepas negara merdeka.

Sebenarnya, tujuan utama mereka bukanlah untuk memerdekakan negara sebaliknya untuk menjadikan negara ini sebuah republik sosialisme yang menolak sebarang kepercayaan agama.

Pada peringkat awal memang terdapat pejuang Islam dan nasionalis Melayu yang menganggap PKM sebagai rakan kerjasama, tetapi sebahagian besar mereka kemudiannya memisahkan diri dari bekerjasama dengan PKM apabila mula menyedari tujuan sebenar PKM.

Saturday 30 November 2019

KAIN BEDUNG BAYI BAHARU LAHIR JENIS COTTON WARNA PUTIH

Kain bedung digunakan untuk membedung bayi. Membedung atau bedong bayi telah diamalkan dalam masyarakat kita sejak berabad lamanya. Kebanyakannya bersetuju bahawa dengan membedung bayi, ia akan memberi rasa aman kepada bayi.

Membedung bayi dapat membantu keadaan bayi dalam keadaan tenang dan tidur lebih nyenyak. Tidur amt penting bagi bayi untuk membantu tahap kesihatan yang lebih baik. 
 
Bedung bayi diiktiraf sains mempunyai kesan positif terhadap perkembangan bayi baharu lahir. Amalan tradisi yang sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang ini rupanya mempunyai pelbagai manfaatnya kepada bayi. 
 
Mungkin ada segelintir ibu moden masa kini enggan mengamalkan amalan membedung bayi lagi kerana beranggapan ia leceh dan menyusahkan. 
 
Sebaiknya dapatkan maklumat tepat dan betul mengenai amalan berbedung yang sebenarnya turut diiktiraf oleh sains moden. 
Ikatan kain yang membaluti tubuh badan bayi sebenarnya menyamai seperti fungsi dinding rahim yang membalut keseluruhan badan bayi semasa dalam kandungan. 
 
Sejurus dilahirkan, tiada lagi dinding rahim yang menghimpit. Bayi juga tidak lagi berada dalam kedudukan fetal. Sensasi pelukan berpanjangan telah ditarik dengan drastik dan bayi merasa bagai hilang dalam sekeliling yang begitu luas. 
 
Pelukan ibu adalah pengganti yang terbaik. Namun, berapa lama ibu boleh terus memeluk atau menggendong bayi? 
 
Maka bedung adalah pengganti pelukan ibu pada bila-bila masa ibu perlu berlepas diri seperti mandi, memasak, tidur atau sakit.
 
 
Apa manfaat bedung kepada bayi? 
1. Memberikan sensasi sentuhan berpanjangan 
Kulit adalah organ terbesar manusia. Sentuhan pula adalah yang paling mententeramkan deria kita. Bedung membaluti tubuh bayi dengan sensasi sentuhan berpanjangan. Setiap dari kita tahu akan nikmat sentuhan. 
 
Namun bagi bayi kecil, ia bukan sekadar nikmat atau keseronokkan yang dirasakan. Lebih dari itu, sentuhan ibarat penyambung nyawa buat bayi kecil! 
 
Tiada sentuhan maka tiadalah sensasi deria. Tiada sensasi ransangan deria, maka tiadalah isyarat yang dihantar ke otak. 
 
Sudah tentu, membedung tidaklah seenak berada didalam dakapan ibu. Namun, ia adalah alternatif terbaik selepas dakapan ibu pada waktu-waktu dimana ibu tidak dapat mendukung atau mendakap bayi. 
2. Bedung mengelakkan bayi dari pergerakan luar kawalan 
Perhatikan imej fetus semasa di dalam kandungan. Ia kelihatan seperti seorang ahli gimnastik yang sedang melipat keseluruhan badannya dan terapung di dalam suatu ruang yang sempit. 
 
Kehilangan dinding rahim melenyapkan ‘halangan’ yang dimiliki sebelum ini. Maka sedikit keresahan boleh segera mengaktifkan reflek Moro bayi dan memulakan gerakan luar kawalan tangan dan kakinya diikuti dengan tangisan. 
 
Kebiasaanya bayi akan mendepakan tangan dan membuka kesemua jarinya. Ia adalah reflek yang hadir pada semua bayi sehingga usia 4 hingga 5 bulan. 
 
Maka ibu akan sedari kerapnya bayi kecil mereka tersentak dan mula menangis atau terus terjaga dari tidur bila tidak dibedung. 
 
 
Membedung bayi adalah salah satu cara untuk mendapatkan bentuk kaki bayi yang lurus dan tidak ‘kengkang’.

Berapa lama bayi perlu dibedung? Sebenarnya, bayi tidak perlu lagi dibedung apabila mereka sudah boleh berguling, iaitu sekitar usia 2-3 bulan.

Dalam usia ini juga, biasanya refleks ‘terkejut’ atau ‘startle reflex’ akan berkurang dan bayi akan dapat tidur dengan lebih lena biarpun tanpa dibedung.

Kain bedung yang digunakan seharusnya dari jenis yang sesuai dengan cuaca di Malaysia. Elak menggunakan kain dari jenis yang menyebabkan haba panas kepada badan bayi.

Kami ada menjual kain bedung bayi secara dalam talian. Mudah, murah dan cepat:
- Ukuran 36 inci x 36 inci.
- Jenis kain cotton
- Kelebihan kain jenis cotton:
* Nyaman dan mudah menyerap peluh.
* Kain terasa dingin di kulit.
* Mudah dicuci.

Dapatkan kain bedung bayi secara dalam talian. Mudah, murah dan cepat.