Wednesday 20 June 2018

AMBIL PENGAJARAN CARA HIDUP RAKYAT NEGARA MAJU

Perbezaan negara kaya dan miskin tidak terletak pada adanya sumber asli. Ada negara miskin sumber, namun mampu menjadi negara kaya dan produktif. Sebaliknya ada negara kaya sumber asli, namun terpaksa bergantung kepada negara lain untuk membangunkan dan keadaan negara yang tidak selamat disebabkan perperangan berebut kekayaan.

Jepun wilayah yang terhad. Kira-kira 80% kawasan negara Jepun adalah pergunungan. Aktiviti pertanian di negara Jepun agak terhad kerana kawasan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Dalam keterbatasan sumber, Jepun berjaya menjadi kuasa ekonomi dunia kedua terbesar. Negara Jepun umpama kilang terapung mengimpot bahan mentah dari serata dunia dan mengekspot kembali hasil perkilangan sebagai sumber pendapatan utama negara.

Di negara Switzerland tidak ada kawasan tanaman koko. Namun, hebatnya Switzerland menjadi pengeluar coklat terbaik dunia. Dalam wilayah kecil negara Switzerland, kawasan tanah pertanian dan penternakan hanya mampu dikerjakan selama empat bulan sahaja setahun. Selebihnya negara tersebut diliputi salji atau cuaca yang tidak sesuai untuk pertanian. Namun, hebatnya Switzerland mampu mengeluarkan produk tenusu yang paling bagus. Switzerland sebuah negara kecil mempunyai imej keselamatan tertinggi hingga menjadikannya bank di negara tersebut paling diyakini penduduk seluruh dunia.

Jika diteliti dan dikaji, kejayaan kedua-dua negara tersebut bergantung kepada nilai tinggi prinsip hidup rakyatnya. Warganegara di negara tersebut menjunjung tinggi prinsip hidup masyarakat tamadun.

Prinsip atau rukun hidup yang diamalkan adalah:
- Etika sebagai prinsip asas.
- Berintegriti.
- Bertanggungjawab.
- Hormat pada undang-undang dan peraturan.
- Hormat kepada hak majoriti rakyat.
- Cinta pada pekerjaan/bekerja.
- Berusaha untuk menyimpan dan melabur.
- Ada kesanggupan untuk bekerja dan menjadi produktif.
- Menepati masa.

Segala asas dan prinsip itu sebenarnya menepati apa yang diajar oleh Islam. Namun, di kalangan umat Islam sendiri tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh ajaran Islam.

Negara umat Islam sebenarnya kaya dengan sumber minyak dan sumber-sumber lain. Negara Islam berpotensi maju dan mengawal ekonomi dunia. Namun, sikap tidak mematuhi tuntutan agama, peluang yang tersedia tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malangnya, umat Islam menjadi umat termundur dan miskin.

Sunday 10 June 2018

MENGAPA WANITA ISLAM DIHARAM SERTAI RATU CANTIK

 
Terdapat fatwa di Malaysia mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik. Fatwa melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah dibuat oleh pihak berkuasa mengeluarkan fatwa.  
 
Antara fatwa tersebut seperti diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang menjelaskan menyertai pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu haram dan berdosa.
 
Lanjutan itu, sesiapa yang menentang atau melanggar fatwa tersebut melalui kenyataan atau perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Manakala, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Dengan kata lain, fatwa mengenai haram menyertai ratu cantik memang telah lama dikeluarkan. Berdasarkan itu, sesiapa melanggar fatwa boleh didakwa melalui peruntukan yang telah ditetapkan. 

Namun begitu, setakat ini di Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan gadis Islam menyertai pertandingan sedemikian. Untuk memberi satu status undang-undang secara jelas, dicadangkan agar satu peruntukan seksyen berkaitan kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik sebagai satu kesalahan jenayah syariah. 

Peruntukan sebagai satu kesalahan jenayah syariah diharapkan dapat mengelak polimik mengenai kedudukan dan kesalahan berkaitannya. Sebelum ini terdapat pihak membuat provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik kepada orang Islam.

Mereka mempertikaikan kedudukan institusi fatwa dari sudut perundangan.  Mereka mempersoalkan bagaimana fatwa boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.

Tindakan pihak berkenaan ternyata tidak merujuk kepada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah tidak timbul dakwaan wujudnya diskriminasi dalam fatwa atau hukum yang dikeluarkan sama ada berasaskan gender, double standard atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak tentang hukum itu.

Dalam membicarakan hukum-hakam Islam, semua pihak, perlu ingat bahawa tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya.

Jika orang Islam dilarang dari berjudi, tidak dibenarkan membeli loteri, masuk tempat perjudian dan boleh dihadapkan ke mahkamah syariah, maka fatwa melarang wanita Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik perlu diperundangkan supaya tindakan boleh diambil terhadap peserta dan penganjur.

Haram tetap haram, tanggungjawab menjaga maruah agama Islam itu terletak di atas bahu setiap umatnya, jika sudah terang ia bertentangan dengan hukum agama mengapa perlu bangga melakukannya. Walaupun pilihan itu adalah hak individu, ia ada kaitan dengan maruah individu, masyarakat dan agama Islam itu sendiri.

Isu wanita muslim dilarang menyertai pertandingan ratu cantik memang jelas dilarang oleh Islam. Sebagai seorang yang beragama Islam, menjadi kewajipan mereka mematuhi hukum Allah atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perlakuan yang bersalahan dengan hukum ditetapkan secara qati'e dalam al-Quran dan hadis.

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".

Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun.

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain.

Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum.

Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.

Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak?

Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.

Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya.

Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya

Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.
 
Gambar: Pemandangan di Pulau Beluru. Sekadar hiasan. 

Thursday 7 June 2018

PENIAGA MERCUN MELAKU DOSA

Bunyi mercun dan bunga api semakin banyak meletup di sana sini pada setiap malam menjelang sambutan Aidlfitri dan sambutan Syawal. Biarpun pihak berkuasa melipatgandakan usaha mencegah penyeludupan, namun masih banyak terdapat mercun dijual kepada orang ramai.

Penjual mendapat bekalan mercun dari penyeludup yang tidak serik dan licik menyeludup mercun terutama dari negara jiran kerana kedudukan negeri Kelantan yang bersempadan negara jiran.

Penyeludupan mercun yang berleluasa berlaku disebabkan keuntungan yang besar diperoleh oleh mereka yang terlibat dalam penyeledupan dan peniagaan mercun ini.

Permintaan yang tinggi terhadap mercun pada musim perayaan memberi pulangan yang lumayan kepada penyeludup dan peniaga mercun.  

Permintaan terhadap mercun akan berkurangan jika masyarakat sedar mengenai bahaya bermain mercun terutama melibatkan kanak-kanak, selain perbuatan itu ditegah oleh agama.

Islam mengharam segala bentuk perbuatan yang mendatang bahaya dan merugikan.  

Mereka yang terlibat dalam perniagaan mercun sepatutnya sedar bahawa keuntungan yang diperoleh itu bakal menyebabkan kecelakaan kepada orang lain. 

Keuntungan menyeludup atau menjual mercun sebenarnya haram dan boleh disamakan seperti mengedar dadah. Mereka melakukan dosa menjual barang yang mendatangkan bahaya dan diharam di sisi undang-undang.

Sesiapa yang makan hasil pendapatan haram, maka dia akan mendapat kutukan daripada Allah dan bakal mendapat kecelakaan di dunia mahupun di akhirat. 

Tindakan lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan penjualan mercun. Mereka ini hanya mementingkan keuntungan, tetapi tidak memikirkan kecelakaan yang boleh berlaku akibat bermain mercun.

Tuesday 5 June 2018

BUAH TERAJAN RASA KELAT MANIS

Siapa pernah makan buah terajan. Buah terajan rasa kelat-kelat manis. Pokok terajan banyak tumbuh sekitar kawasan kampung. Buah terajan (nama di Kelantan dan mungkin juga di tempat-tempat lain ikut dailek masing-masing) memang mudah tumbuh di kawasan rumah. Nama rasmi pokok terajan ialah mertajam atau nama sainstifiknya Erioglossum rubiginosum.

Pokok mertajam mencapai ketinggian antara 5 hingga 12 meter. Pokok mertaham mempunyai daun pinat 4 hingga 6 pasang. Saiznya besar iaitu lebih kurang 5cm dan mempunyai reramput halus serta peruratan pinat.

Bunga mertajam berwarna putih, bentuknya bulat dan berpetal 4. Buah mertajam berukuran kecil, berwarna kuning semasa muda dan bertukar menjadi merah dan kundang gelap bila matang.

Diakui kini pokok mertajam semakin sukar ditemui dan dikategorikan sebagai pokok nadir. Justeru, generasi muda hari ini mungkin tidak pernah melihat pokok mertajam, apatahlagi memakain buah mertajam yang 'lazat' dan mendapat sambutan pada masa dahulu.

Selain buah mertajam yang enak dimakan, daun mertajam dikatakan boleh hilangkan jerawat dan tidak meninggalkan sebarang kesan parut. Daun mertajam juga digunakan untuk merawat luka tanpa meninggalkan parut.