Thursday 15 March 2018

AKTIVITI BERBASIKAL LAMBATKAN PENUAAN

Kajian pasukan saintis Britain mendapati aktiviti berbasikal boleh melambatkan kesan penuaan dan 'meremajakan' sistem imun.

Menurut portal mirror.co.uk, pasukan saintis melakukan ujian ke atas 125 penunggang amatur berusia antara 55 hingga 79 tahun dan membandingkannya dengan orang dewasa yang sihat dari kumpulan umur yang tidak bersenam secara berkala.

Penemuan menunjukkan bahawa para penunggang basikal memelihara jisim otot dan kekuatan dengan usia sambil mengekalkan tahap lemak serta kolesterol yang stabil.

Lebih menarik lagi, kesan anti-penuaan daripada aktiviti berbasikal turut menguatkan sistem imun.

Satu organ dikenali sebagai thymus yang menghasilkan sel-sel imun dipanggil sel T biasanya mula mengecut selepas usia 20 tahun tetapi organ berkenanan pada penunggang yang lebih tua didapati banyak menjana sel T seperti orang muda.

Pengarah Institut Keradangan dan Penuaan University of Birmingham, Profesor Janet Lord berkata, penemuan tersebut merupakan bukti kukuh yang dapat menggalakkan orang ramai untuk melakukan senaman secara teratur sepanjang hidup mereka untuk kekal sihat.

“Aktiviti berbasikal memberi banyak manfaat kepada kesihatan individu. Tubuh mereka dibenarkan untuk melewati usia dengan lebih optimum, bebas daripada penyakit yang biasanya disebabkan oleh masalah tidak aktif.

“Jika dikeluarkan aktiviti berbasikal itu daripada rutin harian mereka, tahap kesihatan mereka mungkin akan merosot,” jelasnya.

Penunggang basikal lelaki yang mengambil bahagian dalam kajian itu perlu berkayuh sejauh 100 kilometer di bawah 6.5 jam, manakala wanita pula sejauh 60 kilometer dalam masa 5.5 jam.

Kumpulan tidak bersenam terdiri daripada 75 orang yang sihat berusia antara 57 hingga 80 tahun, dan 55 orang dewasa muda berumur antara 20 hingga 36 tahun.

Penyelidikan tersebut dilaporkan dalam dua kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Aging Cell.

Monday 5 March 2018

KELEBIHAN SOLAT TAHAJUD MALAM


Kelebihan solat malam dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Apabila seseorang itu jaga daripada tidurnya pada malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya menunaikan dua rakaat solat, nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebutkan Allah." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dari Abu Said)

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya adalah sebaik-baik waktu untuk beribadat dan berhubungan dengan Allah. Waktu itu juga sesuai meningkatkan keimanan dengan bangun mendirikan solat serta bermohon kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan pada waktu malam bangkitlah solat tahajud sebagai solat tambahan bagi ibadahmu semoga Allah membangkitkanmu pada hari akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." (Surah al-Isra', ayat 79)

Waktu solat malam itu luas, ia boleh dikerjakan pada awal, pertengahan malam dan akhir malam selama solat itu dilakukan selepas Isyak.  

Menurut al-Hafiz, Rasulullah SAW tidak solat malam waktu tertentu, malah Baginda solat mengikut kesempatan dan keselesaan tetapi waktu afdal ialah pada tengah malam iaitu sepertiga malam.

Namun, seseorang tidak disuruh mengerjakan solat malam dengan memaksakan diri secara keterlaluan. Amalan sedikit tetapi tekun adalah lebih baik daripada banyak tetapi jarang dilakukan.

Nabi SAW menjamin orang yang mengerjakan solat malam, maka ia bakal memperoleh semangat dan kesegaran pada pagi harinya. Sebaliknya, barang siapa yang tidak berpeluang bangun dan solat malam, maka pada pagi hari ia bakal memiliki perasaan buruk dan malas.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila ia tidur dengan tiga ikatan. Syaitan mengikat setiap simpul ikatan atas kamu dengan mengucapkan: Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah".

"Apabila ia bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila ia berwuduk, terbukalah pula satu ikatan. Apabila ia solat, terbukalah satu ikatan. Maka pada pagi hari ia penuh semangat dan segar. Jika tidak, nescaya pagi hari perasaannya buruk dan malas." (Hadis riwayat Bukhari)

Pastikan diri tidak kesiangan solat Subuh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi kaum munafik adalah solat Isyak dan Subuh (berjemaah)."

"Andai mereka tahu apa manfaat di dalam kedua-duanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak." (Hadis riwayat Muslim)

Sunday 4 March 2018

KISAH SINGA MENJADI KIJANG

Pernah dengar tentang singa yang dikijangkan? Kisahnya bermula seekor anak singa tercicir dari jagaan ibunya. Lalu singa itu tinggal bersama kijang di hutan.

Dia dibesarkan bersama kijang-kijang lain. Mengikut apa sahaja yang dilakukan oleh kijang seperti berlari dengan cara kijang berlari, makan apa yang kijang makan dan berbunyi seperti bunyi kijang.

Selayaknya singa itu dipanggil kijang biarpun bentuk badan dan paras rupanya adalah singa.

Sehinggalah suatu hari, sang singa bertemu dengan sekumpulan singa di tepi tasik. Dia kagum melihat ketangkasan singa-singa tersebut.

“Waa!!!! hebatnya mereka berlari!!! Cara jalan mereka penuh dengan keberanian!!!”, fikir si singa itu.

Pada ketika itu, kawan-kawsan si singa, iaitu kijang lari bertempiaran melihatkan kedatangan kawanan singa tadi.

Si singa jadi keliru. Lalu dia ikut berlari. Setalah agak jauh dari kawanan singa, si singa itu berhenti di tepi tasik dan terpandang wajahnya sendiri di dalam air.

“Eh, kenapa rupa kawanan singa tu seperti diriku?” soal si singa di dalam hati.

Kawanan singa tadi mengejar kijang-kijang lain. Seekor demi seekor berlalu di tepi si singa tanpa mengganggunya...

“Hurm, tak kejar aku pun?” bisik hati si singa.

Dalam pada itu, salah seekor daripada kawanan singa tadi menghampiri si singa dan berlaku hubungan mesra. Si singa jadi lebih keliru.

Si singa telah terputus hubungan dengan kumpulan kijang yang menjadi sebahagian keluarganya. Lalu, si singa mengikut kawanan singa yang dirasakan seperti keluarganya biarpun baru kenal.

Kawanan singa itu mengajarnya cara hidup seperti singa selayaknya. Lalu, si singa berasa dirinya hebat seperti singa-singa lain dan terus hidup bersama kawanan singa sebagai singa.

Bermula dari itu, si singa baru sedar bahawa dirinya adalah singa dan bukannya kijang. Dia perlu menggunakan sepenuhnya kehebatan sebagai seekor singa dan bukannya kijang.

Pengajaran kisah itu ialah kita kena diri kita dan mempunyai kekuatan untuk menggunakan kelebihan yang ada pada diri. Jangan jadi mangsa perancangan pihak lain. Lepaskan diri dari kongkongan mengatakan diri lemah dan tidak mampu melakukan seperti orang lain.