Sunday 28 January 2018

HORMAT KASIH IBU


Penerapan amalan menghormati dan mengasihi ibu perlu disemai dan disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita memandangkan bilangan kes anak durhaka semakin meningkat.  

Ibu bapa mesti mendidik anak agar mengamalkan nilai-nilai baik sepanjang masa dalam semua perkara, termasuk urusan berkaitan dengan menghormati ibu bapa.

Kes perbuatan anak tidak menghormati ibu kini sudah melampau batasan yang membayangkan telah roboh nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan setiap anak terhadap ibunya. Banyak kes anak bukan lagi sekadar bertikam lidah, tetapi melarat sehingga sanggup mendera, memalu dan mencedera ibu. 

Apa yang dilakukan itu bukan saja tidak patut dilakukan terhadap ibu, bahkan juga kepada sesiapa saja. Kita perlu mengamalkan budi pekerti dan nilai-nilai murni dalam hubungan sesama insan tanpa mengira dengan siapa.

Fenomena sikap biadab terhadap ibu dan bapa serta golongan tua melambangkan keruntuhan akhlak yang semakin ketara berlaku di kalangan masyarakat yang mengamalkan cara hidup ala Barat yang bersandarkan kebebasan bersuara dan hak individu. 

Kita perlu sedar, diri sendiri lambat laun akan menjadi ibu atau bapa dan kemudian tua pada suatu hari nanti. Apa yang kita lakukan terhadap ibu akan turut sama diikuti anak kita terhadap diri kita nanti. Apakah kita suka anak kita nanti melakukan perbuatan biadab terhadap kita?

Dosa anak terhadap ibu bapa akan dipercepatkan balasannya di dunia ini lagi. Salah satu balasan ialah perbuatan yang pernah kita lakukan terhadap ibu bapa akan dilakukan semula oleh anak-anak terhadap kita nanti. 

Ketika itu, kita akan merasakan apa yang dirasakan ibu bapa kita sekarang akibat perbuatan yang kita lakukan. Jadi, untuk mengelak perkara itu, jadilah anak yang baik yang membahagiakan ibu bapa. 

Tuesday 23 January 2018

BANK KERAPU MEMORIAL PERANG DUNIA KEDUA

Bangunan Bank Kerapu terletak di sebelah Hilir Padang Merdeka atau Padang Bank. Nama Padang Bank dinamakan dengan nama ‘bank’ kerana terletak bersebelahan bank pertama yang beroperasi di Kelantan.

Nama Padang Bank ditukar kepada Padang Merdeka kerana ia menjadi lokasi sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Bagaimanapun, di kalangan generasi tua di Kelantan lebih mengenali sebagai Padang Bank sehingga sekarang.

Bangunan Bank Kerapu siap dan mula digunakan pada tahun 1912, sebagai bangunan operasi The Mercatile Bank of India Ltd. Bangunan tersebut adalah bangunan pertama menggunakan simen atau konkrit di Kota Bharu.

Masyarakat Kelantan menggelarkan bangunan ini sebagai Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini di simen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata.

Pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) bangunan Bank Kerapu telah digunakan sebagai pejabat kepada polis rahsia Jepun (Kempetai).

Di Bank Kerapu inilah dijadikan pejabat, lokap, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain keganasan tentera Jepun terhadap mereka yang disyaki menentang Jepun.

Bila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank. Tahun 1977 nama Bank tersebut bertukar kepada The Hongkong & Shanghai Banking Corporation.

Tahun 1981 bangunan ini dijadikan Balai Senilukis dan Kraftangan Kelantan. Kemudian, mulai tahun 1992 bangunan ini dijadikan sebagai Memorial Peperangan Dunia Ke II di Kelantan.

Saturday 20 January 2018

PASAR BAHARU SELISING

Pecah tanah tapak pasar baharu Selising telah disempurnakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohammed pada 201-01-2018.

Projek bernilai RM5 juta itu diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menggantikan pasar lama yang terbakar pada 18 Disember 2015.

Pembinaan pasar itu akan membolehkan 70 peniaga terjejas mempunyai tapak berniaga baharu yang selesa, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pasar baharu ini dijangka siap dibina dalam tempoh setahun.

Saturday 13 January 2018

KESAN BURUK MAKAN MEE SEGERA

Tahu tak kenapa mee segera boleh tahan lama dalam keadaan keras dan akan menjadi lembut apabila direndam dengan air panas?

Ini disebabkan oleh kandungan wax (lilin) dalam mee tersebut yang membolehkannya tahan lama. Wax mengambil masa lebih panjang untuk hadam sepenuhnya di dalam usus.

Tahukah anda, kandungan wax yang menyelaputi mee segera mengambil masa selama 4-5 hari untuk mencernanya.

Sebab itu tidak elok makan mee segera setiap hari. Wax yang terkumpul di dalam usus memberi kesan buruk kepada kesihatan usus, terutama menyebabkan kanser.

Jangan lupakan juga teknik memasak mee segera anda. Anda seharusnya membuang terlebih dahulu air yang menjadi rendaman mee segera sebelum memakannya. Cara ini depat mengurangkan kadar wax yang masuk ke dalam perut kita.

Kandungan berbahaya lain yang terdapat dalam mee segera ialah yang terdapat di dalam bahan perencah. Kadar MSG dan garam yang tinggi memberi pelbagai kesan negatif kepada kesihatan terutama terhadap fungsi buah pinggang.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa individu yang alah kepada MSG mengalami panas dada, perubahan warna wajah kepada sedikit merah atau sakit kepala yang melampau setelah mengambil produk yang mengandungi MSG yang tinggi.

Selain itu, kandungan dioxin dan plasticizers yang terkandung dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk atau cawan) juga dikatakan mampu mempertingkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna.

Bahan kimia yang terlarut dalam air panas akan menjadi bahaya sekiranya di makan dari mangkuk secara terus. 

Friday 5 January 2018

PEMIMPIN LIBERAL GADAI KEPENTINGAN AGAMA

Fahaman menuntut hak asasi manusia yang gah di barat kini menular di Malaysia. Malang sekali pihak menyokong fahaman liberal itu termasuk mereka yang mendakwa arif dalam agama Islam dan mengaku sebagai pemimpin Islam.

Serangan pemikiran terhadap pemimpin yang mengaku pemimpin Islam di Malaysia lebih bermatlamatkan politik. Mereka melakukan kerana atas kehendak pemimpin politik bukan dari kalangan orang Islam.

Hal itu tiada kerana lain, melainkan untuk mendapat sokongan di kalangan pengundi bukan Islam.

Benteng terakhir menghalang kerakusan pejuang fahaman menentut hak asasi manusia yang mengarut dan setaraf cara hidup haiwan ialah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Maka itu, sesuai dengan kedudukan itu, keputusan-keputusan kes yang dibawa ke mahkamah memberi kelebihan kepada hak umat Islam di Malaysia.

Antara yang diperjuangkan golongan menuntut hak asasi manusia ialah mengiktiraf perkahwinan sejenis dan amalan LGBT. Amalan itu bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, bahkan tiada agama lain yang mengakui itu sebahagian amalan agama mereka.

Sekarang ini kedudukan Islam dipertahankan dengan kukuh oleh Perlembagaan dan dasar pentadbiran negara. Kerajaan sedaya mungkin akan menjayakan Maqasid Syariah yang bermatlamatkan untuk mempertahankan agama, nyawa, harta, akal dan keturunan.

Setiap individu atau kelompok tidak boleh menuntut hak kebebasan secara mutlak mengikut selera dan pemikirannya sendiri. Ini kerana, hak yang dituntut itu berkemungkinan akan menjejas hak orang atau pihak lain.

Pengorbanan besar bangsa Melayu yang beragama Islam untuk menerima semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira agama, bangsa, asal dan keturunan jelas berlandaskan ajaran Islam yang menyemai prinsip kemanusiaan yang luhur dalam jiwa orang Islam.

Ini sudah tentu berbeza misalnya dengan penempatan kaum Yahudi Israel di bumi Palestin oleh penjajah British dan Amerika Syarikat. Kewujudan kaum Yahudi Zionis menjadi musibah bagi umat Islam yang merupakan penduduk asal Palestin.

Sungguhpun agama Islam dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan, setiap individu berhak menganuti dan mengamal agamanya, sebagaimana diperuntuk dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tragedi umat Islam Palestin diusir dan dijajah zionis Yahudi harus diambil pengajaran demi kesejahteraan generasi akan datang.

Thursday 4 January 2018

KEDUDUKAN ISLAM TERBELA DI MALAYSIA

Perlembagan Persekutuan yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Maka itu, sesuai dengan kedudukan itu, keputusan-keputusan kes yang dibawa ke mahkamah memberi kelebihan kepada hak umat Islam di Malaysia.

Perjuangan menegakkan kebenaran dan kedaulatan agama Islam di negara ini ternyata mendepani cabaran getir serta ujian atau liku-likunya yang tersendiri.

Sebelum itu, disebabkan kegagalan menghayati kedudukan sebenar agama Islam menurut Perlembagaan, telah mendorong berlakunya kesilapan, hatta oleh seorang hakim sendiri.

Maka tercetuslah keputusan yang salah sehingga membangkitkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Sebagai contoh dalam kes kalimah Allah, hakim pada peringkat Mahkamah Tinggi, telah melakukan kesilapan memetik Islam hanya sekadar agama rasmi dan lebih rendah daripada hak kebebasan beragama, namun ia dibetulkan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan seterusnya pula mengesahkan dan meneguhkan keputusan Mahkamah Rayuan serta berjaya mengekang usaha untuk mencemarkan kesucian nama Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa berteraskan prinsip ajaran tauhid.

Berdasarkan peruntukan ini, jelas kebebasan beragama merupakan elemen-elemen hak asasi yang dijamin dan dilindungi di negara ini.

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa kebebasan beragama sebagaimana diperuntukkan di bawah peruntukan tersebut tidak boleh ditafsir dengan begitu luas.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk menunaikan sumpah yang dilafazkan oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nama suci Allah untuk memelihara kedaulatan agama Islam sebagai agama negara pada setiap masa.

Dalam hubungan ini, amatlah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk melemparkan tohmahan liar terhadap institusi-institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) sebagai badan yang tidak berperlembagaan dan merupakan kelompok radikal yang memperjuangkan radikalisme.

Hakikatnya mereka yang tergamak membuat tohmahan sebegini merupakan kelompok radikal Islam yang wajib dipantau oleh pihak keselamatan.

Hal ini disebabkan mereka mempromosikan perasaan tidak setia kepada Raja dan Negara malah ada yang merancang untuk menghapuskan “Raja dan Agama” di negara ini.

Secara tuntasnya, kerajaan Malaysia secara berpelembagaan menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan memberi hak-hak yang sewajarnya atas kedudukan itu.