Monday 30 July 2018

ORANG MEMBUAT FITNAH MELAKUKAN ADU DOMBA

Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada rekaan, persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti.

Rasulullah SAW bersabda: ”Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka.” (Hadis riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan.

Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar. Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.

Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, "Dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh." (Surah al-Baqarah, ayat 191).

Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. 

Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza.

Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim.

Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu.  Firman allah bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?" (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Rakyat Malaysia perlu menghentikan penyebaran berita palsu, berbaur fitnah dan berbentuk hasutan demi menjaga keharmonian negara. Fitnah siber menerusi penularan berita palsu adalah lebih bahaya. Rakyat perlu mempunyai sifat tabayyun, menyelidik dahulu sesuatu berita sebelum menyebarkan.

Tabayyun merupakan salah satu akhlak mulia dan salah satu prinsip penting dalam menjaga kemurnian agama Islam dan keharmonian dalam sesebuah negara.

Fahami fiqh tabayyun
- Tidak terburu-buru sebar berita, maklumat.
- Tangguh sehingga pasti kesahihannya.
- Tidak sebar berita negatif, umpatan, gosip.
- Tidak turuti perkara yang tiada pengetahuan.
- Percaya, beramal dengan apa yang diyakini, difahami.
- Tidak sebar berita daripada pihak yang dikenali kerap berbohong.
- Tidak sebar berita mengaibkan, memburukkan, menghina sesetengah pihak.
- Mengadakan pertemuan secara langsung dengan pembawa berita.
- Bertanya langsung kepada pihak pelaku utama.
- Mendengar dengan saksama maklumat kedua-dua belah pihak.
- Melakukan penyelidikan berdasarkan pengamatan peristiwa yang berlaku.
- Merujuk pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian.
- Ingat malaikat sentiasa mencatat setiap amalan baik dan buruk dilakukan.

LAKUKAN AMALAN UCAP TERIMA KASIH

Ucapan terima kasih adalah sebagai tanda kita ingin menghargai seseorang atas kebaikan yang dilakukan ke atas diri kita dan orang lain. Jika kita pandai menghargai seseorang dengan ucapan terima kasih maka orang lain juga akan lebih selesa dengan kita. 

Perhubungan kita dengan seseorang akan menjadi lebih rapat lagi. Sifat suka berterima kasih juga adalah sifat yang terpuji dan disukai oleh orang lain.

Kenapa perlu berterima kasih dalam hidup ini? Ucapan terima kasih adalah sebagai menghargai jasa dan budi baik seseorang ke atas diri anda. Jika kita tidak pandai untuk berterima kasih kepada orang lain maka orang lain akan menganggap kita seorang yang tidak tahu menghargai budi baik yang telah diberikan. Mungkin seseorang itu akan terasa hati dengan diri kita. 

Jadi, ucaplah terima kasih atas setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang kepada diri kita ini. Mudah-mudahan kita akan memperoleh banyak kebaikan dari lagi pada masa akan datang.

Sebagai seorang muslim ucapan terima kasih adalah satu perbuatan yang sungguh mulia. Tidak susah pun nak ucapkan terima kasih ni kepada orang lain. Mungkin anda tidak mampu untuk membalas balik atas kebaikan yang orang lakukan terhadap anda. 

Dengan ucapan terima kasih adalah sudah mencukupi sebagai tanda kita menghargainya. Perbuatan  berterima kasih ini adalah sungguh mulia sekali.

Ucapan terima kasih merupakan adab baik dari si penerima. Bagi si pemberi pula ucapan itu merupakan buah ekstra dari infaknya. Ketika dia memberi, niatnya kerana Allah, maka pelbagai balasan sudah menunggunya. Maka, ucapan terima kasih itu, hanyalah balasan pembuka.

Namun, jika si penerima tidak mengucapkan terima kasih, pihak pemberi tak perlu marah, masam muka dan berkecil hati. Sebab, balasan baik yang akan diterimanya dari Allah tidak akan berkurang sedikitpun, meskipun si penerima enggan berterima kasih. 

Bahkan, kita perlu waspada dengan hati kita, jangan sampai keikhlasan kita menjadi cacat, disebabkan harapan kita ketika memberi adalah mengharap akan mendapatkan ucapan terima kasih semata.

Terlihat ucapan terima kasih ini sederhana, namun hakikatnya dia adalah besar dari kaca mata agama. Nabi SAW menyatakan, "Siapa yang tidak bersyukur kepada manusia, maka sesungguhnya dia tidak bersyukur kepada Allah."

Ia dapat memelihara hubungan baik anda dengan sahabat anda. Jika anda mempunyai seorang sahabat yang banyak menolong anda dalam banyak perkara dalam hidup anda, maka anda perlulah selalu mengucapkan terima kasih kepadanya. 

Ini dapat mengekalkan hubungan baik persahabatan anda dengan sahabat anda sampai bila-bila pun. Ia juga dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara kita dan juga sahabat.

Jadi jangan malas untuk mengucapkan terima kasih, meskipun sekecil zarrah nikmat atau khidmat yang kita terima. Ini adalah adab yang diajarkan Baginda SAW. Jangan lupa juga membiasakan anak kita dengan perkara ini.

Lakukanlah ucapan terima kasih itu dengan hati yang ikhlas, jangan pula anda rasa terpaksa untuk lakukannya. Jika anda mengucapkan ucapan terima kasih itu dari hati yang ikhlas, ia juga akan memberi kebahagiaan kepada diri anda juga. 

Tanpa rasa ikhlas ini, ucapan terima kasih anda tidak membawa sebarang makna kepada diri anda dan juga orang lain. Orang lain pun akan nampak pada diri anda jika anda terpaksa untuk mengucapkan ucapan terima kasih.

Sunday 29 July 2018

AKIBAT MENJAJA KEBURUKAN ORANG LAIN

Seperti tidak menjadi satu dosa, adakala kita suka menjaja keburukan orang lain. Apa yang menghairankan, keburukan diri sendiri tidak dilihat tetapi lebih mudah melihat keburukan orang lain. 
 
Media sosial yang sepatutnya memberi kebaikan untuk kita saling bertanya khabar dan berkirim salam, sudah menjadi kawah menghimpunkan dosa.
 
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri agar dapat memperbaiki kelemahan. Memburukkan atau mengaibkan orang lain sebenarnya memberi isyarat diri kita yang tidak betul. 
 
Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu kepada orang itu tetapi empat jari lagi menunding diri sendiri. Ini bermakna bukan orang itu yang buruk tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Perangkap syaitan yang menggunakan pelbagai cara untuk menghumbankan kita ke dalam api neraka sewajarnya dapat dijadikan iktibar. Usah terpedaya dengan tipu daya hingga tergamak menjaja keburukan dan membuka keaiban orang.

Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana dosa mengumpat itu lebih besar bahayanya daripada zina. Sesungguhnya seseorang lelaki itu terkadang dia berzina lalu bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang mengumpat itu tidak diampuni baginya sehingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya.

Zina adalah dosa seorang manusia itu dengan Allah SWT dan terampun dengan bertaubat (melainkan zina yang dilakukan dengan isteri orang, maka perlu dimaafkan oleh si-suami).

Mengumpat juga adalah satu dosa besar tetapi hanya orang yang diumpat sahaja boleh memaafkan dosa mengumpat itu. Kesan daripada perbuatan mengumpat adalah sangat buruk.

Firman Allah: “Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujraat, ayat 12)

Pada zaman Rasulullah SAW, dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke pengetahuan Nabi, lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh mereka muntah ke dalamnya. 

Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke dalam mangkuk, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. 
 
Para sahabat terperanjat besar, lalu sabda Rasulullah: “Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa sedang berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah.”

Saturday 21 July 2018

KEBIJAKSANAAN SUAMI ATASI KRISIS RUMAHTANGGA

Kebijaksanaan dan kepekaan suami dalam memimpin amat penting bagi mengatasi sebarang krisis yang sering berlaku dalam kehidupan rumahtangga agar ia tidak berlarutan sehingga menyebabkan kepada keruntuhan rumahtangga.

Didapati banyak rumahtangga berakhir dengan perceraian disebabkan kegagalan suami mentadbir rumahtangga, khususnya kurang kepekaan mengatasi punca berlakunya keretakan. Punca keruntuhan rumahtangga banyak berpunca daripada masalah kecil yang kemudiannya merebak disebabkan tidak diatasi segera.

Justeru, suami isteri perlu melihat sebarang bibit krisis sebagai penting ditangani segera. Islam menetapkan garis panduan agar mendapat keadilan bagi kedua-dua pihak. Sesungguhnya jalan penyelesaian bukan dengan mencari salah siapa, tetapi bagaimana untuk ia diatasi dan rumahtangga terus kekal.

Suami sebagai ketua keluarga mempunyai tanggungjawab lebih berat bagi memastikan kebahagiaan rumahtangga. Keistimewaan diberikan kepada lelaki sebenarnya adalah satu amanah bedasarkan kepada beberapa ciri kejadian lelaki dan tugas yang dilebihkan berbanding perempuan.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kaum perempuan oleh kerana Allah melebihkan kaum lain-lain dengan beberapa keistimewaan di atas kaum perempuan dan kaum lelaki membelanjakan sebahagian daripada hartanya.”

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab mengawasi dan menentukan perjalanan hidup rumahtangga berjalan dengan sempurna. Kegagalan rumahtangga bermakna kegagalan suami, biarpun apa punca masalahnya.

Asas kebahagiaan rumahtangga bermula ketika proses memilih pasangan. Islam menganjurkan agar memilih pasangan salih dan mempunyai peribadi yang mulia agar pembentukan rumahtangga bahagia dapat dinikmati sehingga ke akhir hayat. 

Sikap memilih pasangan berdasarkan kepada kecantikan, harta, keturunan dan pangkat, tanpa melihat kepada agama dan akhlaknya merupakan punca kegagalan hidup berkeluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan apabila engkau melihatnya, mematuhi perintah engkau, mematuhi janji dan menjaga maruah dan harta ketika ketiadaan engkau.” (Hadis riwayat Nasai).

Sesudah mendirikan rumahtangga, tiada pilihan lagi bagi suami maupun isteri, melainkan meneruskan kehidupan berkeluarga, biarpun disedari telah tersalah membuat pilihan pasangan. Kesilapan boleh diperbaiki jika telah disedari dan berusaha mengatasi kesilapan itu.

Sekiranya suami bijak mengendalikan masalah yang timbul, ia dapat diatasi dengan segera. Sikap suami sengaja menyalahkan isteri jika kehidupan keluarga tidak bahagia perlu diperbetulkan. Sikap tersebut mendedahkan kelemahan suami sendiri sebagai pemimpin rumahtangga. Kegagalan rumahtangga banyak bergantung kepada kelemahan suami, biarpun persengketaan bermula daripada sikap isteri.

Biasanya isteri tidak sempat bertindak keterlaluan jika suami berjaya meredakan apa jua masalah yang timbul. Suami perlu berkorban apa saja demi untuk memastikan masalah yang timbul dapat diatasi segera.

Bagaimanapun, pengorbanan dan sikap tolak ansur suami tidak seharusnya ke tahap dipandang dayus sehingga sanggup mengikut telunjuk isteri.

Dalam banyak situasi, keegoan suami sering menyebabkan isteri memendam rasa tidak merasakan dirinya juga berhak bersuara. Teguran dan suara isteri tidak diendahkan oleh suami yang merasakan sebagai ketua keluarga berhak melakukan apa saja yang diingini. Keadaan ini boleh menyebabkan isteri memberontak dan membawa kepada keadaan tidak boleh dikawal lagi.

Isteri sebenarnya mempunyai hak untuk bersuara memberikan pendapat atau meminta apa-apa yang layak baginya sebagai seorang isteri sepertimana ditetapkan oleh syarak. Suami tidak boleh bersifat autokratik atau ingin menggunakan kuasa sepenuhnya.

Rumahtangga diumpamakan seperti sebuah negara yang perlu ditadbir secara musyawarah. Segala perkara berkaitan keluarga dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga, terutamanya isteri yang menjadi pembantu.

Sebenarnya amalan bermusyawarah yang dilakukan bukan tanda kelemahan suami, sebaliknya tanda kematangan suami dalam pengurusan keluarga. Isteri akan lebih menghormati suami yang menunjukkan tanda hormat dan mengasihinya.

Sekiranya dalam musyawarah yang diadakan, punca masalah dalam keluarga datangnya daripada suami, maka mestilah suami bersedia mengakui kesalahan itu. Banyak berlaku suami tidak sanggup mengaku kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya menyalahkan isteri sengaja mencari kesalahan itu.

Tidak jatuh maruah suami jika mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Itulah jalan sebaik-baiknya untuk mengekalkan kebahagiaan hidup berkeluarga. Mengaku kesalahan bertujuan untuk diambil tindakan memperbetulkannya.

Wednesday 18 July 2018

Kopi campuran cap Gantang

Kopi Cap Gantang menjadi pilihan penggemar kopi di Kedah, terutama sekitar daerah Baling. Kilang memproses Kopi Cap Gantang terletak di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Baling, Kedah. 

Pengeluar Kopi Cap Gantang kini menjadi antara pengeluar kopi terkenal yang mendapat permintaan ramai dari seluruh Malaysia, terutama apabila dipasarkan melalui internet.

Ini catatan di FB salah seorang penggemar Kopi Cap Gantang: Akhirnya, stok Kopi Gantang selamat mendarat. Siapa yang pernah minum kopi ni, dah tak nak kopi lain. 
 
"Terima Kasih Cikpuan Mimie Khariani Ramli sudi berikan stok kopi ni dan tahu sangat kegemaran your sis ni..Terharu..... Allahu...nun jauh di bawa perjalanan dari Kedah. Semoga Allah murahkan rezeki Mimie sokmo-sokmo. Aamiin. 

Kopi Cap Gantang mempunyai aroma keharuman tersendiri dan kelazatan yang boleh menyegarkan tekak dan pernafasan serta amat baik untuk kesihatan. 

Jenama kopi Cap Gantang diusahakan Mohamed Hassan Mohamed Rawter, anak kelahiran Kampung Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah.

Sunday 15 July 2018

IBADAT KORBAN SEBAGAI SYIAR ISLAM

Tujuan ibadat korban sebagai mematuhi perintah Allah. Pensyariatan ibadat korban berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lain) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang ternak yang disembelih itu." (Surah al-Hajj: 34)

Dalam ayat sebelumnya disebut bahawa ibadat korban adalah satu 'syiar' atau lambang agama Allah iaitu maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat takwa hati orang mukmin." (Surah al-Hajj: 32)

Syiar agama Allah atau syiar Islam,ialah amal ibadat yang zahir dan benda yang berhubung dengan agama yang melambangkan agama Allah. Misalnya, ibadat haji ialah bertawaf, bersaei dan berwukuf di Arafah. Begitu juga binatang ternak yang dijadikan korban atau yang dijadikan hadiah kepada fakir miskin.

Ibadat korban terbahagi kepada dua iaitu korban nazar dan korban sunat. Yang pertama disebut wajib disedekahkan seluruhnya, manakala kedua dilakukan sama ada semua daging korban itu disedekahkan kepada fakir dan miskin serta orang yang berkorban boleh mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripada korban itu atau daging korban itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban.

Hukum ini berdasarkan kepada ayat bermaksud: "Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 28)

Dan juga ayat yang bermaksud: "Maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta." (Surah al-Hajj: 36)

Semangat pengagihan daging korban inilah yang mesti kita pupuk dan semai di kalangan umat Islam. Dalam ibadat korban, ada jalinan kasih dan persaudaraan yang tidak ternilai harganya di antara umat Islam yang dipersiapkan Allah Taala. Betapa tidak, kita melihat dalam ibadat korban ada orang mampu menyembelih haiwan korban yang diagihkan kepada golongan tertentu dalam masyarakat. Bukankah ia akan mempererat lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka?

Ibadat korban disunatkan Rasulullah sebagai latihan dan ujian bagi kaum Muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan Allah untuk dirasai golongan fakir miskin, sekali gus memanifestasikan syiar Islam itu.

Antara hikmah dan nilai murni pensyariatan korban adalah untuk melatih dan membentuk sahsiah peribadi umat Islam supaya sentiasa bersedia berkorban dengan sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.

Ia juga sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah, at-taqarrub seperti yang kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu: "Sesungguhnya solatku, hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.

Wednesday 11 July 2018

Cegah perbuatan vandalisme

Banyak kes vandalisme dilakukan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan awam yang disediakan untuk kepentingan umum. Perbuatan itu biasanya dilakukan golongan pelajar dan remaja yang mencari kepuasan dan keseronakan melalui perbuatan vandalisme. 

Kerosakan atau hilang fungsi kemudahan awam menyebabkan banyak pihak menanggung kerugian, bahkan mendatangkan bahaya. Perbuatan itu perlu dihentikan segera sebelum merebak menjadi satu budaya yang merugikan semua pihak.

Negara berusaha melahirkan modal insan yang menyumbang tenaga ke arah memajukan negara, bukannya mendatangkan beban kepada negara.   

Usaha mendidik rakyat menghargai setiap kemudahan yang disediakan perlu ditingkatkan selari dengan kejayaan negara menyediaan infrastruktur kelas pertama.

Dari segi fizikal, negara telah berjaya menyediakan infrastruktur kelas pertama, tetapi sayangnya mentaliti rakyat tidak selari dengan pencapaian itu.

Amat merugikan infrastruktur kelas pertama yang disediakan dimusnahkan oleh vandalisme. Golongan yang hanya layak dikatakan mempunyai mentaliti kelas ketiga tidak dapat menghargai infrastruktur kelas pertama.

Usaha pencegahan dan pengawasan yang mapan dan konsisten terhadap kemudahan yang disediakan akan menyelamatkan rakyat daripada berhadapan dengan pelbagai implikasi negatif yang mungkin timbul akibat perbuatan vandalisme. 

Kaedah menanganinya perlu diperbaiki dengan memastikan undang-undang dan peraturan yang ketat dilaksanakan supaya kejadian seperti ini tidak berlaku.

Di negara lain, individu yang terlibat merosakkan kemudahan awam dikenakan hukuman tegas. Mereka tidak terlepas dikenakan hukuman dan tidak berpeluang mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Sikap rakyat yang tidak ambil peduli tentang perkara itu menyebabkan perbuatan vandalisme berleluasa. Masyarakat hanya menunjukkan sikap ‘marah’ jika ia berkaitan kepentingan diri sendiri sahaja. 

Perubahan minda rakyat kepada mentaliti kelas pertama menjadi asas penting dalam usaha mengelak kemudahan awam menjadi mangsa vandalisme.

Monday 9 July 2018

BATAS HUBUNGAN SEMASA BERTUNANG

Ikatan pertunangan bukan kebenaran membolehkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Lelaki dan perempuan yang telah bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti mana hubungan bukan muhrim.

Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang telah menjadi bertunang agar tidak bergaul bebas dengan tunangnya. Alasan bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna semuanya sudah boleh dilakukan sepertimana pasangan yang telah berkahwin.

Ramai ibu bapa dan anak muda tidak memahami hukum dan falsafah pensyariatan pertunangan. Mereka beranggapan menerusi majlis pertunangan mereka sudah halal untuk berpegangan tangan, berdua-duaan, bergesel-geselan. Semua itu haram selagi tidak berlaku akad pernikahan.

Perlu ditegaskan, hubungan pertunangan masih belum boleh menghalalkan pergaulan antara pasangan. Mereka hanya terikat dengan hukum perjanjian untuk melangsungkan pernikahan yang mungkin berlaku atau sebaliknya.

Batasan syariat bagi pasangan yang dalam tempoh pertunangan antaranya, tidak mendedahkan aurat kepada pasangan atau ibu bapa pasangan kerana masih belum tergolong dalam kalangan mahram.

Tidak boleh berdua-duaan antara pasangan atau antara ibu bapa (berlainan jantina) di tempat sunyi dan mencurigakan kerana hukum mereka sama seperti orang luar yang tiada hubungan kekeluargaan.

Tidak terikat dengan sebarang hak yang boleh dinikmati oleh pasangan suami isteri. Wajib menjaga tingkah laku, adab dan syariat ketika mereka bersua untuk berbicara dan saling kenal mengenali. Tidak berhias melampaui batas sehingga mengalahkan pasangan yang telah berkahwin.

Ikatan pertunangan hanya satu perjanjian di antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada masa akan datang. Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bebas bergaul dengan tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh anaknya.

Sekiranya dirasakan ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas, maka pihak ibu bapa perlu memikirkan agar perkahwinan disegerakan. Tindakan tersebut dapat mengelakkan daripada berlaku keterlanjuran.

Tambahan pula semasa tempoh pertunangan yang lama sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan pertunangan. Banyak cabaran dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh pasangan bertunang. 

Sering kali terdapat pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan fitnah dan usaha memutuskan pertunangan itu. Perbuatan tersebut dilakukan oleh mereka yang berdengki melihat pasangan yang bakal berkahwin dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga kemudiannya. 

Maka, wajarlah perkahwinan disegerakan. Lebih awal berkahwin, lebih cepat merasai dan mendapat apa yang diharapkan melalui perkahwinan. Kebahagiaan hidup berkeluarga merupakan sebahagian daripada nikmat-nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan perempuan.

Berkahwin awal antara lain berpeluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat merupakan anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan berkahwin perlu menyimpan hasrat ingin mandapat zuriat yang banyak.

Zuriat menyediakan rezeki yang lebih luas dan kehidupan yang lebih bahagia. Hubungan tali pertunangan bukan satu cara untuk menghalalkan sesuatu yang asalnya haram. 
 
Satu-satunya akad yang mampu menghalalkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan adalah akad perkahwinan.

Saturday 7 July 2018

UCAPAN SALAM BUKAN ADAT TETAPI IBADAT

Perkara perlu diamalkan ialah mengucapkan salam dan menjawab salam. Amalan itu mempunyai banyak kebaikan jika diamalkan dalam kehidupan seharian. Pada asasnya ucapan salam sama tujuannya dengan ucapan sapaan seperti helo, hai, apa khabar dan selamat pagi. Bagaimanapun, pada hakikatnya salam tidak boleh disamakan dengan mana-mana perkataan sapaan lain yang sekadar satu ucapan biasa. Berlainan dengan ucapan salam yang  mempunyai kelebihan jika diamalkan kerana ia ucapan yang berdasarkan kepada kehendak agama. 

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)

Hadis itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan Muslim lain. Malah dalam hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan dengan salam. Maka sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam dan menjawab salam kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali betapa pentingnya ucapan salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.

Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan memberi salam.”

Seperti amalan lain yang dituntut, maka memberi salam ada hukumnya. Memberi salam hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang amat dituntut dilakukan di mana pahalanya lebih besar daripada sunat-sunat lain.   

Jika memberi salam hukumnya sunat muakkad, tetapi menjawab salam adalah wajib bagi sesiapa yang mendengar salam itu sama ada suka atau tidak kepada orang mengucapkan salam itu. Bagaimanapun, dalam kumpulan ramai, memadai salam itu dijawab oleh seorang yang  mewakili kumpulan itu. Pun jika semua yang ada itu menjawabnya, maka itu adalah lebih baik. 

Diperhatikan ucapan salam tidak meluas di kalangan masyarakat Islam di negara kita, kecuali dalam urusan rasmi. Apabila menemui seseorang yang ingin dihormati saja ucapan salam ditujukan itiu kebiasannya orang bawahan memberi salam kepada orang atasan. 

Malah ada orang sukar melafazkan ucapan salam kerana segan. Mereka takut dipanggil alim, sedangkan keadaan dirinya sebenar adalah sebaliknya. Maka ucapan yang lebih kerap digunakan ialah helo, hai dan sebagainya. Perbuatan itu membuktikan sifat malu tidak bertempat.

Tidak kurang juga tidak mahu memulakan salam kerana merasakan kedudukannya lebih tinggi. Ucapan salam diharapkan ditujukan kepadanya, tetapi tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain. 

Mengucapkan salam tidak dihadkan bilangan. Boleh diucapkan salam kepada orang sama setiap kali bertemu dalam selang masa yang singkat. Tetapi jangan pula keterlaluan sehingga menimbulkan perkara tidak disenangi. Islam lebih suka amalan dilakukan berterusan biarpun sedikit daripada melakukan banyak tetapi dalam tempoh singkat.    

Untuk membiasakan ucapan salam, mulakan dulu di kalangan keluarga dan sahabat terdekat. Memberi salam sebelum memasuki rumah adalah salah satu cara mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam rumahtangga.

Amalan ini pernah disuruh oleh Allah agar dilakukan oleh Anas seperti mana diriwayatkan Baihaqi. Sabda Rasulullah bermaksud: “Hai Anas! Ratakanlah wududmu nescaya bertambah umurmu. Berilah salam kepada orang yang engkau temui daripada umatku nescaya bertambahlah kebajikanmu. Dan apabila engkau masuk ke rumahmu, maka berikanlah salam kepada keluargamu nescaya banyaklah kebajikan rumahtangga.”

Monday 2 July 2018

MASUK ISLAM BUKAN JADI MELAYU

Bukan Islam yang memeluk Islam di Malaysia tidak bermaksud masuk Melayu. Islam adalah agama, sedangkan Melayu adalah bangsa. Bangsa mengikut keturunan yang tidak boleh bertukar atau ditukarkan selama-lamanya. Sedangkan agama adalah akidah yang boleh bertukar.

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber­agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.

Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.

Pengertian salah mengaitkan masuk Islam itu sebagai masuk Melayu menjadi halangan bukan Islam untuk memeluk Islam di negara kita, terutama melibatkan kaum Cina.

Kaum Cina mementingkan kaum atau bangsa berbanding agama anutan. Itu sekurang-kurangnya realiti yang dapat kita katakan berkaitan Cina di Malaysia. Kaum Cina biarpun berada dalam parti yang berbeza, namun mereka masih boleh bekerjasama dalam soal kepentingan kaum Cina.

Begitu juga dapat kita perhatikan dalam keluarga Cina terdapat ahli keluarga yang berlainan agama, khususnya Buddha dan Kristian, selain agama Tao atau agama nenek moyang. Ibu bapa seperti tidak kisah anak menukar agama kepada Buddha dan Kristian, tetapi ‘pantang’ ada anak memeluk Islam. Hal ini kerana mereka menganggap memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu.

Pada mereka, masuk Melayu bermakna seluruh ‘sistem’ hidup terpaksa bertukar kepada Melayu selain kepercayaan berkaitan Islam. Jadi, mereka akan merasa terpisah secara sepenuhnya jika ada ahli keluarga memeluk Islam.  

Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.

Melayu layak menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.

Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Maka itu, berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan, amat penting Melayu memperjuangkan kedudukan Melayunya. Dalam konteks penilaian sekarang, Melayu mesti Islam. Kalau setakat tidak fasih berbahasa Melayu tidak ada siapa hendak mempertikaikan sama ada dia Melayu atau tidak.

Pun begitu, Islam tidak sekadar pada nama Melayu. Islam bukan setakat pada pengakuan bahawa dia adalah Islam. Islam mesti dibuktikan dengan amalan.  Inilah yang menjadi persoalan adakah orang Melayu sekarang ini Islam?

Perkara ini dibangkitkan kerana banyak orang Melayu sekarang ini hanya Islam pada nama. Sedangkan cara hidup dan amalan yang dilakukan seharian jauh daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. 

Maka itu, dalam kita mencari kebenaran bahawa Melayu itu Islam, perlu juga kita melihat kepada perlaksanaan peraturan atau cara hidup yang berkaitan dengan penganut agama Islam. Kita tidak mahu Islam hanya pada nama sahaja.

Wednesday 20 June 2018

AMBIL PENGAJARAN CARA HIDUP RAKYAT NEGARA MAJU

Perbezaan negara kaya dan miskin tidak terletak pada adanya sumber asli. Ada negara miskin sumber, namun mampu menjadi negara kaya dan produktif. Sebaliknya ada negara kaya sumber asli, namun terpaksa bergantung kepada negara lain untuk membangunkan dan keadaan negara yang tidak selamat disebabkan perperangan berebut kekayaan.

Jepun wilayah yang terhad. Kira-kira 80% kawasan negara Jepun adalah pergunungan. Aktiviti pertanian di negara Jepun agak terhad kerana kawasan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Dalam keterbatasan sumber, Jepun berjaya menjadi kuasa ekonomi dunia kedua terbesar. Negara Jepun umpama kilang terapung mengimpot bahan mentah dari serata dunia dan mengekspot kembali hasil perkilangan sebagai sumber pendapatan utama negara.

Di negara Switzerland tidak ada kawasan tanaman koko. Namun, hebatnya Switzerland menjadi pengeluar coklat terbaik dunia. Dalam wilayah kecil negara Switzerland, kawasan tanah pertanian dan penternakan hanya mampu dikerjakan selama empat bulan sahaja setahun. Selebihnya negara tersebut diliputi salji atau cuaca yang tidak sesuai untuk pertanian. Namun, hebatnya Switzerland mampu mengeluarkan produk tenusu yang paling bagus. Switzerland sebuah negara kecil mempunyai imej keselamatan tertinggi hingga menjadikannya bank di negara tersebut paling diyakini penduduk seluruh dunia.

Jika diteliti dan dikaji, kejayaan kedua-dua negara tersebut bergantung kepada nilai tinggi prinsip hidup rakyatnya. Warganegara di negara tersebut menjunjung tinggi prinsip hidup masyarakat tamadun.

Prinsip atau rukun hidup yang diamalkan adalah:
- Etika sebagai prinsip asas.
- Berintegriti.
- Bertanggungjawab.
- Hormat pada undang-undang dan peraturan.
- Hormat kepada hak majoriti rakyat.
- Cinta pada pekerjaan/bekerja.
- Berusaha untuk menyimpan dan melabur.
- Ada kesanggupan untuk bekerja dan menjadi produktif.
- Menepati masa.

Segala asas dan prinsip itu sebenarnya menepati apa yang diajar oleh Islam. Namun, di kalangan umat Islam sendiri tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh ajaran Islam.

Negara umat Islam sebenarnya kaya dengan sumber minyak dan sumber-sumber lain. Negara Islam berpotensi maju dan mengawal ekonomi dunia. Namun, sikap tidak mematuhi tuntutan agama, peluang yang tersedia tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malangnya, umat Islam menjadi umat termundur dan miskin.

Sunday 10 June 2018

MENGAPA WANITA ISLAM DIHARAM SERTAI RATU CANTIK

 
Terdapat fatwa di Malaysia mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik. Fatwa melarang orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah dibuat oleh pihak berkuasa mengeluarkan fatwa.  
 
Antara fatwa tersebut seperti diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang menjelaskan menyertai pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu haram dan berdosa.
 
Lanjutan itu, sesiapa yang menentang atau melanggar fatwa tersebut melalui kenyataan atau perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Manakala, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Dengan kata lain, fatwa mengenai haram menyertai ratu cantik memang telah lama dikeluarkan. Berdasarkan itu, sesiapa melanggar fatwa boleh didakwa melalui peruntukan yang telah ditetapkan. 

Namun begitu, setakat ini di Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan gadis Islam menyertai pertandingan sedemikian. Untuk memberi satu status undang-undang secara jelas, dicadangkan agar satu peruntukan seksyen berkaitan kesalahan menyertai pertandingan ratu cantik sebagai satu kesalahan jenayah syariah. 

Peruntukan sebagai satu kesalahan jenayah syariah diharapkan dapat mengelak polimik mengenai kedudukan dan kesalahan berkaitannya. Sebelum ini terdapat pihak membuat provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik kepada orang Islam.

Mereka mempertikaikan kedudukan institusi fatwa dari sudut perundangan.  Mereka mempersoalkan bagaimana fatwa boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.

Tindakan pihak berkenaan ternyata tidak merujuk kepada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah tidak timbul dakwaan wujudnya diskriminasi dalam fatwa atau hukum yang dikeluarkan sama ada berasaskan gender, double standard atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak tentang hukum itu.

Dalam membicarakan hukum-hakam Islam, semua pihak, perlu ingat bahawa tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya.

Jika orang Islam dilarang dari berjudi, tidak dibenarkan membeli loteri, masuk tempat perjudian dan boleh dihadapkan ke mahkamah syariah, maka fatwa melarang wanita Islam mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik perlu diperundangkan supaya tindakan boleh diambil terhadap peserta dan penganjur.

Haram tetap haram, tanggungjawab menjaga maruah agama Islam itu terletak di atas bahu setiap umatnya, jika sudah terang ia bertentangan dengan hukum agama mengapa perlu bangga melakukannya. Walaupun pilihan itu adalah hak individu, ia ada kaitan dengan maruah individu, masyarakat dan agama Islam itu sendiri.

Isu wanita muslim dilarang menyertai pertandingan ratu cantik memang jelas dilarang oleh Islam. Sebagai seorang yang beragama Islam, menjadi kewajipan mereka mematuhi hukum Allah atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perlakuan yang bersalahan dengan hukum ditetapkan secara qati'e dalam al-Quran dan hadis.

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".

Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun.

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain.

Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum.

Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.

Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak?

Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.

Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya.

Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya

Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.
 
Gambar: Pemandangan di Pulau Beluru. Sekadar hiasan. 

Thursday 7 June 2018

PENIAGA MERCUN MELAKU DOSA

Bunyi mercun dan bunga api semakin banyak meletup di sana sini pada setiap malam menjelang sambutan Aidlfitri dan sambutan Syawal. Biarpun pihak berkuasa melipatgandakan usaha mencegah penyeludupan, namun masih banyak terdapat mercun dijual kepada orang ramai.

Penjual mendapat bekalan mercun dari penyeludup yang tidak serik dan licik menyeludup mercun terutama dari negara jiran kerana kedudukan negeri Kelantan yang bersempadan negara jiran.

Penyeludupan mercun yang berleluasa berlaku disebabkan keuntungan yang besar diperoleh oleh mereka yang terlibat dalam penyeledupan dan peniagaan mercun ini.

Permintaan yang tinggi terhadap mercun pada musim perayaan memberi pulangan yang lumayan kepada penyeludup dan peniaga mercun.  

Permintaan terhadap mercun akan berkurangan jika masyarakat sedar mengenai bahaya bermain mercun terutama melibatkan kanak-kanak, selain perbuatan itu ditegah oleh agama.

Islam mengharam segala bentuk perbuatan yang mendatang bahaya dan merugikan.  

Mereka yang terlibat dalam perniagaan mercun sepatutnya sedar bahawa keuntungan yang diperoleh itu bakal menyebabkan kecelakaan kepada orang lain. 

Keuntungan menyeludup atau menjual mercun sebenarnya haram dan boleh disamakan seperti mengedar dadah. Mereka melakukan dosa menjual barang yang mendatangkan bahaya dan diharam di sisi undang-undang.

Sesiapa yang makan hasil pendapatan haram, maka dia akan mendapat kutukan daripada Allah dan bakal mendapat kecelakaan di dunia mahupun di akhirat. 

Tindakan lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan penjualan mercun. Mereka ini hanya mementingkan keuntungan, tetapi tidak memikirkan kecelakaan yang boleh berlaku akibat bermain mercun.

Tuesday 5 June 2018

BUAH TERAJAN RASA KELAT MANIS

Siapa pernah makan buah terajan. Buah terajan rasa kelat-kelat manis. Pokok terajan banyak tumbuh sekitar kawasan kampung. Buah terajan (nama di Kelantan dan mungkin juga di tempat-tempat lain ikut dailek masing-masing) memang mudah tumbuh di kawasan rumah. Nama rasmi pokok terajan ialah mertajam atau nama sainstifiknya Erioglossum rubiginosum.

Pokok mertajam mencapai ketinggian antara 5 hingga 12 meter. Pokok mertaham mempunyai daun pinat 4 hingga 6 pasang. Saiznya besar iaitu lebih kurang 5cm dan mempunyai reramput halus serta peruratan pinat.

Bunga mertajam berwarna putih, bentuknya bulat dan berpetal 4. Buah mertajam berukuran kecil, berwarna kuning semasa muda dan bertukar menjadi merah dan kundang gelap bila matang.

Diakui kini pokok mertajam semakin sukar ditemui dan dikategorikan sebagai pokok nadir. Justeru, generasi muda hari ini mungkin tidak pernah melihat pokok mertajam, apatahlagi memakain buah mertajam yang 'lazat' dan mendapat sambutan pada masa dahulu.

Selain buah mertajam yang enak dimakan, daun mertajam dikatakan boleh hilangkan jerawat dan tidak meninggalkan sebarang kesan parut. Daun mertajam juga digunakan untuk merawat luka tanpa meninggalkan parut.